Teaser 17

106 4 0
                                        

For your info Muna tengah open preoder untuk Sang Permaisuri. Boleh wasap Muna @ 0175003365 untuk dapatkan versi cetak. Limited print tau. Lelajus wasap Muna k.

"LILIES dia bagi kau?" soal Dahlia inginkan kepastian. Matanya meliar ke segenap ruang bilik pejabat Kamila. Tiada pula bunga lili putih yang dikhabarkan Aisya.

Dah buang ke? Cepat sungguh!

Dia juga merupakan majikan Aisya. Lalu setiausaha mereka yang tinggi lampai itu tidak kisah menyampaikan kisah Kamila kepadanya.

Aisya sentiasa memastikan dia tidak ketinggalan mengikuti gosip teman baik sendiri. Mahu mengharapkan Kamila membuka mulut sendiri tentang soal cinta, kirim salam tahun depan.

"Kau nak makan ke nak bergosip?" soal Kamila dingin. Dia mencapai tas tangan untuk keluar makan tengah hari bersama Dahlia.

Tadi bukan main lagi Dahlia menggesanya ajak makan. Lapar sangat kononnya. Sebaik mendengar gosip dari mulut Aisya, soal makan langsung hilang dari kepala.

"Dua-dua. Tak boleh ke?" balas Dahlia mengelipkan mata berkali-kali agar Kamila bermurah hati membuka cerita.

"Tak boleh," balas Kamila selamba melangkah keluar dari pejabat meninggalkan Dahlia yang masih teruja mahu bergosip.

"Ish, minah ni. Berani kau nak tinggal aku?" sungut Dahlia pantas mengejar langkah Kamila.

Perutnya kembali berbunyi rentak metal memaksanya melupakan dahulu soal lili putih yang diterima temannya itu.

"Kau jangan laju sangat jalan tu boleh tak?" dengus Dahlia geram.

Teman baiknya langsung tidak berhati perut. Tiada simpati buat teman sendiri. Hanya kerana dia mahu bergosip, dia ditinggalkan begitu sahaja.

Kamila memekakkan telinga. Melangkah ke lif untuk turun ke basement. Menuju ke BMW yang menanti.

Langkahnya mati kala mata mendarat pada lelaki tinggi lampai yang bersandar selesa di pintu keretanya. Wajah yang tenang berubah keruh.

Dahlia yang mengejar hampir melanggar belakang tubuh temannya itu bila Kamila berhenti tiba-tiba. Brek kecemasan.

Membulat mata Dahlia kala melihat bekas suami sang sahabat muncul lagi. Mr. Stalker!

"I have been waiting for you, Mila." Suara garau si lelaki kedengaran lembut menyapa telinga. Nada yang jelas ingin memujuk.

"For what?" soal Kamila sinis.

Bila panggilan lelaki itu tidak dilayannya, lelaki itu pasti mencari peluang untuk muncul di hadapan matanya. Benar-benar tidak faham bahasa!

Sejak 3 bulan lalu lelaki itu tidak henti mengganggu hidupnya. Menagih cinta yang telah mati. Cinta yang telah padam tanpa sedikit pun bara yang tinggal di hati.

Bukankah terlalu lambat untuk memujuknya kembali? Jika di awal perpisahan sekalipun lelaki itu cuba memujuk, dia tetap tidak akan terusik.

Pengkhianatan seorang suami sudah cukup untuk mematikan hati seorang isteri. Buatnya melangkah pergi.

Dia telah membuka ruang hati untuk menerima seorang suami seadanya. Menjalani kehidupan suami isteri. Melupakan cinta yang pernah bertakhta di hati. Apa balasan yang diterima? Cuma satu pengkhianatan!

"To see you."

Meledak tawa sinis di bibir. Mahu bertemunya? Malang sekali dia tidak berminat untuk bertemu lelaki itu.

"I miss you."

"But I don't. Please go back, Mr. Syakir," tutur Kamila senada.

Syakir tersenyum manis. Tidak mudah mengalah walau ditolak pujukannya. Dia yang bersalah kerana mengecewakan seorang isteri.

Dia sanggup memberi masa untuk Kamila menerimanya semula. Namun masa yang diberikan tetap punya hadnya. Jika Kamila terus berdegil untuk kembali padanya, dia tidak akan teragak-agak mengambil tindakan drastik.

Dia melangkah menghampiri Kamila. Jemarinya tanpa silu ingin menyentuh wajah mulus itu. Yang dulu menjadi haknya untuk dibelai tanpa sebarang larangan.

