Teaser 2

1.8K 35 2
                                    

"COME on, bro," tingkah si teman separuh kecewa. Susah benar mahu mengajak teman sendiri keluar berjoli. Langsung tidak cuba berhibur. Hidup hanya tahu tenggelam dalam kerja yang entah bila akan habisnya.

"Busy," balas Nizar acuh tidak acuh. Langsung tidak mengangkat wajah memandang teman yang mengeluh berat setiap kali mendengar penolakan daripadanya.

Yang hairannya si teman tidak pernah jemu mengajak walaupun jawapan yang diterima tetap sama. Dia tidak punya masa untuk berhibur. Perhatian diberikan sepenuhnya kepada syarikat menjadi matlamat utama.

Untuk berada di puncak bukan sedikit pengorbanan yang terpaksa dilakukan. Lalu dia perlu memastikan syarikat yang dibina terus berdiri teguh tanpa digugat sesiapa.

"Sampai bila kau nak macam ni?" soal Khairi geram.

Teman baiknya itu langsung tidak tahu berdunia. Hidup hanya tahu memikirkan tentang syarikat. Kalau boleh tidur pun mahu di syarikat.

Hakikatnya itu yang sering berlaku. Mahu pulang ke rumah pun puas diheret baru tahu meninggalkan syarikat. Sayang benar pada syarikat yang sudah pun berada di puncak.

Siapa tidak kenal Global Works Resources? Bukan lagi syarikat kecil seperti 4 tahun yang lalu.

Global Works kini menjadi salah sebuah syarikat yang dikagumi ramai. Lagi-lagi bila mereka tahu siapa pemilik sebenarnya. Pemilik yang masih terlalu muda untuk memiliki syarikat sekukuh Global Works.

Namun usia tidak boleh menjadi ukuran. Sebaliknya usaha dan perancangan rapi memastikan semua itu berlaku.

Tidak semudah itu untuk membina syarikat. Dan berdiri megahnya Global Works menunjukkan segala pengorbanan temannya itu cukup berbaloi. Tidak bermakna si teman perlu menghabiskan setiap waktu demi syarikat tersayang.

"Kenapa aku tak boleh macam ni?" soal Nizar tersenyum sinis.

Dia tidak merasakan wujud sebarang masalah jika masanya dihabiskan menyemak laporan yang masih bertimbun di atas meja. Laporan kewangan, laporan pembekal dan laporan pencapaian staf syarikat, semuanya memerlukan perhatian.

"Bro, syarikat ni dah cukup kukuh. Apa salahnya kau enjoy hidup kau pulak. You earned that," tingkah Khairi serius.

"Busy." Jawapan yang sama bermain di bibir.

"Sebab perempuan tu, kan? Kau masih belum lupa?" tebak Khairi ingin tahu.

"Perempuan mana?" soal Nizar berpura-pura tidak faham.

Bila soal si kekasih lama disebut kembali, wajah cantik itu cepat benar melata di layar ingatan. Dan kenangan lama begitu mudah tersingkap mengganggu ketenangan hati.

SANG PERMAISURIWhere stories live. Discover now