27

38 4 0
                                    

Orked melangkah perlahan menuju ke kawasan parkir kereta pelawat bersebelahan Perpustakaan Tuanku Azizah. Semenjak dipecat UAM, hanya di situ tempat layaknya dia meninggalkan City. Kerana stiker kenderaan khas bagi staf universiti yang dimilikinya telah tamat tempoh bila berakhirnya 2018. Karang tak pasal-pasal dia kena saman dengan pegawai keselamatan jika memarkir di ruangan khas buat pensyarah. Tak ingin aku derma RM30 saja-saja. Baik aku buat makan! Tak kisahlah berjalan jauhpun, dia sanggup, daripada duit kena kaut.

Daripada Bangunan Canselori tadi, Orked menolak ajakan Mukmin untuk menghantarnya ke PTA menaiki kereta. Saja dia mahu berjalan kaki walau dalam terik panas tengah hari rembang. Satu, kerana dia mahu lari daripada lelaki itu. Dua, kerana dia mahu ruang untuk berfikir. Proposal yang ditawarkan Mukmin betul-betul buat perasaannya bercampur baur. Perlukah aku terima? Pusang hati Orked bak pantai dilanda air pasang.

Dia menelusuri laluan pejalan kaki di bahu jalan utama kampus UAM itu. Berjalannya Orked bersebelahan Taman Tasik Universiti, tempat pelajar-pelajar berjoging, bersenam dan beriadah sukan air di waktu petang. Kala matahari tegak di atas kepala seperti sekarang, kawasan ini lengang tiada siapa. Bergerak menuju utara, di hujung tasik itulah letaknya perpustakaan, berjiran dengan Fakulti Sains Sosial di seberang Persiaran Ilmu. Dalam bosan dia menapak, wireless headphone di kepala dibunyikan. Fight Song dendangan Rachel Platten berkumandang, cuba menyemarakkan semangatnya. Lagu tarung itu mahu dia bertempur menguasai hidupnya semula. Jam di tangan direnungnya, pukul 12.30 tengah hari. Tugasan Caffe-nya akan bermula pukul 1 nanti. Langkah dipercepatkan. Mati aku, dah lambat! Pertarungannya kini adalah dengan masa.

"Chai, kau dekat mana? Dah berjanggut aku tunggu!" Seth naik hantu. Selepas 18 kali cubaan menghubungi lelaki itu, kali yang ke 19 baru taliannya disambut si apek Cina. Aura marahnya, masyaAllah, hanya Tuhan saja yang tahu.

"Sabarlah! Aku baru dapat lepas daripada Aline ni. Dia mengamuk sebab aku terpatahkan tangkai iron skillet. Kau tunggu ajelah dekat situ, aku bertolak daripada Cari Gaduh sekarang." Chai memberikan alasannya.

"What? Kau tak habis-habis menjahanamkan harta dapur tu. Cepat sikit! Panas kot!" Semakin membara perasaan Seth. Cemerkap tak boleh tolak ansur mamat ni! Siap kau, nanti aku suruh Aline potong gaji kau!

"Ala... baru panas dunia dah bising. Duduk aje situ diam-diam. Bagi panjang lagi sikit janggut kau tu," Chai membatu api, mendecit tawa.

"Banyaklah kau! Cepat datang! Bawa kereta elok-elok. Jangan kau langgar lampu isyarat pula." Sempat Seth berpesan. Menyampah-nyampahpun, dengan kawan baiknya yang seorang itu, dia cukup sayang.

"Tahulah aku. Ok, jumpa kejap lagi." Chai mematikan panggilan.

Seth mendengus. Bosan dia kerana perlu menunggu lagi. Silang duffel bag di bahu diperkemas. Langkahnya diambil. Perkarangan bangunan FSS di atas bukit itu dia tinggalkan. Dia mahu menunggu Chai di bawah, supaya tidak perlu lelaki itu membawa naik Saga usangnya mendaki bukit. Karang kalau mati enjin, aku juga yang naya kena tolak besi buruk tu! Akal Seth merasional. Sambil menuruni jalanan tar yang curam, AirPods membising di telinganya. Pijak kaki mengikut rancak lagu Gemuruh. Dendang Faizal Tahir menalu rentak kalbunya, menyatakan buru pada hasrat hati yang tersirat. Seth memalu gemuruh jiwa dengan semangat membara.

Pacu jejak dihala ke kaki bukit berjarak sepelaung jauh. Jalan kecil yang dilaluinya berakhir dengan cabang yang bersambung dengan jalan utama yang dinamai Persiaran Ilmu. Di seberang jalan selebar empat lorong itu adalah Perpustakaan Tuanku Azizah. Sesampai dihujung jalan kecil, langkah Seth terhenti. Dia tiada keputusan hendak menunggu Chai di mana. Langsung dia teringat dengan perhentian bas yang letaknya tidak jauh dari situ. Lantas dia memusing tubuh untuk ke kiri, seorang gadis berbaju kurung dengan beg sandang yang dipakai di depan tubuh, melanggarnya. Berteraburan barang-barang gadis itu ke bebata lorang pejalan kaki, dimuntahkan beg kelabu yang terbuka.

SEBENARNYA ILUSIWhere stories live. Discover now