6

100 6 0
                                    

Canggung. Tegang. Seth, Anisah dan Chai, masing-masing membisu. Tiba-tiba kedengaran bunyi telefon berdering. Datangnya daripada tas tangan Anisah di atas pulau dapur. Tiada reaksi daripada wanita itu. Dia sudah menerawang jauh, memikir yang macam-macam tentang Seth. Apa yang baru sahaja berlaku ternyata adalah kejutan buat dirinya.

Seth bingkas daripada duduknya di kerusi meja makan. Dia mendapatkan telefon yang minta diangkat. Talian dihubungkan.

"Assalamualaikum... Auntie Manisah, Seth ni... Ibu ada... Dia singgah rumah Seth kejap. Ya auntie... Kejap lagi ibu sampai. Ok auntie. Waalaikumsalam." Seth menamatkan perbualan. Dia lantas mengemaskan barang-barang Anisah. Beg-beg kain guna semula yang dibawa Anisah tadi, dilipatnya kemas lalu dimasukkan ke dalam tas tangan ibunya itu. Kemudian dia mendapatkan ibunya yang masih tercegat di ruang makan. Seth memberi senyum. Ceria wajahnya seperti selalu, bagai tiada apa yang berlaku.

"Ibu... Ibu dah lambat ni. Pendaftaran pelajar pasca dah nak mula. Ibu kena ada dekat sana kan? Auntie Manisah suruh ibu datang cepat. Untuk bagi ucapan, wakilkan Dekan." Seth menyampaikan pesanan Manisah tadi. Bahu Anisah dipautnya, digesa tubuh wanita itu menghala ke pintu.

Anisah sekadar mengikut, pandangnya sedari tadi tidak lepas daripada susuk anaknya itu. Perasaannya gundah, menanggung bimbang tak terkata. Tanpa sempat dia membantah, tubuhnya sudahpun berada di luar rumah. Seth berdiri di wijil, menahan kuak pintu daripada automatik tertutup.

"Awak ok ke? Ibu ambil cuti ya? Kita pergi jumpa Dr. Nadya." Anisah merapati Seth. Tangannya menyentuh lembut wajah yang disayanginya itu.

Seth menggeleng, kekal dengan senyumannya. Dia mengambil tangan Anisah dari pipinya, menyalam dan menciumnya.

"Seth ok... Seth minta maaf ibu.... Nanti Seth ke UAM, Jumpa ibu. Tapi bukan hari ni. Ibu pandu kereta elok-elok ya. Bye, assalamualaikum." Seth mengkucup dahi Anisah, senyum segaris, melambai dan lantas terus menutup pintu.

Anisah terpana di depan pintu kayu. Dia mahu menekan punat yang akan mengumandangkan lagu Teman Didi, tetapi picit jarinya terhenti di awangan. Mungkin sekarang bukan masa untuk mendesak lagi. Fikirnya.

"Waalaikumsalam..." Anisah berlalu pergi.

Seth bersandar di belakang pintu itu. Mengeluh panjang. Apa yang terjadi tadi tidak sepatutnya berlaku. Sejurus serangan panik yang dialaminya tadi, mujur sahaja Chai muncul, menyelamatkan keadaan. Doktor peribadi tidak terlatihnya itu memang tahu hendak berbuat apa dalam situasi cemas sebegitu. Naik kelat dan kering mulutnya disumbat Chai dengan tiga potong lemon kecil bersekali dengan kulit. Masam. Pahit. Kurang asam punya Chai! Pun fikirnya tak terlepas daripada Anisah. Maafkan Seth ibu... Seth kena buat benda ni!

Dia mengambil nafas, dalam. Tangan kanannya di bawa ke tempat letak jantung. Kesakitan serangan panik tadi sudah begitu lama tidak dirasainya. Masih berbekas terasa di dada. 3 tahun 6 bulan. Rekod baru. Yang pasti kau akan hadap banyak lagi serangan lepas ni Seth. Dah sedia? Hatinya menduga diri.

Kau jangan jadi bodoh! Kenapa kau buat semua ni? Kau mahu aku hukum kau sampai mati? Suara itu sayup menyapa cuping telinganya. Dia tersenyum sinis. Aku dah jelak nak ikut telunjuk kau Deting! Kau tunggu je nasib kau nanti! ugut Seth. Waktu itu mangunya terganggu dek Chai Ming Wei yang muncul di pandangan.

Chai memerhati Seth daripada ruang makan. Termenung jauh rakannya itu. Apa yang berlaku antara Seth dan Anisah buat dia musykil. Ada sebekas yogurt di tangannya, diambilnya daripada peti ais Seth yang penuh dengan makanan. Rambang matanya mahu memilih yang mana satu untuk disantap. Untunglah, ibu datang tiap-tiap minggu, top-up peti ais! Getusnya sewaktu di depan pintu peti ais tadi. Kerajang aluminium yogurt dibukanya separuh. Dia menyudu sesuap ke mulut. Sedap. Chai mula bersuara, kemusykilannya perlukan jawapan.

SEBENARNYA ILUSIWhere stories live. Discover now