Bab15:Menuju Kemenangan

49 17 0
                                    

"Bagaimana Raven?"

Dia hanya mampu menggeleng.

Adron menghela nafas panjang.

Raja Parados itu sedang mendepangkan tangannya. Dua orang pembantu lelaki yang gagah, sedang menyarungkan zirah pada tubuhnya. Selepas pakaian perang itu siap disarung, Adron diserahkan pula helmet perang. Helmet itu digendongnya pada paras pinggang.

"Masih tiada khabar tentang jeneral Ryuken. Patik berpendapat pembesar pandora mungkin sedang menjalankan rancangan terakhir mereka."

"Biarlah. Sekurang-kurangnya pertahanan pandora takkan bertahan lama. Mereka telahpun dilemahkan dari dalam."

Raven mengangguk.

"Apakah semuanya telah bersedia?"

"Itu antara sebabnya aku datang, Tuanku. Semuanya telah bersedia."

Adron tersengih. "Ayuh." Dia membuka langkah.

Raven membiarkan pemerintahnya itu mendahului, sebelum diekorinya.

Adron menyarungkan helmet perangnya. Raven melakukan hal yang sama. Kain yang menjadi pintu khemah diselak. Sebaik sahaja kelibat Adron kelihatan, kawasan itu bergegar dengan laungan.

"Demi raja Adron dan masa depan Parados. Demi raja Adron dan masa depan Parados. Demi raja Adron dan masa depan Parados!"

Bendera kerajaan Parados berkibar megah di sana sini, mencucuk langit. Di satu sudut pula, terdapat sekumpulan tentera berzirah serba putih, dengan bendera yang sama berkibar di atas mereka. Lautan tentera berzirah ini sama-sama berbaris. Dianggarkan bilangan mereka sekitar 50,000 tentera. Dipecahkan kepada 50 batalion dengan setiap batalion mempunyai 1,000 tentera.

Dihadapan lautan tentera tersebut, berdiri tiga marshal Parados. Dua daripada mereka mengenakan zirah yang sama, manakala marshal utama memakai zirah kepunyaannya yang bewarna biru, berdiri ditengah-tengah antara marshal Elyun dan Gidayu.

Dengan itu, lengkaplah bala tentera Adron untuk peperangan pada kali ini. Dua hari mereka memperkemas barisan, maka hari ini tibalah masanya.

Untuk peperangan dilancarkan.

"Untuk raja Adron dan masa depan Parados! Untuk raja Adron dan masa depan Parados!"

Jeritan itu terus menerus menggegarkan suasana. Adron mengangkat tangan kirinya tinggi. Jeritan itu terus terhenti.

"Dengarkan aku wahai para tentera sekalian." Adron melaung dengan keras. Mantel merah di belakang zirahnya terangkat dan berkibar-kibar.

"Peperangan ini untuk menghantar pesanan. Pesanan kepada dunia bahawa mereka tidak sepatutnya memandang rendah dengan pemerintahanku. Mereka tidak sepatutnya memandang enteng kerajaan Parados! Selain itu, peperangan ini juga bertujuan untuk membebaskan raja Kieran. Demi masa depan Parados!"

Suara Adron membelah udara. Disambut dengan hentakan kaki para tenteranya.

Buana bergegar buat beberapa kalinya.

"Benteng Pandora akan runtuh pada hari ini. Dengan apa cara sekalipun, kita akan gegar Pandora dengan seluruh kekuatan. Menghantar kepada mereka ketakutan. Memberikan mereka kesakitan. Tidak ada sesiapa yang boleh menghalang haluan kita! Bantai segala hidupan yang menghalang jalan!"

Suasana menjadi senyap sebentar.

"Untuk Parados!" Adron berteriak.

"Untuk raja Adron dan masa depan Parados! Untuk raja Adron dan masa depan Parados!" Askar-askarnya menyambut.

Pandora (Ongoing)Where stories live. Discover now