28

39 3 0
                                    

Orked mengelamun seorang diri di pangkin di bawah pokok kelapa yang terletak di halaman rumah keluarganya. Angin berpuput lembut. Langit cerah ditaburi bintang. Cengkerik bersenandung melodi alam yang menyenangkan. Laman rumah indah dihiasi warna-warni mentol yang mengelilingi pagar batu kediaman itu. Namun, damai keliling bagai tidak memberi kesan apa. Gundah terus bertakung di jiwa. Makin memenuh, mengetat di dada. Menyesakkan. Orked susah hati tentang banyak perkara. Dan salah satunya adalah mengenai lelaki itu. Fikir akal menerjah semula ingatan pada peristiwa di Hospital KPJ Bangsar, yang dikunjunginya lewat petang semalam.

"Excuse me, saya nak tanya, ada tak seorang lelaki dibawa ke sini tengah hari tadi? Dia kemalangan di UAM, kena langgar kereta..." Orked bertanya pada seorang petugas di kaunter pendaftaran wad kecemasan. Di sebelah petugas tersebut ada seorang jururawat yang sedang mengambil dokumen pesakit daripada kaunter pendaftaran.

"Oh, patient Dr. Nadya tu ke? Dia ada dekat dewan bedah sekarang. Di tingkat tiga," jawab jururawat sebelum sempat petugas kaunter membuka mulut.

"Terima kasih..." Orked memberi senyum pada petugas kaunter dan jururawat sebelum pergi meninggalkan wad itu.

Segera Orked ke lobi hospital, untuk mengambil lif ke aras yang disebutkan. Lif dinaiki Orked seorang diri. Apabila pintu gelangsar terbuka, Orked dikejutkan dengan patient transport stretcher yang tersengkang di depan laluan keluar kubikel tersebut.

"Cik nak keluar ke?" tanya seorang daripada dua orang jururawat yang mengiringi katil pesakit boleh gerak tersebut.

"Ya..." ringkas Orked menjawab. Dia mengambil ruang, sementara jururawat yang berdua menolak sedikit stretcher ke tepi bagi membuka laluan untuknya. Tatkala dia sudahpun keluar daripada lif, pandang matanya jatuh pada pesakit yang ada di atas katil boleh gerak itu. Diakah? Orked kurang yakin. Sebahagian wajah kiri lelaki itu dibalut, mungkin bagi menutup luka akibat disagat tar. Orked mengeluh. Kalau sempurnapun rupa lelaki itu, belum tentu dia dapat mengecam dengan betul. Menyesal pula dia tidak menoleh pandang kepada lelaki itu sewaktu mereka berlanggar bahu siang tadi. Katil ditolak masuk jururawat ke dalam lif sementelah Orked masih tercegat di depan pintu, merenung kujur tubuh lelaki di atas stretcher tersebut.

"Tolong tahankan pintu, kami ikut sekali." Permintaan seorang lelaki Cina yang muncul daripada arah dewan bedah diikutkan Orked, automatik. Dia menahan dengan tangan pintu gelangsar yang mula mahu tertutup. Matanya terbuka besar bila dilihatnya lelaki Cina itu adalah pemilik Saga yang hampir melanggarnya beberapa jam yang lalu. Jadi betullah, itu dia! Pandang Orked kembali kepada susuk pemuda di atas katil boleh gerak.

Lelaki Cina masuk ke dalam lif. Bersamanya seorang wanita separuh usia dan seorang doktor pakar bedah yang lengkap memakai skrub. Penampilan wanita elegan tersebut terlihat terjejas dengan sisa tangis. Sementara doktor di sebelahnya membawa mendung pada raut wajah. Tidak kurang serabut paras lelaki Cina yang tidak berhenti meresah.

"Macam mana anak saya doktor?" tanya Anisah dengan suara gementar.

"Keadaannya sudah stabil puan, cuma..." kata-kata doktor itu terluput di sebalik pintu lif yang tertutup rapat. Orked terpegun lagi.

"Cuma apa?" Orked menyebut itu tanpa sedar.

"Jauh melamun... Hang pi mana?" Pertanyaan Abdul Razak menyentak imbauan Orked. Daripada tercatuk tegak di depan lif dia kembali duduk di pangkin di bawah pokok kelapa.

"Eh Pak! Bila pak balik?" Baru dia tersedar yang bapanya sudah ada di sisi.

"Baru sat-sat ni la. Pak bagi salampun hang tak dengar?" Abdul Razak mengambil tempat di pangkin, duduk di sebelah Orked. Orked tersengih dek teguran bapanya itu.

"Waalaikumsalam. Amboi pak, bergaya sakan nooo... dengan motor baru," Orked tersenyum lebar, menyakat Abdul Razak. EX5 merah yang diparkir bapanya di depan tangga rumah, ditiliknya daripada jauh.

