19

53 3 0
                                    

Seth diheret menemani Chai ke kelas mengaji malam itu. Kedua mereka dihalau Aline yang naik hantu dengan perangai kalah budak-budak mereka yang berpakat membantai si Mawi di luar kedai. Siap disorak anak-anak tamu yang berkunjung ke kedai melihat telingkah tiga mereka berkuntau. Walau olok-olok, tapi sudah sah-sah tak kena tempat nak tunjuk samseng. Silap haribulanlah dia orang buat perangai semasa Aline ada di kedai. Ketuk ketampi sudahnya ketiga-tiga Chai, Seth dan Mawi di depan mural dengan anak-anak tamu disuruh menjadi tukang kira sehingga 20.

Padan muka kau orang! Kalaukan ikut hati, mahu saja aku genapkan 100! Geram Aline tiada sudah. Sementelah Chai dan Seth dikerah ke kelas mengaji, sekarang giliran dia pula membuli Mawi.

"Laki-bini dengan madu trio ni sama aje perangai dia orang, macam Firaun!" esak Mawi, memaksudkan Chai, Aline dan Seth. Kerana terpaksa, dia gigih menggosok jubin lantai tandas dengan berus gigi. Padan muka aku!

Sementara itu di Akademi Al-Quran TTDI, kelas mengaji Ustaz Firdaus sedang berlangsung. Penuh bilik darjah itu dengan pelajar-pelajar IQRA yang terdiri daripada kanak-kanak yang berusia di antara lima dan enam tahun. Dalam rendah duduk anak-anak itu, terdapat dua lunjai yang menjulang kepala mereka di awangan, duduk pada kerusi dan meja paling belakang sekali - Seth dan Chai. Ustaz Firdaus pula sebagai guru, mengambil tempat di meja khas di hadapan kelas. Kelas bermula, pelajar masing-masing membuka buku IQRA. Seth dan Chai tidak terkecuali. Sementara pelajar lain sudahpun bersedia dengan halaman muka surat yang sepatutnya, ada dua orang lagi yang masih terselak-selak. Naik sakit hati si Firdaus yang memerhati dari jauh dua pelajar itu dengan cekak pinggang.

"Amin," panggil Firdaus kepada seorang pelajar yang duduk di barisan tengah.

"Ya ustaz," sahut Amin.

"Amin tolong abang berdua dekat belakang tu kejap. Kesian dia orang, dah tua bangka pun tak tahu nak selak muka surat yang mana," sahaja Firdaus memerli. Seronok pelajar-pelajar yang lain mengekek gelak. Semua mata tertancap pada Seth dan Chai yang mencebik bengang. Datang Amin mendekati mereka. Sekali imbas dia melihat buku abang nan berdua, dia menggeleng.

"Ini IQRA 3, kita dah masuk IQRA 4 lah!" petah si enam tahun memberitahu. Memerah pipi si Chai. Seth di sebelahnya sudah menyiku si Cina. Ketawa kelas masih tak surut.

"Kau dah masuk IQRA 4 pun tak tahu ke?" marah Seth.

"Mana aku tahu tiga ke empat, dia tulis arab!" Chai memberi alasan. Pecah lagi kekek gelak. Sedang Firdaus di depan kelas, sudah menepuk dahi.

"Buku oren bukan buku biru!" Seorang gadis kecil memberitahu. Marah gayanya, menggeleng kepala macam mak nenek. Sambil menyengih, cepat-cepat Chai mengeluarkan buku yang dimaksudkan daripada beg. Satu untuk dia dan satu untuk Seth.

"Sudah sedia semua?" tanya Firdaus.

"Sudah ustaz!" satu kelas menyahut.

"Ikut ustaz baca!" arah Firdaus.

"Baik!" jawab sekelas.

Hampir sejam lebih sudah berlalu. Kelas mengaji Ustaz Firdaus sudah lengang. Hanya tinggal Firdaus, Chai, Seth dan dua orang budak lelaki di dalam bilik darjah itu. Dua orang budak lelaki tersebut sedang bertalaqqi, duduk berdepan dengan Firdaus di meja guru. Sementara Seth dan Chai duduk di meja pelajar paling hadapan, memimik perbuatan yang sama. Seth sebagai ustaz dan Chai sebagai anak murid. Kedengaran jelas dua budak lelaki itu membaca, lantas Chai juga turut menutur bunyi yang bagi dia mungkin sama. Sedang Firdaus mengangguk-angguk mengiyakan pembacaan dua budak lelaki di depannya, Seth pula menjegil mata, memegang mulut Chai supaya lebih memuncung membetulkan makhraj bunyi huruf. Tersengih Seth, dia bercanda. Rimas Chai dibuatnya.

SEBENARNYA ILUSIWhere stories live. Discover now