Di dalam bilik kaunseling milik Cikgu Shuna, kami pelajar perempuan sedang giat menolong cikgu dengan menggunting perhiasan. Hiasan itulah bakal ditampal di sekitar dinding bilik kosong, yang kini dikemaskan oleh Rafie dan lain-lain. Alang-alang sudah mengemas, lebih baik kita mencantikkan lagi bilik itu.
Melihat kerajinan kami ini, timbullah rasa gembira terhadap Cikgu Shuna.
"Terharunya saya dengan korang. Saya ni ikutkan banyak hal lain nak kena buat. Tapi dengan adanya korang, kuranglah sikit beban saya ni. Terima kasih banyak-banyak ya." Terharu betul cikgu ini. Siap memuji dengan sengihnya yang sampai ke telinga.
"Sama-sama, cikgu. Alang-alang kami tengah free, apa salahnya kalau dapat tolong cikgu," balas saya.
Rina juga turut bersuara. "Betul tu cikgu. Kami tahu cikgu tengah penat. Sebagai pelajar inilah cara kami untuk membalas budi cikgu. Terima kasih sebab mengajar kami."
Amboi, Rina! Bunyi macam nak membodek pula. Tapi saya tak nafikan kata-katanya itu. Sejujurnya jasa guru matematik ini terlalu banyak.
Kalau nak tahu, disebabkan dialah saya mahir matematik tambahan. Jika dahulu mata ini berpinar, kini ia menjadi seperti alat mainan bagi saya. Ya, saya suka matematik. Tanpa cikgu, siapalah saya ini.
Guru muda ini mengusap matanya yang tidak berair. "Korang... terharunya saya. Rasa nak nangis tau."
Kami sekawan, memandang sesama sendiri. Melihatnya sebegitu benar-benar merutunkan jiwa ini.
Saat demi saat, minit demi minit, kerja kami dimeriahkan lagi dengan perbualan sensasi dari mulut guru muda ini.
Kata cikgu Shuna, dia sememangnya mengajar mata pelajaran matematik. Namun, entah bagaimana pengetua sekolah kami memilih dia untuk turut menjadi guru kaunseling. Itupun kerana cikgu ini pernah mengambil kursus kaunseling ketika zaman belajarnya.
Ia kedengaran bagus, tetapi sebenarnya tidak. Bagi Cikgu Shuna tanggungjawab itu membebankan, dia terpaksa membuat dua kerja, dan tentulah ia memenatkan.
Begitu tabah guru berbangsa india ini. Kalau saya yang berada ditempatnya, boleh pecah kepala dibuatnya.
Cikgu Shuna, orangnya muda dan juga bersemangat tinggi. Dalam kalangan guru, dialah satu-satunya guru yang paling kami rapat. Maklumlah, guru muda. Semestinya faham akan jiwa remaja kami ini. Cuma yang membezakan dia dengan kami hanya kematangan.
Kertas-kertas yang selesai digunting oleh saya diletakkan pada sebelah kanan. Setelah kesemuanya telah selesai digunting sepenuhnya, saya pun bertanya kepada Cikgu Shuna.
"Cikgu, yang dah siap ni letak dekat mana ya?"
"Oh, yang tu awak letak dekat atas meja sana tu." Jari guru muda itu dituju pada sebuah meja yang terletak di tepi pintu bilik.
"Okey cikgu." Segera saya pun meletakkan kertas-kertas itu di atas meja yang dimaksudkan.
"Cikgu sepanjang jadi kaunselor kan, apa masalah yang cikgu selalu dengar? Teringin juga nak tahu." Nampaknya Rina seperti tertarik dengan tugas cikgu. Mungkin dia hendak tahu bagaimana cara Cikgu Shuna menggalas tugasnya sebagai kaunselor.
Pertanyaan itu disokong oleh kami yang lain, terutamanya Wani dan geng-gengnya. Cikgu Shuna memberikan reaksi terkejut. Melihatkan anak-anak muridnya ini memandangnya dengan rasa ingin tahu, sama sekali membuatkan dia mengeluh.
"Haih... korang ni. Ini kan tanggungjawab saya. Jadi saya tak boleh ceritakan masalah pelajar dekat orang lain. Mereka pun ada privacy juga."
YOU ARE READING
[02] Aku Berjanji Akan Kembali Untukmu (ABAKU)
RomansaCerita penuh untuk Short Story-Aku Berjanji Akan Kembali Untukmu. Credit cover by @peanurts- "Orang selalu berkata, semasa bersekolah tak usahlah bercinta kerana bagi mereka percintaan itu tidak akan berkekalan selamanya. Cinta monyet kata mereka. N...