31

45 2 0
                                    

Hujan lebat mengiringi perjalanan Orked pulang ke ibu negera. Sejuk menggigit. Petus langit mengguruh petir. Suasana bagai meraikan dingin hati dan guntur perasaannya. Kampung ditinggalkan dengan rasa berbaur. Desak mak, pujuk pak, karenah Pael... semua itu membuat dia runsing. Seperti terdengar-dengar cakap-cakap ahli keluarganya. Berulang-ulang memenuh kotak fikir. Siaran radio yang membingit lagu seperti muzik tanpa lirik. Balik-balik suara Anggerik, Abdul Razak dan Pael juga yang menjengah cuping telinganya.

"Hang bila nak habis PhD? Awat yang lama sangat? Bilalah mak ni boleh panggil hang doktor?" Anggerik menyoal tanpa brek. Dia menuang kopi ke dalam cawan. Mereka empat beranak duduk di meja makan, mahu bersarapan pagi di hari minggu. Kebetulan Abdul Razak off daripada bertugas, jadi tidak perlu dia ke balai hari ini.

"Hang ni Anggerik, pagi-pagi buta dah membebel. Cuba tutup mulut tu sikit. Pot pet pot pet!" Abdul Razak menegur. Dia lemas perut bila Anggerik terusan menyerang Orked.

"Isy abang ni! Cheq bertanyapun salah ka? Tak reti dah cheq nak menjawab apa. Orang kampung ni sibuk dok tanya, Orked dah habis belajar ka belum? Dah dekat tujuh tahun tak habis-habis lagi," balas Anggerik, sudah memuncung mulut.

"Orang kampung ni tak tanya kalau hang tak mula. Sudah-sudahlah tu Cik Anggerik oi! Tok sah dok heboh satu kampung, bercerita anak hang ni kerja hebat. Macam la anak hang sorang saja mengaji tinggi!" Abdul Razak naik meluat. Perangai isterinya tak berubah-ubah. Suka benar menunjuk-nunjuk dengan orang kampung akan Orked. Megah menjaja cerita, anaknya itu belajar di luar negara, kerja pensyarah di Kuala Lumpur, punya rumah besar di Taman Tun Dr. Ismail dan memberinya duit lumayan saban bulan.

"Eh abang ni! Memang anak kita sorang ajelah yang mengaji sampai PhD dekat kampung ni! Kalau cheq bercakap tu, semuanya tak betul!" gerutu Anggerik.

"Sudahlah mak, pak, tak elok bertengkar depan rezeki. Nah pak!" Orked menceduk nasi goreng cili padi yang digorengnya tadi ke dalam pinggan, dihulurkan kepada Abdul Razak. Abdul Razak menyambut, tanpa senyum.

"Pael... cukup, banyak ni?" Orked menyoal pula adiknya yang sejak tadi leka bermain telefon di sebelah Abdul Razak. Sekilas Raphael angkat muka, masam dia memandang Orked. Telefon diletakkan di atas meja, lalu pinggan dan senduk di tangan kakaknya di ambilnya, kasar. Dia menambah dua senduk lagi nasi tanpa berkata apa.

"Bila hang balik daripada Itali tu? Lepas hang balik, mak pi sana na... Dah lama mak tak pergi rumah hang. Mak ingat nak ajak Munah dengan Salwa sama. Depa pun nak shopping raya dekat Jakel." Anggerik menukar topik, sambil menjamah nasi goreng panas air tangan anaknya itu. Raphael di depan Orked mendengus, memapar wajah menyampah. Orked telan liur. Dia tak tahu mahu menjawab apa.

"Tak payah! Abang tak izinkan!" Abdul Razak bersuara, tegas.

"Kenapa abang ni? Asyik marah-marah daripada tadi. Saya nak pergi rumah anak pun tak boleh ke? Sejak masuk tahun baru ni, sekalipun saya tak pergi sana lagi!" Anggerik cerlung memandang Abdul Razak.

"Bukan tak boleh mak... Cuma cheq sibuk sikit sebulan dua ni. Nanti bila cheq dah tak sibuk, cheq bawa mak datang rumah cheq ya... Pasal habis belajar tu, kan cheq bagitahu mak hari tu, cheq kena buat semula eksperimen cheq. Bulan September nanti baru stok bahan kimia yang cheq perlukan tu ada. Mak doakan ya, insyaAllah, tahun depan cheq grad lah. Sekali dengan Pael..." Orked senyum, tapi hanya dia seorang. Anggerik dan Abdul Razak masing-masing diam, bising mereka cuma dengan jelingan mata. Raphael pula kekal dengan muka ketat. Masing-masing menyudu nasi goreng dengan hati panas.

