BAB 10

167 10 0
                                    


Andai diteruskan lagi kehidupan ini, apakah mungkin bahagia itu akan jadi milikku? Andai aku tamatkan hidup aku hari ini, apakah Allah akan tetap sayang aku seperti selalunya? Izinkah Allah atas apa yang akan aku lakukan ini?

Kereta dihentikan di pinggir jalan. Nur Ayla menyembam muka ke atas stereng kereta. Dihamburkan tangisannya. Bersungguh-sungguh dia menangis. Membuang segala yang ada di dalam hatinya.

"Kenapa aku diuji begini sekali ya Allah.... kenapa?" Nur Ayla merintih. Tubuh disandar perlahan. Air mata yang lencun di wajah dilap dengan tangannya. Bibir yang bergetar mula digerakkan dengan istighfar, berulang-ulang.

"Laillahailla Anta Subhanaka-inni Kuntum Minnazzalimi..." Sungguh Ya Allah, sesungguhnya aku menzalimi diriku sendiri. Berulang kali Nur Ayla membisikkan zikir azimat itu bagi menenangkan golakan jiwanya. Tangisannya beransur reda. Fikirannya kembali tenang. Segala kekusutan yang dirasainya sebentar seakan telah terbang pergi. Nur Ayla memandang terus ke depan. Kereta yang lalu lalang menyedarkan kembali dia kepada dunia sebenar.

Nur Ayla mengucap panjang.

Hampir sahaja dia membuat sesuatu yang bodoh, sesuatu yang bakal disesali seumur hidupnya atau sesuatu yang menghumban diri sendiri ke tempat paling ditakuti semua manusia. Allahuakbar!

Nur Ayla mengambil telefon bimbit di ribanya. Nombor Rashid dicari.

"Jadi, ini akhirnya kita?" Nur Ayla menekan butang hantar. Nur Ayla membetulkan kedudukannya, ingin memulakan semula pemanduannya. Pulang, bukan ke rumah mak atau ayah tetapi ke rumahnya di Ipoh. Biarlah mak dan ayah dengan apa sahaja yang mereka hendak percaya, Nur Ayla mahu mencari tenang, mahu mencari arah ke mana harus dia bawa dirinya selepas ini. Telefon berbunyi.

"Akhirnya kita adalah berdua. Tunggu, saya akan kembali." Nur Ayla menghela nafas perlahan. Haruskah dia yakinkan dirinya untuk Rashid atau yakinkan diri untuk hanya sendiri sehinggalah sampai suatu waktu yang mungkin diizinkan dia berkongsi rasa dengan seseorang?

Nur Ayla tidak membalas. Pemanduan diteruskan. Nur Ayla menetapkan hatinya. Dia harus sendiri untuk masa ini. Yang datang adalah seperti hujan yang menyejukkan atau matahari yang memberi panas. Apa sahaja yang datang kerana izin Yang Maha Esa, terima dan teruskan. Allah sentiasa ada untuk hamba-hambaNya.

10 bulan kemudian ...

Husna menyusun kerusi dan meja mengikut perancangan mereka. Esok adalah hari pembukaan Le Café Ayla's Bakery milik Nur Ayla. Kafe kedua miliknya. Jauh sedikit dari kafe pertama yang akan diuruskan oleh Husna, memandangkan rumah Husna dekat dengan kafe tersebut. Ayla's Bakery kedua ini akan diuruskan oleh Nur Ayla sendiri. Lokasi yang agak jauh tetapi kawasan yang lebih terbuka dengan pelanggan yang lebih ramai, mungkin. Nur Ayla telah membeli rumah kedai ini, jauh ke Seri Iskandar. Membawa haluan baru dalam kerjayanya.

"Husna, mana pembantu kedai yang Husna bagitau akak tu. Dah jam berapa ni tak sampai lagi?" Soal Ayla sambil mengelap meja kaunter. Husna meninjau ke luar kedai.

"Dia ada mesej tadi, lewat sikit, kelas yang mulanya batal tapi tiba-tiba jadi pulak. Dalam pukul 11 kejap lagi dia datang."

"Student UiTM ke?" Soal Nur Ayla.

"Haah kak, student UiTM. Nanti akak kena tengok jadual kelas dia, senang akak nak manage waktu kerja dia." Ujar Husna yang lebih pakar dalam merekrut pekerja baharu untuk Ayla. Nur Ayla sekadar mengangguk kepala sambil meneruskan kerja-kerjanya.

Selepas beberapa ketika Nur Ayla dan Husna sibuk mengemas kafe yang bakal diperkenalkan kepada umum esok, seseorang menjengah masuk ke dalam kafe.

MUZIKAL CINTAWhere stories live. Discover now