5

114 8 2
                                    

Siling dipandang kosong Seth. Perbaringannya kembali ke atas sofa. Syukur, sayup azan subuh tadi melepaskan dia daripada penjara kabus Deting. Seusai membersih diri dan solat, di ruang tamu itu juga tempat dia membuang waktu. Berfikir dia akan alasan apa mahu diberikan, apabila satu daripada dua surat rasmi itu bakal ditolaknya. Gelap, idea tidak datang menyuluh benaknya. Jam pintar di pergelangan tangan diangkat menyapa wajah, 7.20 pagi. Masa semakin suntuk. Dan lantas senandung lagu kanak-kanak Didi and friends berjudul Tetamu Didi berkumandang daripada arah pintu utama unit Sky Condo itu, menandakan dia punya tamu. Lagu itu kerja Chai. Kononnya tak mahu dia terkejut mendengar loceng yang tiba-tiba berbunyi. Sedangkan bunyi loceng itu tak pernah mengganggu diapun, melainkan desibelnya mencecah lebih 100dB. Memang saja nak cari gaduh mamat tu! Bilalah dia nak tukar bunyi loceng rumah aku ni? Hakikatnya sudah lebih tiga tahun Seth menginap di situ dan lagu Didi and friends itu jugalah yang menghiburkan tetamunya setiap kali mereka datang.

Seth bingkas menuju pintu, dadanya sedikit berdebar. Masa sudah tamat dan dia masih belum bersedia dengan jawapan mahupun alasan kukuh. Serah diri sajalah Seth!

"Assalamualaikum," Anisah mengucap salam sedari daun pintu dikuak Seth. Wanita pertengahan usia itu masuk dengan jinjing dua belah tangan yang penuh dengan beg kain guna semula.

"Waalaikumsalam. Hai ibu... Banyaknya barang? Ibu beli apa?" Seth menyambut beg-beg itu. Berat. Lalu diletakkannya di atas pulau dapur.

"Ibu beli barang dapur untuk awaklah. Tanya pula!... Ini yang berpelikat dengan T-shirt lagi kenapa? Cepatlah siap! Pendaftaran mula pukul 8.30 pagi. Kita dah lambat ni!" tegur Anisah. Kerling wajahnya tidak teliti, sekadar menoleh sekejapan kepada Seth. Perhatiannya lebih tertumpu kepada beg-beg kain guna semula. Satu persatu barang-barang di dalam bag tersebut dikeluarkan Anisah, mahu dimasukkan ke dalam peti ais dan kabinet dapur, mengikut jenis, dengan kadar segera.

"Ibu... Seth nak cakap kejap. Seth... sebenarnya... ermm..." Seth mengekor Anisah. Ke kabinet Anisah, ke kabinetlah dia. Ke peti ais Anisah, ke peti aislah dia. Bila Anisah membuka laci di pulau itu, dia menjadi tukang tutup.

"Awak nak cakap apa? Kejap lagilah..." Ternyata Anisah tidak mengendahkan permintaan anaknya itu.

"Kemeja dengan seluar slack awak, orang dobi sudah hantar semalam kan?" Sambilan dia bercakap, Anisah menyudahkan tugasnya memenuhkan pantri anak bujangnya itu. Di akhir ayat baru dia bertentang mata dengan Seth. Berkerut wajahnya.

"Kenapa dengan dahi awak tu? Bila masa kena ni?" cemas Anisah. Segera dia menarik muka Seth mendekat ke wajahnya, mahu meneliti luka di dahi anaknya itu. Membiru gelap, lebam di kawasan itu dan sedikit benjol.

Mengaduh si Seth bila Anisah menyentuh bekas penangan bucu meja kopi. Rimas dia dibuat Anisah bagai anak kecil. Dia menolak wajah daripada pekup tangan wanita itu.

"Sikit ajelah ibu... Terhantuk pintu malam tadi, main game sambil berjalan," bersahaja Seth berbohong. Berubah garang wajah Anisah. Bahu Seth dipukulnya sekali.

"Tak habis-habis main game! Pergi duduk dekat meja makan tu! Ibu ambil ais, tuam benjol tu, biar surut," Anisah memberi arahan. Bagai lembu dicucuk hidung, Seth menurut. Resahnya semakin menjadi-jadi.

"Ha! Apa yang awak nak cakap sangat tu?" Berjalan daripada dapur, Anisah membawa bersamanya bongkol ais yang dibalut dengan kain bersih. Matanya tertarik pada helaian A4 tidak jauh daripada kaki Seth. Bongkol ais ditekupkan pada dahi Seth sambil dia bongkok tubuh mengambil kertas tersebut.

SEBENARNYA ILUSIWhere stories live. Discover now