Langit dilatari awan berkepul-kepul. Sepanjang pagi berlangsung, cuaca agak panas jika hendak dibandingkan dengan hari semalam. Burung-burung pula kelihatan berterbangan di dada langit, mungkin keluar mencari makanan. Suara-suara askar sedang berlatih melatari suasana di benteng sempadan kerajaan Pandora itu.
Jauh di atas benteng gergasi, kelihatan beberapa pengawal berbaju besi, bersama mereka sebilah pedang yang terletak kemas di pinggang. Salah seorang daripada mereka tidak memakai apa apa perlindungan kepala, membiarkan lidah angin menjelajah segenap inci rambutnya.
Sesekali dia meninjau keadaan sekeliling menggunakan teropong khas, memudahkannya untuk mengesan sebarang pergerakan musuh dari kejauhan.
Tiba tiba, pergerakan tangannya terhenti pada satu arah. Dalam penglihatan yang samar samar, dia mengecilkan kelopak mata sebelum mata itu terbelalak. Dalam hati dia berharap agar apa yang dia lihat itu bohong belaka. Tentera bergelombang seramai itu, ditambah pula dengan tribuchet yang agak banyak bilangannya.
Benteng Pandora akan tumbang dalam sekelip mata!
__
"Parados akan menggempur benteng sempadan tak lama lagi, kekuatan mereka sekitar 50,000 bala tentera. Benteng Pandora takkan bertahan lama, kita kesuntukan masa Tuanku!"
Mereka yang berada berhampiran dengan Ryuken terbeliak hebat.
"Jangan menipu pengkhianat!" Luna bersuara garang.
"Apa buktinya? Boleh terjadi ini adalah satu perangkap." Sambung Arata. Bukan mahu menekan jejaka itu, sekadar berjaga-jaga.
Laila diam mengunci mulut, begitu juga Sawyer dan pemerintah Euthoria. Menyokong kata kata Arata dalam diam.
Lidah Ryuken kelu. Satu-satunya bukti yang ada ialah di sebalik benteng tinggi di sempadan. Untuk menunjukkan mereka hal itu ialah dengan membawa mereka ke sempadan sana. Persoalannya sekarang, mahukah mereka?
Belum sempat pun Ryuken membuka mulut, bunyi semboyan ditiup memecah kesunyian. Menarik perhatian penghuni dewan utama itu. Ditiup Panjang dan kuat selama tiga kali, menandakan Kerajaan itu diambang peperangan. Suasana yang sunyi bertukar kecoh. Rakyat jelata tidak menunggu sebarang arahan, mereka terus menderu beramai-ramai mengatur langkah ke laluan keluar dewan tersebut.
Laila memandang permaisuri Virago sebelum beralih ke Sawyer.
"Tuanku, nampaknya kata mantan jeneral kita benar belaka." Ujar Sawyer.
Air muka Laila bertukar risau apabila mendengar kata kata itu. Walhal mereka baru sahaja hendak melepaskan nafas lega setelah menewaskan pengkhianat Pandora.
Laila menghela nafas, berat dan panjang. Sukar gadis itu hendak menelan kenyataan yang mereka sedang hadapi itu. Namun perjuangan harus diteruskan.
Demi Pandora.
Dia perlu bertarung.
"Jika begitu, ayuh kita ke sempadan!"
__
"Mengapa aku di hadapan?"
Laila yang asalnya sedang memandang ke tempat lain, segera menalakan pandangan ke hadapan.
Ryuken yang tidak lagi bergari, memandang ke belakang sambil menunggang kudanya terus ke hadapan.
Setelah setengah jam menempuh perjalanan dengan menunggang kuda, mereka akhirnya mula memasuki sempadan Pandora. Benteng yang-gah berdiri, terpapar di hadapan mata.
Laila, Sawyer, Luna, Arata dan tanpa mereka sangka perjuangan ini disertai mantan jeneral Pandora yang telah disabitkan kesalahan percubaan membunuh permaisuri Laila. Namun kini, mantan jeneral itu telah memilih untuk meruntuhkan ego dan dendamnya dan memihak kepada perjuangan suci ini.
YOU ARE READING
Pandora (Ongoing)
Fantasia-Sebuah karya yang dicipta oleh seorang dean. Berilah ia peluang untuk membuatkan dirimu ketagih dengan karyanya- Start-[24.5.2021] End -[SOON. ]