1

356 15 0
                                    

Tiada yang berbeza pagi itu. Seth, si lima tahun yang baik, akur duduk di meja makan. Dia menunggu Humaira, pengasuhnya yang berada di dapur membuat oat, sarapannya. Bungkam Seth, menongkat dagu pada lengan yang diletak di atas meja makan di depannya. Figura Son Goku, animasi kegemarannya yang setinggi 3 inci, berdiri di atas meja itu, mengajaknya bermain. Namun perhatian Seth bukan pada Goku yang tersenyum girang membuat tanda piece, tetapi tertumpu kepada Anisah, ibunya yang cantik dan manis. Susuk Anisah muncul, tertib menuruni anak tangga yang menghubungkan tingkat dua rumah teres itu dengan ruang makan di tingkat bawah. Seth menguntum senyum sebaik melihat wanita itu. Anisah mengenakan three pieces suit berwarna biru tua dengan kemeja putih dan skirt labuh berpotongan pensil. Elegan dan anggun, layaknya seorang profesional. Prof. Madya Dr. Anisah Jamaludin adalah graduan PhD bidang Psikologi daripada University College London. Dan kini dia bertugas sebagai pensyarah di Universiti Antarabangsa Malaysia, UAM.

"Seth dah sarapan?" soal Anisah kepada Seth. Segera Seth menggeleng.

"Belum. Kak Maira tengah buat oat untuk Seth dekat dapur," beritahu Seth. Dia seronok diberi perhatian oleh ibunya. Cepat-cepat dia menyambung bicara.

"Ibu, Seth nak awan yang Goku selalu naik tu, boleh tak?" Seth menarik hujung lengan baju Anisah, dengan manja meminta. Dia sangat menginginkan figura awan terbang yang selalu dinaiki Goku itu.

"Boleh sayang, hujung minggu nanti kita ajak Ayah pergi The Mall ya. Tapi Seth kena janji dengan ibu, be a good boy! Jangan nakal-nakal. Dengar cakap Kak Maira, boleh?" Anisah sudahpun melutut, bertentang mata dengan Seth, tersenyum sambil menekup kedua-dua pipi gebu anak itu dengan telapak tangannya. Si cilik mengangguk bersungguh-sungguh. Teruja dengan janji ibunya.

"Seth janji. Seth good boy! Seth tak nakal." Sengih Seth sehingga ke pipi. Son Goku di atas meja diambil dan dipeluknya.

Anisah mencubit pipi Seth dan bangun semula. Matanya tertumpu pada roti Gardenia dan beberapa jenis jem yang ada di atas meja makan. Dia berkira-kira mahu menjamah sarapan ataupun tidak.

"Puan nak sarapan dulu?" Humaira muncul daripada dapur, membawa sarapan Seth. Gadis berusia 21 tahun itu sudah bersedia mahu membuatkan roti bersapu jem buat Anisah.

"Tak apalah. Saya sarapan di pejabat saja. Tengah hari nanti awak masak kari telur ya. Buncis tu, buat goreng biasa, pecahkan telur dan tambah kicap sikit. Pastikan Seth makan dan jangan bagi dia tengok TV sangat. Pukul 10 karang tidurkan dia. Tengah hari nanti, kalau saya free, saya balik," Anisah berpesan, panjang lebar. Dia bersiap-siap untuk ke UAM. Beg kerjanya sedia ternganga di atas meja makan. Lencong tubuhnya mengambil beberapa dokumen daripada rak buku. Dokumen-dokumen itu dimasukkan ke dalam leather briefcase Louis Vuitton bercorak monogram LV, tanda dagang jenama popular daripada Perancis itu.

Humaira sekadar mengangguk mendengar pesanan Anisah. Dia duduk di kerusi di sebelah Seth dan mula menyuap anak itu makan.

"Baik Puan... Tuan pulang hari ni kan Puan?" soal Humaira.

Anisah berjalan mengambil fail kerjanya daripada meja sisi yang terletak di tepi tangga pula. Juga disisip ke dalam perut attache case LV sebelum ditutup rapat.

"Ya! Pukul tiga nanti flight dia touch down," jawabnya. Anisah memperkemaskan rambut dan membetulkan kolar bajunya menerusi refleksi diri pada cermin panjang yang tergantung melintang di sepanjang dinding ruang makan itu.

"Seth, Ibu pergi kerja dulu tau. Ingat, jangan nakal-nakal! Dengar cakap Kak Maira." Anisah memberi amanat kepada anaknya buat kesekian kali. Seth mengangguk-angguk, mulutnya penuh dengan oat.

SEBENARNYA ILUSIWhere stories live. Discover now