Kami berlima akhirnya tiba di hadapan rumah Rafie. Masing-masing masih berpakaian sekolah kecuali saya yang berpakaian biasa. Tanpa berlengah, ucapan salam diberi.
"Assalamualaikum!" ucap Yusri.
Tidak lama kemudian pintu rumah pun dibuka. Terlihatlah sosok seorang lelaki yang memakai jersi bola bersama seluar tracksuit. Itulah Rafie.
"Eh? Korang?" Terpaku dia tatkala melihat kami berdiri di hadapan pintu rumahnya.
"Akhirnya dapat juga berjumpa kau, Rafie," nyata Irwan.
"Asal korang ramai-ramai datang ni?" soal lelaki berjersi ini lalu menggaru kepala.
"Rafie, sebenarnya..." Ayat Mei sengaja tidak dihabiskan. Dia mengerling pada Rina.
Serta-merta Rina berubah gelabah. Tersipu malu kerana sukar untuk merendahkan egonya. Namun, demi persahabatan sebagai rakan sekelas, ego itu perlu ditundukkan.
Dengan kepalanya menunduk kesal, dia pun meminta maaf.
"Aku sebenarnya nak minta maaf dekat kau, Rafie."
"Oh, ya ke. Kenapa?"
"Kenapa kau cakap? Sebab aku tuduh kau melulu semalam. Jadi... aku rasa bersalah."
"Oh... ya ke. Baguslah." Balasan mendatar Rafie itu bagai tiada perasaan. Hairan kami mendengarnya. Dia terima atau tidak permohonan maaf Rina itu?
"Rafie, awak masih marahkan Rina ke?" tanya saya dengan lemah lembut. Rafie seperti tersentak. Matanya mula meliar ke sekeliling sebelum belakang lehernya diusap.
"Hmm... sebenarnya bukan aku tak maafkan pun. Aku tak kisah pun. Cuma aku..."
Rafie seperti hendak memberi penerangan namun ayatnya terhenti. Dia mula melihat kami satu per satu. Tidak lama kemudian dia mengeluh kecil.
"Tak apalah korang masuklah dulu. Dah alang-alang sampai sini," pelawa jejaka ini. Dia kemudian membuka jerjak pintu untuk memberi kami masuk ke dalam.
*****************************
Setelah masing-masing mula memasuki ke dalam rumahnya, Rafie pun meminta kami untuk menunggu sebentar sementara dirinya naik ke biliknya.
"Korang tunggu sekejap eh. Aku naik atas jap."
Sebaik Rafie menaiki tangga, masing-masing mula memerhatikan persekitaran rumahnya yang sangatlah tersusun dengan baik.
"Wow! Kemasnya rumah dia ni. Tengoklah kat atas rak sana tu. Banyak betul trofi dia ni." Suara Irwan memecahkan kesunyian.
"Bisinglah kau ni Irwan! Tak boleh ke kalau kau senyap?" bebel Rina yang tidak senang dengan kebingitan Irwan itu.
"Maaflah, aku tengah teruja ni," katanya dengan muka tersengih. Ikutkan, ini kali pertama Irwan datang ke rumah Rafie. Sebelum ini hanya saya, Rina, Mei dan, Yusri sahaja.
Sedang kami memerhatikan sekeliling, Irwan berjalan ke arah salah satu rak yang berada di penjuru ruang tamu. Dalam rak tersebut, ada beberapa bingkai gambar keluarga milik Rafie. Kebanyakannya gambar lama.
"Eh, ni gambar Rafie waktu sekolah rendah dulu ke?" Soalan Irwan itu mendapat perhatian kami.
"Ya ke. Aku nak tengok?" Pantas Yusri mendekati Irwan
Gambar yang dipegang oleh Irwan ditujukan kepada Yusri. Langsung jejaka popular itu menatap gambar itu dengan teliti.
"Wah, kurusnya dia! Sama macam sekarang. Tapi peliklah. Asal aku tak pernah nampak gambar ni waktu aku datang ke sini sebelum ni?"
YOU ARE READING
[02] Aku Berjanji Akan Kembali Untukmu (ABAKU)
Storie d'amoreCerita penuh untuk Short Story-Aku Berjanji Akan Kembali Untukmu. Credit cover by @peanurts- "Orang selalu berkata, semasa bersekolah tak usahlah bercinta kerana bagi mereka percintaan itu tidak akan berkekalan selamanya. Cinta monyet kata mereka. N...