37

108 2 2
                                    

"Orked..." Suara itu memanggil namanya.

"Arghh..." Mengerang dia, sakit. Kepalanya terasa berat, menyebal. Orked celik mata dengan pandangan berbayang-bayang.

"Orked..." Susuk Umi membentuk, memenuhi pandangan.

"Umi..." Orked menyahut, memandang raut cemas sahabatnya itu.

"Alhamdulillah... Alhamdulillah, kau dah sedar Ked!" Umi betul-betul lega. Sahabat di perbaringan dipandangnya dengan rasa syukur.

Orked bingung. Dia tidak dapat berfikir dengan jelas. Senyum Umi tak mampu dia sambut. Dia cuba bangun tetapi temannya itu menegah. Umi menekan satu punat pada sisi katil tempat dia beradu. Lalu perlahan-lahan kepala katil tersebut mulai terangkat.

"Aku dekat mana Umi?" tanya Orked, tersandar lemah di perbaringan. Dia masih tiada klu. Pandang mata disebar melihat sekeliling. Semuanya asing.

"Kau dekat KPJ Bangsar. Kau kemalangan." Umi memaklumkan. Mereka kini di bilik pesakit perseorangan, di Wad Neurologi.

Orked terbeliak mendengarkan itu. Belalak matanya membuatkan satu bahagian pada kepalanya berdenyut-denyut. Mengernyit Orked cuba memegang bahagian itu, mahu menghentikan sakit yang menyucuk tiba-tiba. Tetapi ada balutan yang menghalang sentuhannya menyentuh kulit dahi.

"Jangan pegang... Kepala kau terhantuk kuat dekat stereng. Ada luka dekat dahi kau tu. Doktor dah jahit masa dekat emergency tadi." Umi menjelaskan.

"Umi! Aku kena keluar Umi. Aku tak ada duit nak bayar bil hospital. Insuran aku! Dah dua bulan aku tak bayar bil insuran perubatan aku!" Orked kelam kabut, memandang Umi dengan rasa serba salah. Dia malu alah dengan Umi kerana polisi insuran perubatannya itu diambil menerusi Mirul, suami Umi yang merupakan seorang ejen Prudential BSN Takaful.

"Shhh... Tak payah kau risau. Mirul dah uruskan hal insuran kau tu. Semua bil, Prudential yang akan tanggung," Umi memotong cakap Orked, menggosok-gosok perlahan lengan sahabatnya itu, cuba memberi tenang. Dia mendapat perkhabaran yang kawan karibnya itu kemalangan di UAM tengah hari tadi daripada panggilan telefon seorang pelajar. Pelajar tersebut terjumpa kereta Orked yang tersadai di tepi jalan, melanggar besi penghadang. Terus dia bergegas ke tempat kejadian dan mengikut sekali ambulans yang membawa Orked ke hospital. Orked di depannya nanar, mula teresak dan menangis.

"Orked... Shhh... Janganlah menangis. Nanti sakit lagi kepala kau tu. Kau ada rasa nak muntah tak? Ada rasa loya?" soal Umi. Doktor meminta dia bertanyakan soalan itu jika Orked telah sedar. Itu simptom-simptom awal, petanda adanya kecederaan dalaman. Lega dia apabila sahabatnya itu menggeleng.

"Aku ni menyusahkan kau dan Mirul saja Umi..." kata Orked. Tangisnya diseka dengan hujung lengan uniform pesakit yang tersarung di tubuh.

"Tak ada menyusahkan pun... Doktor takut ada gegaran pada otak kau. Dia nak pantau keadaan kau semalaman. Pasal tu dia admit kau masuk wad. Esok kalau kau ok, baru dia discaj kau. Sekarang kau rehat ya..." beritahu Umi. Mata mereka bertaut. Ketika itu Orked teringatkan sesuatu.

"Umi! Macam mana lelaki yang dengan aku tu? Dia ok tak?" Orked cemas. Umi mengangkat kening.

"Lelaki? Lelaki mana?" tanya Umi.

"Lelaki dalam kereta aku tu lah... Dia ada sekali dengan aku tadi." Bersungguh Orked memberitahu. Tetapi Umi menggeleng.

"Kau seorang saja Orked. Mana ada sesiapa selain kau dalam kereta," jawab Umi.

SEBENARNYA ILUSIWhere stories live. Discover now