18

57 3 0
                                    

Lena. Takung liur sudah membanjir ke lengan baju, membasah lencun pergelangan tangan kemeja-T hitam, uniform Caffe itu. Orked sedang tidur nyenyak, menampung kepalanya dengan dua lengan yang diletakkan di atas meja belajar. Bertapanya di sudut hujung aras satu PTA itu. Tempat itu tersorok, jarang-jarang orang lalu. Fikirnya berada di situ akan membuatkan dia ghaib, tidak dijumpai orang. Supaya tidak terganggu fokus dan tujuannya ke perpustakaan untuk membuat kerja. Walhal, jauh panggang dari api, tujuan utamanya sudah lama tersasar diulit mimpi. Komputer masih setia terpasang di tepi muka. Tesis Syukor sekadar menjadi penonton kepada wajah lelah gadis itu yang ketiduran hampir satu jam lamanya. Sesekali dia tersenyum dalam rapat pejam mata. Semestinya mimpi manis yang dialami tidak sepahit realiti yang menggigit.

Waktu terasa berlalu laju. Sekejapan semuanya terpapar di depan mata. Dia menjadi pemerhati, berdiri kaku di bawah pokok kelapa di depan rumah kayu, rumah mak-paknya di Kampung Limau, Yan, Kedah. Dipertontonkan kepadanya memori suatu masa dulu. Kelihatan dia menuruni motor yang dibawa pak, berlari anak, menjulang slip keputusan SPM ke awangan sebelum menghulur kertas itu kepada mak yang sedia menunggu di depan rumah. Seronok sakan mereka tiga beranak meraikan hakikat tiada huruf lain selain daripada A pada slip keputusannya.

Kemudian keadaan berubah. Dia yang berkain batik dan berkemeja-T, dengan sekadar tuala menutup kepala, menuruni anak tangga rumah kayu itu, riang menyambut surat pemberian posmen bermotor yang berhenti di depan kediaman itu. Orked tahu itu surat apa. Surat tawaran biasiswa JPA bagi dia melanjutkan pengajian Ijazah Sarjana Muda dalam jurusan Kimia di University of Sydney, Australia. Betapa seronoknya dia waktu itu. Australia akan jadi negara pertama yang dijejaknya selain daripada Malaysia.

Fast forward. Mereka sekeluarga membuat kenduri besar-besaran. Satu kampung dipanggil meraikan, dia sudah pulang daripada Dublin, Ireland dengan sijil Ijazah Sarjana bidang Teknologi Nanokimia. Tambah menggembirakan lagi, dia telah dilantik sebagai pensyarah sementara UAM, malah dinaikkan gred daripada DA41 kepada DS45.

Tiba-tiba suasana berubah. Sunyi pagi menjelma. Rumah kayu pada pagi Sabtu itu diriuhi Abdul Razak, Anggerik dan tiga orang anak mereka, Melati, Kenanga dan Raphael. Yang tiada hanya dia. Dalam hibuk keluarganya itu bersarapan, mencemar masuk sebuah Honda City biru keperkarangan kediaman berkenaan. Beramaian semua ahli keluarganya keluar ke beranda. Termangu-mangu mereka melihat kereta tersebut, ragu-ragu akan gerangan siapa empunya kereta baru yang bertandang. Dan dia keluar daripada City dengan senyum lebar, disambut meriah adik-beradiknya yang menjerit kegirangan. Abdul Razak tersenyum bangga, sedang Anggerik menangis gembira. Suasana itu membuat Orked yang menonton dihambat rasa rawan. Dapat lagikah aku buat mak dan pak tersenyum begitu? Pintu City di bahagian penumpang hadapan tiba-tiba terkuak. Orked angkat kening, dia tidak ingat memori yang itu. Siapa yang aku bawa balik kampung semasa memandu City buat pertama kali dulu? Jelas susuk yang keluar daripada City, kecil molek orangnya, hitam manis. Umi! Umi Kalsum Abu Bakar, teman baiknya itu mula memanggil dia. Bukan memanggil Orked yang sedang berbanggaan menayang City baru dengan ahli keluarga. Tetapi memanggil dia yang menjadi penonton memori tersebut, di bawah pokok kelapa.

"Orked! Orked!" Suara Umi menerjah cuping telinganya.

"Jangan kacau akulah Umi!" katanya selamba. Dia masih tidak mahu tersedar daripada mimpi. Rindunya pada keluarga di kampung masih belum puas dilepaskan.

"Orked!" Pap sekali. Tamparan kuat dibahu menyentak Orked daripada lamunan tidur. Terpinga-pinga dia mengangkat kepala. Aku kat mana? Mana kampung? Mana pokok kelapa? Orked mamai, mengesat muka dengan hujung lengan, tapi basah, lembab. Baru dia perasan akan takung liur yang memeta di meja. Dilapnya segera dengan dua lengan baju. Kelam kabut. Malu. Siapa pula yang kejut aku ni? Cuba jangan kacau orang yang cuba ghaibkan diri ni! Orked mengoceh dalam hati. Perlahan-lahan dia menoleh kepada si kecil molek di sebelahnya.

SEBENARNYA ILUSIWhere stories live. Discover now