2

239 10 0
                                    

Mimpi itu lagi. Seth tersedar daripada tidur dengan keringat membasahi tubuh. Dering jam pintar di pergelangan tangan menandakan jantungnya berdegup diluar normal. Laju. Kencang. Tachycardia menyerang. Dada dirasa berat sedang rongga pernafasan terasa ketat. Dia kekal di perbaringan, menarik hembus nafas perlahan-lahan. Diulang pada tempo yang diperpanjangkan, sebolehnya sehingga kiraan empat, walau sesekali, terputus, tidak kesampaian. Teknik pernafasan itu cara terbaik bagi dia mengawal detak jantung yang mencanak naik dengan tiba-tiba. Nilai beats per minute (bpm) yang tertera pada jam pintar di baca Seth, 170bpm... 166bpm... 159bpm... 155bpm... dan nombor-nombor itu semakin menurun. Itu berita baik, tanda latihan pernafasan yang dibuatnya mendatangkan kesan. Dan sayup-sayup, bising jam pintar mulai berkurang seterusnya menghilang dan diam.

Bunyi berdering menerpa lagi halwa telinga. Kali ini bukan daripada jam pintar, tetapi daripada telefon, di atas meja kopi. Seth tahu itu siapa.

"Chai!" Nama itu terpacul daripada mulutnya. Seth bingkas duduk pada sofa tempat dia berbaring. Telefon yang berbunyi dan bergetar di atas meja kopi diambilnya, lalu talian disambungkan.

"Seth, kau ok ke?" suara dihujung talian tidak sempat-sempat menyoal.

"Assalamualaikum," Seth tidak terus menjawab soalan itu.

"Waalaikumsalam! Kau ok ke tidak?" Tidak sabar Chai dibuatnya.

"Aku ok... Kau cuba jangan ganggu aku nak tidur pagi-pagi buta ni!" kata Seth sambil melirik senyum. Jam pada dinding ruang tamu itu menunjukkan pukul 3.30 pagi.

"Aku ganggu kau?" Chai mendengus, bengang.

"Notifikasi jam kau tu yang memekak dekat telefon aku ni! Tiba-tiba naik heartbeat kau sampai 180, kenapa?" Si apek Cina masih merisau.

"Wira..." Hanya nama itu yang terkeluar daripada mulut Seth, kedengaran haru.

"Kau mimpi lagi?" tanya Chai.

"Hhmm..." Seth tidak menafikan.

"Makin kerap pula sekarang ni... Ini mesti ada apa-apa ni!" tebak Chai, musykil.

Seth tersengih. Sungguh dia tak boleh berahsia dengan sahabatnya ini. Memang benar, ada sesuatu yang disoroknya daripada lelaki itu.

"Tak ada apalah... Dahlah Chai, pergi tidur! Esok kau nak kena bangun pagi, buka kedai." Malas Seth mahu melayankan mamat kepochi di hujung talian.

"Apa yang kau sorok daripada aku? Bagitahu cepat!" Chai mengarahkan.

"Nanti kau tahulah! Aku nak tidur ni, mengantuk. Esok aku jumpa kau dekat kafe." Seth mahu menamatkan perbualan.

"Ok... Tak nak bagitahu tak apa. Aku bagi can kat kau, sebab aku pun mengantuk. Esok..." bebelan Chai terputus.

Talian dimatikan Seth dengan sengaja.

"Membebel macam mak nenek!" omelnya pada skrin telefon. Kemudian dia tersengih sendiri, terbayangkan aksi Chai yang mengamuk akibat perbuatannya itu. Entah apalah yang dia tengah carutkan aku sekarang ni?

Seth melepas sandar pada sofa. Matanya melirik pada dua surat rasmi yang berada di atas meja kopi. Dia mengeluh panjang. Hakikatnya, hatinya walang kerana berita yang disampaikan dua surat itu. Helaian kertas A4 tersebut diletak Seth di atas meja kopi, sebelah-menyebelah. Dengan bongkok tubuh, duduk mendekat meja itu, Seth menyemak dua surat tersebut dengan teliti. Satu berkepala surat logo Kementerian Belia dan Sukan Malaysia (KBS) manakala satu lagi, kepala suratnya tertera tulisan cantik dengan font huruf jawi yang dieja Universiti Antarabangsa Malaysia.

SEBENARNYA ILUSIWhere stories live. Discover now