23

40 3 0
                                    

"Kiranya kau masih belum dapat apa-apa surat daripada lawyer berkenaan ganti rugi ingkar perjanjian SLAI yang kau kena bayar tu?" Umi bertanya. Mereka sedang makan malam di sebuah restoran tom yam, di medan selera Pantai Dalam.

Orked menggeleng. Kalau boleh dia tak mahu surat itu muncul sampai bila-bila. Dia terusan menikmati nasi putih, telur dadar dan sup tulang, sambilan dibual bicara oleh Umi. Jenuh dia menjawab setiap pertanyaan peguam bela tidak dilantik itu sedari tadi. Segala topik disentuh Umi tanpa letih. Mengenai kesihatannya. Mengenai keluarganya. Mengenai kewangannya. Puas dia disyarahkan Umi seperti anak kecil. Jaga kesihatan! Kenapa kurus sangat! Kau kena beritahu mak pak kau hal sebenar! Jangan dirahsiakan hal kau diberhentikan kerja daripada mereka. Kenapa guna kad kredit, Orked! Mahu aku pinjamkan kau duit? Hal itu buat Orked bagai melulur bersitungging. Tidak senang hatinya membuka pekung di dada. Sesak. Rimas. Itu yang dia rasa. Walau dia tahu bertanyanya Umi hanya kerana ingin membantu jikalau dia memerlu. Tetapi jujur cakap, bebanan ini sabit khusus atas namanya seorang. Mana bisa dia membiar orang lain pula yang menanggung.

"Jadi kau tak tahu lagilah, berapa jumlah ganti rugi yang kau kena bayar pada UAM dengan KPT?" Umi mahukan kepastian. Kepala Orked bergerak-gerak lagi ke kiri dan kanan.

"Yang aku tahu ganti rugi yang aku kena bayar pada UAM adalah gaji yang aku dapat sepanjang empat tahun aku cuti belajar, sekali dengan elaun penempatan dan elaun pengangkutan. Gajilah yang paling banyak aku kena bayar balik. Kau kiralah... Anggaran gaji aku, empat ribu sebulan kali 12 bulan kali empat tahun," jawab Orked, bersahaja. Dia menguntum senyum. Inilah yang dinamakan, sudah jatuh ditimpa tangga. Sudahlah diberhentikan, sekarang aku kena menanggung hutang pula. Haih! Nasib, nasib... Orked dah tak larat nak susah hati. Hatinya sudah menyebal akan hakikat itu.

Berkerut wajah Umi, beria-ia pensyarah Bioinformatik itu mengira.

"Banyak tu Orked! Dekat dua ratus ribu!" Terbuntang biji mata Umi.

"Tahu tak apa..." Orked selamba, tersengih. Dihirupnya lagi sup tulang, lalu mulut disuap dengan nasi kosong. Dibiarkan saja Umi merisau bagi pihak dirinya.

"Kalau KPT pula, berapa yang kau kena bayar balik?" Umi dah panas punggung. Hilang selera makannya. Dia risaukan Orked. Sedang Orked di depannya kekal menunjukkan riak wajah ceria.

"Yang aku ingat, daripada KPT aku dapat elaun sara hidup, sembilan ratus ringgit sebulan. Yuran pengajian akupun KPT yang bayarkan... Nasib baik aku sambung PhD dekat dalam negara, kan Umi. Kalau aku ikut kau pergi Sorbonne hari tu, mampus aku kena bayar balik elaun sara hidup dalam Euro. Mahu dekat setengah juta ringgit!" Orked optimis. Muka risau Umi entah sudah cecah tahap petala yang ke berapa puluh. Cemasnya terasa hingga berdebar di dada.

"Kau tak risau Orked?" Umi menanyakan soalan bodoh.

"Kau rasa?" Orked tenang. Namun selera makannya lari tiba-tiba. Aku dah tak larat nak risau. Air mata aku dah tak ada. Hati aku dah kering kontang Umi! Kalaulah boleh dia memberi faham kepada rakannya itu.

Umi memanjangkan tangan, mengusap jemari Orked, lembut.

"Kau sabar ya Ked... Pendaftar Universiti kata apa masa dia bagi surat berhenti kerja tu pada kau?" Umi mahu tahu. Sangat dia susah hati akan status Orked dengan UAM. Dia tidak mahu Orked bekerja jauh daripadanya.

"Dr. Kamaruzzaman suruh aku habiskan PhD cepat-cepat. Dia kata dia akan bantu aku masuk UAM semula, kalau aku dah dapat PhD nanti," Orked mengkhabarkan. Dia mula bermain-main dengan nasi di pinggan. Tiada lagi senyum.

"Baguslah kalau macam tu! Kau dah nak habis kan? PhD kau? Kau tulis tesis kau kan?... Kan Orked?" Desak Umi hanya boleh Orked balas dengan topeng sengih.

SEBENARNYA ILUSIWhere stories live. Discover now