PROLOG

834 26 5
                                    

Dr. Orked Abdul Razak. Siapa sangka, dia berjaya juga meraih gelaran itu. Lapan tahun dua bulan sembilan hari; itu tempoh masa yang terpaksa diharungnya demi mendapatkan sehelai kertas pengiktirafan. Pengajian Doktor Falsafahnya selesai juga akhirnya. Tamat apabila dia berjaya lulus ujian viva tanpa perlu membuat pembetulan pada tiga bulan yang lepas. Pun dia tidak berasa apa. Tiada bangga atas pencapaian hebat itu. Tiada lega atas berakhirnya semua susah payah dia menyiapkan kajian dan tesis. Jauh sekali rasa gembira atas kejayaan ini. Rasa yang berbekas cuma... terkilan.

Orked melabuh punggung pada bangku panjang di tepi bukit itu. Belakang tubuh disandarkan. Dua lengan disilangkan. Sepatu dibuka. Telapak kaki memijak permaidani rumput. Badan yang hangat terasa selesa mencairkan sejuk kerusi simen tersebut. Kehadirannya di bukit bersebelahan padang kawad itu disambut puput angin yang sepoi membayu daripada arah Barat Laut. Di depannya terbentang pemandangan Kampus Universiti Pulau Pinang (UPP) yang terletak di Pantai Teluk Bahang. Lensa mata meluas sampai ke hujung kanvas alam. Nun di sana, kelihatan garis horizon di Selat Melaka yang menjadi pemisah di antara laut dan langit. Matahari petang sudah hampir benar dengan garisan itu. Sinarnya menyerak ombre jingga-merah-violet pada putih awan kumulonimbus yang berlatarbelakangkan biru lazuardi atap bumi.

Puas menatap suasana langit, pandangannya kembali ke bumi. Di bawah cenuram bukit itu terlukis deretan blok Kolej Kediaman Puteri dan juga Pusat Sukan UPP. Menyerak pandang lebih jauh, di luar pintu gerbang kampus ada potret klasik perkampungan nelayan yang dekat dengan gigi air. Lebih mengindahkan lukisan pemandangan berkenaan adalah hijau kawasan hutan renek dan belukar semulajadi yang mengepung kiri dan kanan teluk itu. Cantik sekali. Lidahnya ringan mengalun zikir subhanAllah, memuji DIA yang Maha Pencipta. Orked meraikan sendiri keberadaannya di sini.

Nafas ditarik panjang, dihembus perlahan. Jiwanya memeluk ketenangan ini sepuas-puasnya. Riuh Pesta Konvo UPP yang sedang berlangsung di padang kawad di belakangnya itu tidak dia endahkan. Dunianya diasingkan daripada realiti keliling. Hanya dia dan...

"Menung apa? Teringatkan aku?" tanya suara itu, nadanya nakal, menyakat. Orked melarik senyum, berpaling. Pandangannya dipenuhi susuk lelaki itu. Hatinya berbunga kembang.

"Perasan!" ujarnya, tersengih.

"Aku ingat kau tak datang..." Wajah datarnya tadi berubah ceria. Dia menyeluruhi raut si hitam manis di sebelahnya itu, melepas rindu.

Seth. Lelaki itu melempar senyum simpul, bersila panggung dengan tubuhnya miring menghadap dirinya. Si hitam manis menyangkut siku kanan pada sandaran bangku, sementelah kepalanya ditongkat telapak tangan mengena pipi. Menyeringai, tunjuk gigi.

"Kan aku dah cakap dulu, aku nak tengok kau graduate, tak kan aku tak datang..." kata Seth, cuba meyakinkan Orked. Tekun dia merenung bunga di depan mata.

Mendengar itu, Orked senyum segaris. Tapi lantas bibirnya melengkung sedih. Pandangannya dialihkan, sedikit dia mendongak, mencari-cari bulan. Senyap. Jeda di antara mereka. Masing-masing melayan perasaan.

"Kau tak seronokkah Orked? Kau dah graduate. Esok kau konvo..." Seth menyatakan hal tersebut. Seperti gadis itu, dia turut melempar pandang pada langit dunia. Cuba menebak ke mana pergi menerawangnya fikiran sang bunga.

"Macam mana aku nak seronok..." Sekilas Orked mengerling kepada si pelesit di sebelahnya.

"Kau tak ada..." gumam Orked, rendah. Kepalanya menunduk pula. Seperti mana tipisnya peluang dia bertemu bulan di siang hari, begitu juga harapannya terhadap lelaki di sebelahnya itu - semakin memudar, menunggu masa untuk hilang. Tanpa sedar, air matanya menitik jatuh mengena telapak tangan di ribaan. Dia bermain-main dengan sebentuk cincin belah rotan yang menghiasi jemari manis kanannya. Dipusing-pusingkan cincin itu sambil melayan hatinya yang pusang.

SEBENARNYA ILUSIWhere stories live. Discover now