Jadi tegang suasana di meja makan itu. Orked memandang mak dan paknya dengan hati resah. Dia menangkap renungan mata Abdul Razak, memberi isyarat supaya perkara sebenar diberitahukan kepada Anggerik. Tetapi digeleng perlahan bapanya. Hang jangan bagitahu mak hang. Karang meroyan dia pergi Kuala Lumpur tu cari hang. Lagi hang tak boleh buat kerja nanti! Itu pesan bapanya sebelum mereka pulang daripada KFC dua malam yang sudah.

"Pael, keputusan semester lepas dah keluar kan? Macam mana, ok?" Orked ramah, cuba menghidupkan semula suasana. Adiknya itu mengambil Diploma Pentadbiran Awam di UiTM Kedah di Bedong, hanya 24 kilometer daripada rumah mereka. Tetapi malang, soalan itu bukan menjernihkan malah memburukkan lagi keadaan.

"Tak payahlah dok tanya dia long. Teruk! Dia kena mengulang kursus... Itulah, kerja asyik merayap, meligan motor ja. Belajar entah ke mana." Cepat Anggerik menjawabkan pertanyaan Orked. Itu membuatkan Raphael menghempas sudu garpu ke pinggannya. Pinggan nasi goreng yang masih penuh itu ditolaknya ke tengah meja.

"Tengok tu! Kalau orang cakap sikit macam tu lah. Melawan! Patutnya mak ni yang mengamuk! Ini terbalik kod. Dia yang tak belajar betul-betul, kita pula yang dimarah!" Suara Anggerik memetir lagi. Merah telinga Raphael. Abdul Razak hanya terdaya menggeleng memandang Anggerik dengan rasa putus asa.

"Ya lah! Pael ni bodoh! Anak mak, kak long sorang ja! Kak long ja yang cerdik pandai dalam keluarga ni... Pael ni bodoh, tak guna!" Raphael angkat kaki. Sakit hatinya. Dalam diam, dendamnya pada Orked terbit. Disemai puji melambung Anggerik yang seperti membeza-beza kasih terhadap anak. Yang pandai disayang-sayang yang tidak dicaci keji. Sejak Orked pulang Jumaat lepas, makin menjadi-jadi perli Anggerik kepadanya. Tak boleh ka hang jadi macam kak long?. Kata-kata maknya itu mengapikan amarahnya.

"Pael! Apa cakap macam tu dekat mak! Pael!" Orked menjeritkan adiknya yang telahpun menuruni tangga kayu, turun daripada rumah.

"Biarkan dia kak long. Perangai melawan menjadi-jadi. Ikut perangai pak hang lah tu!" sembur Anggerik kepada Abdul Razak pula.

Santap Abdul Razak terhenti, disentap Anggerik. Dia juga menolak pinggan. Seperti Raphael, dia bingkas berlalu pergi, menghidupkan EX5 merah. Mahu mencari tenang daripada bunga yang terlanjur disunting. Bukan kerana sesal tetapi sebab kesal. Sebagai suami, dia ternyata gagal membentuk akhlak isterinya.

Perginya Raphael dan Abdul Razak buat hati Orked merusuh. Namun Anggerik tidak mengendahkan. Malahan dia suka ditinggalkan seorang dengan anak sulungnya itu. Peluang itu diambilnya sebaik mungkin.

"Hang kenal Rashidi? Anak Mak Leha kampung sebelah? Dia kerja jurutera di Kuala Lumpur..." Anggerik memasang pancing. Kali ini dia mahu mengail hidup Orked pula, supaya boleh dia berbangga-bangga lagi.

Brek kaki ditekan mengejut tiba-tiba. Tubuh Orked tersentak ke hadapan akibat inersia. Ingatan pada Rashidi yang tidak dikenalinya meluncur pergi mengikutkan momentum itu. Jalan yang tadinya lancar, sekejapan menyiput. Deretan kereta mula beratur. Mengambil giliran untuk lepas daripada halangan yang wujud di hadapan. Bila tiba gilirannya, Orked memanjang leher menjenguk luar kereta. Dalam hujan lebat yang mengguyur, kabur pandangannya tertampan pada sekujur tubuh yang tertiarap di jalanan. Kemalangan! Pemanduan diteruskan Orked dengan doa agar mangsa kejadian semuanya selamat dan urusan mereka dipermudahkan.

Kemalangan tersebut membuat Orked teringatkan lelaki itu. Wajah pesakit di atas katil boleh gerak itu terbayang-bayang di pelupuk mata. Beransur rasa kasihannya menjelma semula. Ustaz kata waktu hujan lebat antara waktu mustajab berdoa. Orked tidak lengah. Hatinya menitip harapan pada yang Esa. Entah mengapa, tumpu permintaannya adalah untuk si pemuda tiada nama.

Ya Allah dalam rahmat yang kau bawa turun mencucuri bumi ini, aku mohon kau berilah kesembuhan kepada lelaki itu, kau beri mudah atas segala urusannya dan kau beri cekal pada hatinya menempuh dugaanMu. Selamatkan dia Ya Allah. Selamatkan dia...

SEBENARNYA ILUSIWhere stories live. Discover now