29

42 3 0
                                    

Aline dan Chai masuk ke bilik pesakit bernombor 610, Wad Neurologi. Bilik eksekutif perseorangan itu menempatkan Seth yang masih dibawah pemantauan. Anisah ada, sedang duduk di kerusi bersebelahan katil pesakit, membaca Surah Yasin. Sedang Seth, dia terbaring, masih tidak sedarkan diri.

"Auntie, mari makan dulu. Auntie mesti tak makan lagi kan?" sapa Aline selepas Anisah selesai membacakan doa selamat.

"Auntie tak ada selera Aline..." Sungguh Anisah tak lalu. Sedang Seth sendiri tidak menjamah apa-apa, mana mungkin dia tertelan untuk menjamu selera.

"Jangan macam tu auntie. Nanti auntie jatuh sakit... Makan sikit ya. Ni congee yang Chai buat tadi, panas lagi," Aline menghulurkan mangkuk berisi bubur nasi yang baru dituangnya daripada bekas thermos. Anisah tidak mahu menyambut.

Chai mengambil mangkuk itu daripada Aline yang tercegat di sebelah Anisah. Dia bersandar pada katil Seth, berdepan dengan wanita itu. Anisah memandangnya.

"Auntie tahu... Ada satu hari tu, si Seth buat perangai tak nak makan. Dia merajuk sebab saya pergi camping dengan Yusof's Clan. Dah mengada-mengada sangat merajuk, saya songlap semua makanan yang auntie penuhkan dalam peti ais dengan almari kat Sky Condo tu. Tak nak makan sangat kan!... Malam tu dia mengamuk sebab lapar. Nak makan, tapi tak ada benda... Last-last saya juga yang dia kenakan. Pukul tiga pagi saya ke sana, masakkan dia mee goreng," cerita Chai sambil tersengih.

Anisah melirik senyum, lalu menggeleng.

"Apa yang dia buat?" Anisah mahu tahu.

"Dia naikkan heartbeat dia dengan buat rope skipping. Bila saya dapat notifikasi daripada jam dia tu, saya call lah. Dia suruh saya datang Sky Condo bawa makanan, nak yang panas-panas katanya. Kalau saya tak datang, notifikasi tu tak berhenti-henti memekak. Kalau auntie, auntie tak marah ke?" Chai menggeram mengingatkan kisah itu. Senyum Anisah sudah menjadi ketawa kecil.

"Padan muka you!" Aline turut tertawa.

Chai menghulur semula mangkuk bubur bila mana Anisah tersenyum memandang Seth di atas katil.

"Makan sikit auntie... Mesti Seth risau kalau dia tahu auntie tak makan lagi," pujuk Chai.

Mangkuk bubur disambut Anisah, tersenyum hambar.

"Ramai yang datang tadi?" Anisah bertanya. Dia tahu lambatnya Aline dan Chai ke KPJ malam ini kerana Kafe Cari Gaduh mengadakan bacaan Surah Yasin, solat hajat dan juga doa selamat buat Seth selepas maghrib tadi.

"Ramai juga auntie. Staf Sethiakawan, krew Cari Gaduh, Mr. Tan, Coach Latif, Coach Kim... Anand dengan Alicia pun ada. Kawan-kawan Seth di akademi dulu pun ada beberapa orang yang datang. Nasib baik ada Ustaz Firdaus. Dialah yang ketuai bacaan Yasin dan imamkan solat hajat," beritahu Chai. Majlis tersebut idea Aline. Kebetulan pula setiap Jumaat memang Cari Gaduh tidak beroperasi. Maka ruang kedai dijadikan tempat untuk berhimpun bagi mengumpul seberapa banyak doa. Dengan harapan, dalam ramai-ramai itu, ada yang doanya Allah perkenan dan makbulkan. Ikhtiar penawar buat Muhammad Seth Azman.

"Terima kasih ya Chai, Aline..." sebut Anisah. Dia terharu kerana ramai yang mendoakan anaknya. Petang tadi juga, Manisah ada mengkhabarkan tentang bacaan Surah Yasin khas yang dibuat untuk Seth selepas solat Jumaat di fakulti yang disertai oleh staff dan pelajar FSS. Pun begitu...

"Seth masih tak sedar ke auntie?" tanya Aline, walaupun dia sudah tahu jawapannya. Anisah menggeleng perlahan.

"Sudah lebih 24 jam... Kenapa dia tak sedar lagi?" Chai mengeluh. Dia berpaling memerhatikan Seth. Muka sahabatnya itu tidak lagi berbalut seperti semalam. Luka di pipi kiri Seth cuma dibubuh hydrogel dan ditampal dengan plaster. Begitu juga dengan luka di sekitar bahu, lengan dan peha, semua dirawat serupa. Tiada kecederaan teruk pada luaran tubuh lelaki itu sebenar-benarnya. Kecuali...

"Dr. Ahmad pun tak tahu kenapa. Sepatutnya lepas surgery semalam lagi Seth dah sedar." Hati Anisah merusuh kembali.

"Dia koma ke?" Aline menyuarakan andaiannya. Anisah memandangnya dengan geleng kepala.

"Tak... Seth bukan koma. Ujian MRI tak tunjukkan apa-apa kecederaan pun pada otak dia. Ujian refleks dia normal. Bacaan aktiviti otak dia juga normal. Dr. Ahmad kata dia cuma..."

"Tidur!" Chai memotong cakap Anisah. Kejadian dua hari lepas berulang lagi. Kembali sahabatnya itu hilang sedar sehingga tidak lut dikejut.

"Ya, tidur..." Raut bimbang Anisah mahu berubah menjadi tangis.

Di perbaringan, wajah Seth bersih. Nideranya aman. Rautnya damai. Cuma lagaknya... bagai mati.

Masih lagi di dalam kabus hitam itu dia dikurung. Seth punya waktu yang banyak untuk berfikir panjang. Pun begitu ingatannya kabur. Apa yang berlaku? Atas sebab apa pula aku dihukum kali ini? Soalannya dibiar bisu, tidak berjawab. Si penghukumnya senyap. Sejuk dan nyaman keliling membuat Seth tenang. Namun, bagai ada kocak gementar pada aura yang diberi Deting kali ini. Dia dapat rasa. Tapi apa penyebabnya? Seth merasa pening tiba-tiba. Dalam gelita, mata dipejam. Gelora membawa dia pergi.

Ada sinar. Malap. Samar-samar. Cuma mata kanannya boleh dibuka. Itupun cuma segaris nipis. Kelopak terasa berat, tak terangkat. Dia terbaring. Cahaya di siling menyilaukan. Ada dua orang disisinya. Asing. Dia tidak kenal. Kemudian muncul si dia. Mendekat pada mula dan semakin menjauh. Cahaya siling memudar, menghilangkan gadis itu. Berhenti! Tunggu! Aku kenal dia. Dia Orked! Orked... Tidak semena-mena, muncul pula Chai. Ibu. Dr. Ahmad. Suara-suara mereka tidak jelas didengarnya. Apa yang kau orang bincangkan? Apa yang dah jadi dengan aku? Dia mahu tahu. Fokus akal pada fungsi telinga. Dan tiba-tiba Deting mengguntur. Garis cahaya hilang serta merta. Seth dicampak semula ke dalam kabus hitam, terusan dia dipenjarakan tanpa sebab.

SEBENARNYA ILUSIWhere stories live. Discover now