Kamila laju menepis. Dia tidak semurah itu untuk disentuh sesuka hati. Mata mencerun marah pada lelaki yang nyata belum berputus asa.

"I dengan you dah tak ada ikatan, Mr. Syakir. Tolong jangan sentuh I sesuka hati you."

"Mila... bagi I peluang sekali lagi. I takkan kecewakan you lagi," pinta Syakir mengharap Kamila berlembut hati.

Kalaulah dia tahu betapa berharga seorang Kamila, dia tidak akan menceraikan wanita itu. Kini baru dia sedar Kamila isteri terbaik untuknya. Perempuan lain tidak mampu menggantikan Kamila.

Wanita itu walau punya personaliti yang dingin, bila sudah sayang melayannya sepenuh jiwa dan raga. Selayaknya seorang suami.

Malang sekali dia bodoh. Memandang sebelah mata permata yang sudah pun berada di dalam genggaman. Terlepas begitu sahaja.

Dua tahun berlalu baru matanya terbuka jelas. Baru tersedar kebodohan diri. Lalu dia cuba meraih hati yang sudah beku.

Sayangnya, hanya kedinginan yang diterima dari wanita itu. Seolah hubungan yang pernah terikat mati langsung tidak membawa makna apa-apa lagi.

"You sendiri yang hancurkan peluang yang ada. There's no second chance for you," tegas Kamila melangkah melepasi lelaki tinggi lampai itu.

Laju tangan membuka pintu kereta lalu memboloskan tubuh ke dalam perut kereta. Tidak sudi terus melayan lelaki yang menagih kasih.

"Too bad for you. You tak pandai menghargai permata depan mata. Sibuk cari kaca yang tak berharga."

Sempat Dahlia mencelah sebelum turut memboloskan diri ke tempat duduk penumpang. Tangan ringan melambai-lambai pada lelaki tinggi lampai itu dengan senyuman mengejek di bibir.

"Dia ingat kau nak layan dia bila kau dah ada mamat lagi hot dari dia agaknya," tingkah Dahlia melirik penuh makna pada si teman yang tenang dalam pemanduan.

Mengecil mata Kamila mendengar bicara Dahlia yang kedengaran palsu di telinga. Sejak bila pula dia melayan lelaki lain ni?

"Kura-kura dalam perahu. Pura-pura tak tahu pulak kau ni. Abang Nizar la. Siapa lagi," tambah Dahlia memahami persoalan yang bersarang di kepala si teman.

"Kau nak turun kat sini ke?" soal Kamila mengugut. Sesuka hati sahaja Dahlia mereka cerita palsu.

"Betul la aku cakap. Dari kau layan lelaki yang pernah curang belakang kau... lagi baik kau terima lelaki yang setia ke hujung nyawa. Daddy aku cakap dia tak pernah nampak Nizar tu dengan perempuan tau. Ada yang siap cakap dia ni gay. Langsung tak layan perempuan," tingkah Dahlia laju. Mata melekap kemas di wajah cantik Kamila. Ingin membaca sebarang riak yang ada di situ.

Kamila mendengus halus. Tidak membalas bicara Dahlia yang dirasakan tidak punya kaitan dengannya.

"Kau rasa kenapa dia tak layan perempuan lain, eh? Aku rasa..." Sengaja digantung ayat itu. Mengharap Kamila punya reaksi berbeza. Malangnya wajah itu tetap sama. Serius sahaja.

"Aku rasa dia masih tak boleh lupakan kau. That's why... bila dia jumpa kau balik dia mula usik kau."

"Lia, kau nak turun kat depan tu, kan?" tutur Kamila tenang.

Bicara seperti itu tidak ingin dilayannya. Menyemakkan kepala sendiri sahaja untuk meneka pemikiran manusia lain.

Dia tidak punya kuasa untuk mengawal cara manusia lain berfikir. Masing-masing punya kebebasan untuk berfikir dan membuat keputusan. Sama sepertinya juga. Lebih mudah memikirkan hal sendiri dari menguruskan hal orang lain.

"Eh, aku nak temankan kau makan. Lapar ni," balas Dahlia kalut.

Bibir laju diketap kuat tanda tidak akan bercakap yang bukan-bukan lagi. Bimbang Kamila benar-benar menurunkannya di tepi jalan. Kejam punya kawan!

Kamila tersenyum sinis. Kalau tidak diugut begitu, entah apa lagi akan keluar dari mulut becok Dahlia. Penat mahu melayan nanti.

SANG PERMAISURITempat di mana cerita hidup. Terokai sekarang