Dalam dua tiga hari ni, Hani benar-benar tak tenang apatah lagi bila dia tahu yang Zaim Firdaus jelas-jelas cuba memikat hati Alyra semula.
Ugh! Bencinya! Sepatutnya Zaim Firdaus pikat dia dan bukannya Alyra! Entah apa yang istimewa sangat Alyra di mata lelaki itu pun Hani tak tahulah!
Dia tahu yang cintanya hanya bertepuk sebelah tangan tapi dari dia kecil lagi dia sudah menganyam cita-citanya untuk menjadi isteri Zaim Firdaus tapi Zaim Firdaus tidak pernah memandangnya lebih dari seorang adik sepupu.
Jika dulu dia merasakan kehadiran Alyra telah merebut perhatian dari keluarga besarnya tapi dia tidak peduli kerana Zaim Firdaus masih melayan kerenahnya namun sejak kehadiran Alyra, Zaim Firdaus lebih banyak menumpukan perhatian pada gadis itu.
Dari dulu sampai sekarang, Alyra! Alyra! Alyra sajalah yang Zaim Firdaus nampak!
Baginya gadis itulah punca penderitaannya. Kerana Alyra, dia disisihkan dan kerana Alyra juga Zaim Firdaus tidak pernah menerima cintanya.
Hani mengetap bibirnya geram. Hatinya semakin disulami rasa benci dan cemburu. Baru saja dia berusaha untuk mendapatkan lelaki itu setelah ketiadaan Alyra namun kini kebahagiaannya sekali lagi dirampas oleh perempuan yang paling dia benci.
Bukannya dia buta untuk tidak melihat sinar cinta dimata lelaki yang dipujanya tu tapi kenapa Zaim tak boleh memandangnya seperti tu? Apa kurangnya dia dan apa yang lebihnya perempuan tak tahu malu tu?
"Sudah-sudahlah kau nak mogok makan tu, Hani oi! Si Zaim tu tak peduli pun kalau kau nak mati kebulur. Nak merajuk tak kena tempat!" Suara Mak Kiah kedengaran.
Dia menggeleng bila memikirkan perangai anak sulungnya yang seperti budak-budak tu. Nak mogok lapar bagai! Kena marah dengan Zaim Firdaus tempoh hari, terus saja merajuk sampai tak nak makan. Berkurung dalam bilik menanti lelaki itu memujuk tapi sampai ke hari ini tak ada pula Mak Kiah nampak batang hidung Zaim Firdaus ke sini.
Sah, anaknya tu merajuk versi bertepuk sebelah tangan. Entah Zaim Firdaus tahu entah tidak yang anak sulungnya tu merajuk. Malas pula Mak Kiah nak ambil pusing.
Hani merengus geram mendengar suara emaknya. Sakit hatinya mendengar kenyataan yang pahit untuk ditelan tu.
Memang dia mogok lapar sejak Zaim Firdaus memarahinya tapi lelaki itu buat bodoh aje. Makin sakit hati dia jadinya.
Hani melangkah keluar dari bilik mendapatkan emaknya yang sedang menghidang juadah sahur untuk mereka bertiga. Masam mencuka saja mukanya tu. Kalah asam gelugur.
"Mak, Hubungan Abang Im dengan Lyra macam mana?" Tanya Hani seraya duduk di meja makan. Elisa yang sedang bersahur tu hanya dijeling sekilas.
"Macam mana apa? Lyra tu mak tengok tak ada pula melayan si Zaim tu. Zaim tu yang macam melebih dengan dia. Nak dapatkan Lyra semulalah, kot."
YOU ARE READING
Be Yours Again| Diterbitkan
RomantizmWas: Rindu Semalam. Published with new chapters. Start story: 1/1/2017 End story: 10/3/17 Alyra tidak pernah bermimpi untuk berjumpa dengan lelaki yang paling dia benci. Baginya lelaki itu cuma akan memusnahkan hidupnya sekali lagi namun dia pandai...