CINCIN emas berkilau dihiasi permata kecil dijari manisnya diusap. Bibirnya tidak lekang dari senyuman manis sejak cincin itu tersarung di jari manis. Sukar untuk dia percaya yang dia sudah pun menjadi tunangan orang. Tunang kepada Haiyan Aniq. Semua itu bagaikan sebuah mimpi. Jika itu mimpi, dia tak ingin disedarkan dari lena. Biarkanlah dia terus bermimpi.
Siapa sangka, bertemu dengan seorang jejaka hanya disebabkan satu kemalangan tetapi membawa mereka berdua hingga ke tali pertunangan. Dari stranger menjadi tunangan. Dan, paling tidak dijangka adalah apabila dia dapat tahu Haiyan adalah sepupu dia.
Pada mulanya agak terkejut kerana selama ini tidak pernah pun Encik Azad bercerita tentang adik tiri kepada Abahnya. Jadi, sekarang dia sudah menjadi tunangan kepada sepupu sendiri. Walaupun hanya sepupu tiri. Ada ke seperti itu?
Akan tetapi, kekadang dia tertanya pada diri sendiri. Adakah benar dia menyukai dan mencintai lelaki itu? Adakah keputusan dia menerima pinangan lelaki itu betul?
Ya. Semua itu betul. Dia tidak membohong pada diri sendiri. Dia suka kepada Haiyan. Mungkin juga mencintai lelaki itu. Pinangan lelaki itu dia terima dengan rela hati dan tanpa dipaksa. Malah, dia rasa bahagia sangat kerana dapat jadi tunangan Haiyan.
Yang menjadi persoalan dia adalah, adakah Haiyan turut menyukai dan mencintai dia? Disebabkan itukah Haiyan mengambil keputusan meminang dia? Atau... lelaki itu ada sebab tersendiri yang dia tidak tahu?
Ketika soalan itu bertandang dalam mindanya, Aareen resah. Gelisah. Takut. Bimbang. Semua perasaan menghantui dirinya. Bagaimana kalau Haiyan hanya mempermainkan perasaannya? Bagaimana kalau lelaki itu akan meninggalkan dirinya setelah dia serahkan sekeping hati miliknya kepada Haiyan?
Dan... dia akan dikecewakan?
Aareen mengeluh dalam diam.
Dia harap semua soalan yang dia fikir itu ada jawapan yang tidak akan mengecewakan dia kelak. Tidak mahu hatinya disakiti buat pertama kali oleh lelaki yang dia sayang.
"Suka?"
Lamunan Aareen terhenti. Suara garau yang menyapa telinga kirinya melajukan lagi degupan jantungnya yang tadinya stabil dan normal. Dadanya berdebar hebat. Tanpa menoleh sudah dia tahu siapa pemilik suara itu. Sehabis mungkin dia mengelak dari mengangkat wajah memandang Haiyan yang sudah mengambil tempat di sebelahnya.
Haiyan pandang Aareen yang tertunduk itu. Cincin yang tersarung di jari manis gadis itu sedikit mengusik jiwanya. Dia rasa seperti... bahagia.
"Jauh termenung. Dah lama tau saya duduk belakang awak. Menungkan apa?" Haiyan memecahkan kesunyian. Kolam ikan berhadapan dengan mereka di perhati.
Aareen menggeleng. Masih tidak mahu membuka mulut. Ingin mengangkat wajahnya jauh sekali. Dia segan. Dari kawan bertukar kepada tunangan membuatkan dia bertambah malu dan segan apabila bertentangan dengan lelaki itu. Perasaan bila bergelar tunang itu lain. Lain sangat.
Tersenyum kecil Haiyan dengan kebisuan Aareen.
"Tiba-tiba jadi pendiam hari ni, kenapa? Dah tak sudi nak cakap dengan tunang sendiri?"
Semakin berona memerah wajah Aareen kerana Haiyan menyebut perkataan tunang itu. Baru saja dia bergelar tunang, tapi kenapa dia punya bahagia macam dia dan Haiyan sudah berkahwin?
"Aareen..." Haiyan memanggil.
"Ya?"
"Asyik tunduk saja. Tak sudi ke tengok muka saya ni?"
Senyap.
Aareen tidak mengangguk mahupun menggeleng. Dia hanya tersenyum lebar disebalik wajah yang menunduk. Cair dia bila dengar suara lembut Haiyan.
KAMU SEDANG MEMBACA
🌷𝐂𝐈𝐍𝐓𝐀 𝐘𝐀𝐍𝐆 𝐓𝐄𝐑𝐀𝐊𝐇𝐈𝐑🌷
RomanceSelepas beberapa tahun pemergian tunangnya, Haiyan Aniq terpaksa mengikut kemahuan bonda tercinta supaya mencari calon isteri dalam masa satu bulan saja. Jika tidak, bonda tercintanya sendiri akan mencari calon isteri untuknya dan dia tidak inginkan...