10

87 6 0
                                    

Orked memandu masuk ke petak parkir yang kebetulan kosong di depan kafe unik yang diberi nama Cari Gaduh itu. Dia memerhati sekeliling, tercari-cari si pemanggil Grab yang telah menempahnya. Daripada dalam kafe, keluar seorang lelaki Cina berkemaja-T dengan seluar jeans boot cut. Lelaki itu menjenguk nombor plat City lalu cepat-cepat masuk ke dalam kafe semula.

"Kau nak pergi mana pula tu? Cepatlah masuk! Janganlah buat aku tunggu lama-lama," bebel Orked. Dia memerhati gelagat Chai dengan cerun mata.

Chai masuk semula ke dalam premis Cari Gaduh. Perlahan dia menepuk bahu Seth yang lena ketiduran di meja tamu.

"Seth, Grab kau dah sampai," beritahunya. Seth terjaga, terpisat-pisat. Wajah Chai ditatapnya dengan raut keliru.

"Plumber dah siap buat kerja ke? Kenapa kau panggil Grab? Kaulah hantar aku balik rumah," soalnya, tak putus-putus.

"Plumber tak habis buat kerja lagi. Tapi kau baliklah dulu. Penat sangat aku tengok kau," Chai berempati. Tidak dinafikan dia mudah kasihan dengan Muhammad Seth Azman. Rasa bersalah pula dia kerana mengkulikan si galah sepanjang hari ini.

"Kau dengan Aline punya pasal lah, buat aku penat!" gumam Seth, menggerutu. Sakit hati dia melihat Chai yang tersenyum kambing. Pun dia tidak membantah dengan cadangan itu. Segera dia angkat punggung, namun belum sempat dia sampai kepada Chai, suara Aline kedengaran memanggilnya.

Seth berpaling. Kelihatan Aline daripada ruang dapur, berjalan pantas ke arahnya. Di tangan darling Chai itu ada tupperware merah jambu.

"Nah! Aglio Olio. Panas-panas lagi. Karang sampai rumah terus makan. Kalau tak habis, masuk dalam peti ais. Esok boleh panaskan balik." Aline sudah gaya mak-mak bagi pesan pada anak. Sementara dia memantau tukang paip membaikpulih kepala paip, sempat dia memasakkan hidangan spaghetti itu buat Seth.

Seth menyambut huluran Aline dengan hati terharu. Chai yang tadinya ada di depan pintu kafe datang mendekat kepada mereka berdua, tersengih-sengih. Dia memandang Aline dengan angau jiwa. Tersentuh dia dengan pujaan hatinya itu.

"Kau tengok Seth, betapa baiknya madu kau ni." Chai menyuluh kebenaran. Baik tingkah si Aline buat dia semakin sayang pada darlingnya itu. Tak kisahlah walau garang macam bentara buru sekalipun! Malah, kerana sikap Aline yang garang macam jeneral tentera itulah yang membuatkan Chai jatuh hati. Hanya Aline saja yang boleh menjinakkan perangai gila Chai Ming Wei. Lagi pula Aline sahaja yang faham akan hubungan rapat antara dia dan Seth. Kalau perempuan lain, sudah lama cemburu.

"Aku takut kau mati kebulur je sebab tak makan malam. Karang tak sempat jadi madu aku, si Chai ni dah menduda. Tupperware tu nanti bagi balik! Mahal aku beli," gertak Aline. Chai dan Seth mendecit ketawa.

"Thanks Aline. Nanti aku makan." Seth senyum tunjuk gigi. Sebetulnya bagi Seth, dia tak pernah menganggap Aline seperti madunya pun. Tak ada niat langsung dia mahu merebut Chai daripada gadis itu. Tiba-tiba dia rasa dirinya mirip watak Joey Tribiani dalam sitcom popular Friends. Si Chai, Chandler dan Aline, Monica. Kena betul! Hakikatnya memang sungguh Chai dan Aline membuat Seth seperti anak kecil yang sentiasa perlu dipantau tengok.

"Makan! Jangan tak makan! Karang perut tu masuk angin, macam mana kau nak berlatih? Aku juga yang kau susahkan nanti," bebel Chai pula.

"Tahulah aku!" Cebik Seth. Dia menghadiahkan satu tendangan padu ke buntut Chai.

"Aduh! Sakitlah bengong," Chai menggosok-gosok punggung dan terus mengejar si galah yang pantas berlari menyelamatkan diri.

"Aku balik dulu Aline!" laung Seth, sebelum keluar daripada Cari Gaduh. Aline sekadar menggeleng melihat gelagat dua sahabat tersebut. Sudah biasa benar dia dengan karenah dua ekor anjing dengan kucing itu.

SEBENARNYA ILUSIWhere stories live. Discover now