"Pak berkenan Y suku, tapi mahai betui, sampai lapan ribu. Dapat EX5 ni pun kira ok la dak? Alhamdulillah." Sengih Abdul Razak pula.

"Tu la pak, tak tunggu cheq balik dulu. Kalau tak, boleh kita pi kedai Uncle Wong sama-sama... Nah pak! Nanti pak bayar duit motor tu ya. Kalau cheq ada rezeki lebih nanti, cheq bagi lagi," Orked menghulur kepada Abdul Razak sampul duit raya berisi RM2500. Selepas solat Jumaat tadi, dia tiba di kampung halaman disambut motor baru bapanya. Diam-diam Abdul Razak membeli motor itu, tanpa pengetahuan mereka sekeluarga. Malah maknya pun juga terkejut.

"Hang simpan duit tu. Hang buat belanja belajar hang..." Abdul Razak menolak tangan Orked. Senyum dia pada anak sulungnya itu.

"Duit belanja cheq ada dah. Pak bayarlah separuh dulu harga motor tu pada Uncle Wong, kuranglah sikit kena bayar bunganya nanti." Terus Orked mendesak. Sempat dia berbohong.

"Hang ingat pak hutang ka beli motor tu? See the leg lah... Pak bayar cash tau!" ujar Abdul Razak.

"Amboi! Banyak duit pak?" Orked terhibur melihat gaya bapanya berbangga diri.

"Pak keluarkan duit Tabung Haji. Daripada simpan, baik guna," beritahu Abdul Razak.

"Isy pak ni, duit tu kan pak simpan untuk pergi buat haji tahun depan dengan mak!" Orked tak puas hati.

"Cukup, insyaAllah. Hang tak payah risaulah. Kalau ada rezeki, duit tak ada dalam bank pun boleh sampai sana. Kalau tak ada rezeki, ada duit berkepuk pun belum tentu Allah jemput," Abdul Razak berbasa-basi. Tersenyum Orked mendengar tazkirah bapanya.

"Betui lah tu... Cepat pak balik hari ni, tak ada kuliah ka?" tanya Orked, hairan. Selalunya pada setiap malam Sabtu pasti pak akan pulang lewat, mendengar ceramah agama di masjid dan kemudian mengopi dengan rakan-rakannya di kedai Pak Talib. Jam di tangan ditenung Orked, baru pukul sembilan.

"Anak pak balik hari ni, pak baliklah awai..." Wajah Orked dipandang Abdul Razak dengan penuh kasih. Namun ada sayu disudut hatinya.

Tersenyum Orked, terharu. Melihat Abdul Razak, terasa menghilang segala masalah.

"Jom teman pak pi pekan. Pak teringin KFC," ajak Abdul Razak sambil mengenyit sebelah mata.

Bertaut dua kening Orked, berkerut dahi.

"Sungguhlah pak? Bukan pak dah balun sepinggan nasi sebelum maghrib tadi ka?" Orked keliru.

"Ala itu maghrib tadi. Mak hang masak bukan sedap pun. Jom lah..." Abdul Razak bersungguh. Tergelak Orked mendengar daging masak kicap maknya dikutuk. Bukan apa, pak penggemar setia masak gulai. Daging masak kicap tu sebenarnya permintaan dirinya. Sebab itu Anggerik menukar menu. Tak sedap tak sedappun, sepinggan nasi membumbung pak makan! Perli Orked dalam hati.

"Ha, yalah! Cheq naik sat, tukar baju dengan ambil kunci kereta," Orked bingkas.

"Tak payah... Karang mak hang tau, dia nak ikut! Kita pi naik motor baru pak. Moh!" Abdul Razak menghalang Orked. Terus dia maju, menghala ke EX5 merah, menyuruh Orked membuntutinya.

"Biaq betui pak... Cheq pakai T-shirt dengan seluaq tidoq ja ni." Semakin pelik Orked dengan tingkah Abdul Razak.

"Ok lah tu. Janji tutup aurat. Naik cepat!" Abdul Razak sudah menunggang motor, menghidupkan enjin.

Nak tak nak, Orked mengikutkan. Lengan kemeja-T yang ditarik naik hingga ke siku, disinsingkan ke pergelangan. Bawal yang di silang kiri dan kanan ke belakang, diturunkan supaya menutup dada. Lalu dia membonceng Abdul Razak, tanpa topi keledar. Kampung style. Menderum EX5 meninggalkan halaman rumah. Sayup-sayup kedengaran suara Anggerik memekikkan dua beranak itu.

SEBENARNYA ILUSIWhere stories live. Discover now