9

92 6 0
                                    

Menung. Entah ke mana Orked menerawang. Fikirannya terbang jauh, berlegar-legar, ke sana, ke mari, tiada arah tuju. Bahan kisar sambal nasi lemak, nota kuliah Kimia Asas II, semak tugasan pelajar dekat GC, tulis tesis, emel SV, duit sewa rumah, duit yuran semester hadapan, duit eksperimen, duit belanja mak-pak, elaun Pael, elaun Kenanga. Otaknya memproses semua itu serentak. Serabut. Overload. Berasap. Sudahnya dia sembam muka ke beg sandang yang ada di atas meja. Biarlah dia lemas pun, memang itu yang dia rasa. Sesak!

"Nasi goreng biasa, pedas, dengan telur dadar, kopi O kosong, siap!" suara seorang lelaki menyapa. Segera Orked angkat muka. Sembap. Luyu. Mengantuk. Pun begitu, senyum manis terpalit di wajah, mengalu-alukan sapaan lelaki itu. Perut yang berkeroncong sudah tidak menyabar minta dijamu. Manakan tidak, dek khianat Ikhwan tengah hari tadi dia cuma merarau roti krim sebungkus.

"Terima kasih Abang Man," balas Orked kepada tukang masak merangkap tauke kedai makan itu.

"Sama-sama. Penat sangat muka tu," tegur Man. Dia sudah selesa dengan Orked. Gadis itu merupakan pelanggan setianya sejak lima bulan yang lepas. Daripada minggu pertama lagi dia sudah ingat si Orked. Nasi goreng biasa, pedas, telur dadar dan kopi O kosong, itu saja yang akan dipesan gadis itu. Tidak pernah berubah. Man tahu kenapa; kerana menu itu yang paling murah, paling mengenyangkan. Kos efektif. Hakikat itu membuat Man sengaja menambah porsi nasi, lauk dan sayur ke dalam nasi goreng Orked setiap kali, biar si kurus kerempeng mendapat tenaga dan zat yang lebih dan seimbang.

"Biasalah bang, baru balik kerja." Lelaki itu telah Orked anggap seperti abangnya. Baik orangnya dan suka mengambil berat akan kebajikan dirinya. Tengok saja pada nasi goreng sebumbung yang dihantarnya. Pelanggan lain dapat Bukit Broga, aku punya Gunung Ledang! Hati Orked terharu. Semoga murah rezeki Abang Man.

"Makanlah. Lepas ni balik rumah terus, rehat," pesan Man. Orked sekadar menyengih dan menabik Man sekali. Buat penyedap hati lelaki itu. Hakikatnya dia perlu meneruskan agenda hari ini yang masih belum selesai.

"Baik bos!" kata Orked. Selepas Man berlalu pergi, dia menarik pinggan nasi mendekat. Mulut sekadar membaca bismillah dan ngap! Nikmat! Sambil-sambil dia santap, Orked mengeluarkan diari daripada beg sandang. Senarai tugasan hari ini disemak semula. Dengan senang hati dia menanda rait pada tugasan yang telah diselesaikan.

"Masak nasi lemak, siap. Emel artikel studen Prof. Malik, settled. Hantar nasi lemak, sudah. Lab Kimia Asas I, done! Caffe, selesai. Beli barang masak nasi lemak untuk esok, baru kejap tadi dekat Pasaraya Hero," Orked mengomel sendiri. Hanya berbaki dua agenda yang belum terlangsai; bawa Grab dan tulis tesis. Orked melihat jam di telefon, waktu menjengah 8.30 malam. Awal lagi. Bolehlah buat Grab sekejap lagi. Dapat lepas duit makan malam dengan duit minyak untuk hari inipun jadilah. Suara hati Orked merencana.

Tiba-tiba telefon berbunyi, menandakan mesej Whatsapp masuk. Sesuap-dua lagi nasi goreng dibawa ke mulut. Whatsapp daripada Imran, mesej itu dibacanya.

IMRAN

Salam Orked. Aku dah bank-in RM200 ke akaun kau. Upah edit paper student Syria Prof. Malik tu. Prof. ucap terima kasih banyak sebab kau dapat buat ad hoc. Kualiti tip top!

Senyum lebar Orked membaca. Alhamdulillah, rezeki. Segera Orked menaip balas.

ORKED

Noted. Terima kasih Imran. Alhamdulillah Prof. suka. Hopefully dapat publishlah paper tu dalam Sains Malaysiana. Kalau kau nak minta tolong aku lagi, bagitahu ya. Aku memang tengah cari duit lebih.

Orked jujur. Dia perlu mencari modal untuk membayar yuran pengajian PhD-nya di UPP bagi semester depan. Mana aku nak cekau RM2500? Mesej balas daripada Imran buat Orked senyum sampai ke telinga, hendak air pancuran terbit.

SEBENARNYA ILUSIWhere stories live. Discover now