12

64 6 0
                                    

Seth berjalan menuju stesen MRT berdekatan Sky Condo. Seperti biasa telinganya dibiarkan terhibur dengan hidangan senaraian lagu tanpa henti yang berdendang pada tahap kelantangan bunyi paling kuat. Mulutnya pula tak henti mengemam asam. Pekak telinga dan masam mulut bukan saja-saja. Tetapi sebagai langkah berjaga-jaga. Bagi membenteng dirinya daripada terkesan dengan refleks Deting yang boleh menyerang bila-bila. Hon kenderaan, susup sasap manusia, suasana sesak orang ramai, jerit bising sekeliling hatta bersin sekalipun boleh saja dijadikan alasan oleh Deting untuk meragut sedarnya. Detak jantungnya diperiksanya selalu menerusi jam pintar di pergelangan tangan. Bila saja dirasanya jam itu akan mula bergetar dan berdering, dia sudah tahu nak buat apa. Jauhkan diri daripada tempat umum, cari kawasan terpencil, latihan pernafasan jangan tinggal dan jika keadaan mendesak, tunggu Dr. Chai sampai. Rumit! Seth tahu hidupnya penuh drama. Tapi yang penting, dia mencuba untuk meneruskan kelangsungan hidup, walaupun tidak sempurna.

Gerabak transit menyinggah platform. Keretapi itu akan menghala ke Kajang. Seth masuk ke dalam perut MRT. Tidak pernah gagal untuk dia mendapat tempat duduk. Kerana mula harinya tak akan pernah sama dengan waktu puncak dan selisih orang bekerja. Itu menempah maut namanya. Kalau saja-saja nak kena angkut naik ambulans, bolehlah mencuba. Pernah sekali dia terjebak dek desak Chai. Akhirnya taubat sendiri apek Cina itu kerana terpaksa menampung tubuh longlainya dalam gerabak sesak di sepanjang-panjang perjalanan ke stesen seterusnya. Sumpah Chai serik. Patah pinggang aku woi! katanya. Padan muka kau!

Duduk dibangku itu membuat fikir Seth menumpu pada yang satu. Buku nota biru. Ada disimpannya dalam beg kantung hitam di riba. Bayang wajah Orked Abdul Razak menerpa ruang pandangnya. Gadis itu memandangnya dengan jegil mata. Berani-berani saja kau nak baca! Gertak si bunga kepadanya. Relung hati Seth pusar, serba salah. Ya, dia sudah tahu siapa nama gadis itu. Ketahuannya semalam menerusi buku itu. Huruf besar semuanya tertera, bagai menjerit yang buku ini Orked punya! Namun hakikatnya bukan sekadar nama. Sungguh Seth naik tak bertangga, turun tak berpintu, buku nota biru adalah diari gadis itu! Mana mungkin dia membaca. Itu mencabul hak peribadi namanya. Tapi nak buat macam mana jika dia sudah tersasar mengeja. Satu muka surat penuh, tanpa sedar, telah dikhatamnya. Dan isinya tak mungkin dia lupa.

Diariku sayang,

Kiamat sudah tibakah?

Kerana bagi aku terasa begitu hampir hari itu,

Bagaimana hendak aku khabarkan,

Pada mak dan pak di kampung,

Percaturan yang aku buat tersasar jauh,

Aku hilang kerja, sedang komitmenku menggunung

PhD tertangguh, sedang di bibir mereka sudah memanggilku doktor,

Perjalanan yang ku fikir terbentang karpet merah,

Rupanya penuh onak duri,

Sungguh, bolehkah aku menghadap dugaan ini?

Bagai menanggung beban seberat bumi,

Diari aku sunyi...

Aku sendiri...

Aku rasa macam nak mati...

Luahan itu membuatkan Seth tertanya-tanya. Cerita apa disebalik empunya nama Orked Abdul Razak. Dalam garang tingkah dan senyum plastik yang kau tunjuk, muram wajah dan gundah hati sebagaimana yang kau sorok? Dia berkira-kira. Cuma muka surat pertama, aku janji! Supaya aku tahu macam mana nak menghubungi kau. Hatinya cuba menghalalkan cara. Zip beg kantung ditarik, langsung diari Orked menunjuk muka. Takut-takut Seth membuka.

SEBENARNYA ILUSIWhere stories live. Discover now