21

80 7 0
                                    

Pagi hari kejadian...

Kim menekuni laporan-laporan perubatan Muhammad Seth Azman yang sebeban di depannya. Dokumen-dokumen itu berjumlah 6 jilid semuanya, dengan ketebalan sejengkal setiap satu. Rumit. Kompleks. Akibatnya fikirannya berserabut, perasaannya kecamuk. Tanpa sedar sudah hampir dua jam dia di bilik konsultasi Dr. Nadya Khan. Kerut dahinya tidak boleh ditegang lagi. Bukan calang-calang penyakit yang dihidap anak muda bernama Seth itu. Lebih-lebih lagi selepas dia dipertontonkan dengan rakaman-rakaman video sesi psikoterapi Seth dan Dr. Nadya, luahan perasaan anak itu buat dia bersimpati. Dia terbayang jika penyakit itu dihidap anaknya, Kim Yu Ri, tak mungkin dia mampu untuk menyaksikan anak gadisnya itu hidup dalam keadaan sebegitu rupa. Seksa. Perit. Kejam. Jiwa Kim Dae Han benar-benar memberat.

"Deting yang Seth sebut-sebut dalam video tu siapa? Kedengaran macam Deting itu yang menjadi punca setiap serangan yang dia alami," tanya Kim, dalam bahasa Inggeris pelat Koreanya. Entah soalannya yang keberapa, dia tak pasti. Lebih banyak yang dia baca dan lihat, lebih banyak yang dia tak faham dan mahu tahu.

"The word is 'the thing' actually. Semasa Seth mula-mula kena penyakit ini dulu, dia selalu cakap dia nampak ada kabus hitam yang akan muncul setiap kali dia kena panic attack. Memang betul, dia menganggap kabus itulah yang menjadi punca dia sesak nafas atau pengsan tiba-tiba," Nadya menerangkan.

"Jadi dia berhalusinasi?" telah Kim.

"Ya... Trauma akibat kejadian dia diculik buat Seth delusional. Kabus yang dipanggil Deting itu adalah watak yang dicipta Seth sebagai reaksi dia terhadap peristiwa yang telah berlaku. Selain daripada itu, serangan panik dan pengsan secara tiba-tiba adalah eskapisme bagi Seth untuk lari daripada realiti yang ditakutinya," jelas Nadya.

"Sebenarnya apa yang dia takutkan doktor? Saya faham akan trauma yang doktor katakan itu. Tetapi tak kan Seth masih merasa dia akan diculik lagi? Kenapa trauma itu masih menghantui dia walaupun selepas dia dewasa? Realiti apa yang doktor maksudkan?" soal Kim lagi.

"Ianya bukan sekadar trauma diculik sahaja Coach Kim. Dalam situasi Seth, dia menyalahkan diri sendiri atas apa yang terjadi. Pada hari kejadian, ibunya ada berpesan kepada Seth supaya jangan nakal-nakal dan dengar kata pengasuhnya. Maira, pengasuh Seth juga menyuruhnya supaya duduk tengok TV di ruang tamu dan tidak ke mana-mana. Tetapi Seth, dia keluar rumah untuk mengejar anak kucing sewaktu pengasuhnya itu menjawab panggilan telefon. Realiti itu yang ditakuti Seth. Oleh sebab dia ingkar pesanan ibunya dan Maira, Seth merasa dialah penyebab kepada apa yang sudah terjadi!" Nadya berhenti sejenak, mengeluh.

"Jadi rasa bersalah itu yang menghantui dia?" soal Kim lagi. Nadya mengangguk.

"Dia kemurungan, mudah panik dan sering perlu ditenangkan. Katanya, kalau dia dengar cakap ibu dan Kak Maira pasti semua ini tidak berlaku. Mesti kondisinya juga tidak akan jadi seperti itu. Dia menganggap dirinya punca Wira mati. Dia punca ibu dan ayahnya bergaduh. Dia punca Azman lari ke London. Dia punca Anisah menangis saban malam kerana sedih akan keadaan dirinya. Setiap kali paniknya menyerang, fikiran bawah sedarnya merasakan bahawa memang wajar dia dihukum sebegitu rupa. Watak Deting itulah penghukumnya. Kerana rasa bersalah itu juga Seth dibelenggu PTSD sehingga sekarang," Nadya menceritakan.

Termenung Kim mendengarkan itu. Dia menaruh belas pada Seth. Bagaimana tega jiwa anak berusia lima tahun menanggung rasa bersalah yang setinggi gunung, sedalam lautan dan seberat bumi? Lihat sahaja akibatnya, atma anak itu rosak.

"Jadi bagaimana dia mengatasi keadaan dirinya, sehingga boleh dikawal seperti sekarang?" Kim ingin tahu.

"Seperti mana yang Coach lihat dalam rakaman-rakaman video yang saya tunjuk tadi, psikoterapi sedikit sebanyak membantu Seth untuk mengatasi trauma dan perasaan bersalah yang dia rasa, selain daripada sokongan Anisah, Coach Latif dan juga Chai yang sentiasa ada di sisinya. Tetapi saya boleh kata, taekwondolah yang banyak membentuk karakter dan personaliti Seth. Demi taekwondo Seth sanggup buat apa saja untuk tangani keadaan dia," jelas Nadya.

SEBENARNYA ILUSIWhere stories live. Discover now