Bab 37~{I Will Kill Everyone}

75 5 0
                                    


Perlawanan di antara Kyril dan Zach sangatlah sengit, hinggakan mereka yang bertarung di bawah, dapat melihat dengan jelas pancaran cahaya kuasa yang dihasilkan oleh mereka berdua.

Tidak cukup dengan perlawanan di udara, mereka berdua keluar dari balik awan gelap dalam keadaan menjunam.

Kyril berada di hadapan, sementara Zach mengejarnya dari belakang. Dalam masa yang sama, si remaja turut melepaskan beberapa serangan berbentuk bebola kuasa.

Tetapi, Kyril dapat mengelak setiap serangan yang dilakukan. Bebola kuasa yang dihasilkan itu pula akan tersasar, terkena pada bangunan dan ia menghasilkan letupan yang kuat.

Kejadian kejar-mengejar itu terus berlaku sehinggalah tiba-tiba Kyril berhenti dari terbang dan muncul di hadapan Zach secara tiba-tiba.

Zach tekejut dengan tindakan mengejut itu. Dia cuba menghentikan dirinya daripada merempuh Kyril. Tetapi, tiba-tiba saja tubuhnya kaku dan tidak mampu digerakkan.

Kyril menghampiri si remaja lelaki.

Zach yang tidak mampu bergerak hanya mampu mendengus marah.

Cahaya kilat kembali menerangi langit dan ia menyambar ke tanah. Keadaan sama berlaku seperti sebelum perlawanan di antara dua beradik itu bermula.

Sambaran kilat itu membuatkan Kyril berundur sedikit dari Zach. Ini kerana, kilat itu seolah-olah cuba menyambar tubuhnya dan menjauhkan dirinya dari terus mendekati Zach.

"Tch!" Kyril berdecit marah.

Tanpa berfikir panjang, Kyril segera menerpa ke arah Zach. Cahaya kilat yang muncul di depannya dirempuh dengan selamba dan kuasa kilat itu diserap ke dalam tubuhnya.

Leher Zach dicengkam kemas.

"Aku akan bebaskan kau, Zach."

Lingkaran hitam yang mengelilingi leher Zach mengeluarkan cahaya hitam dan ia kemudiannya berubah warna menjadi biru dan terbakar. Lingkaran itu serta-merta menghilang.

Kyril melepaskan cengkamannya dari leher Zach.

Si remaja lelaki itu pula hanya tertunduk dalam keadaannya tubuhnya mengeluarkan asap hitam.

"Zach." Kyril memanggil perlahan.

Zach mendongak. Warna matanya kembali kepada asal dan ia membuatkan Kyril lega melihat rancangannya berjaya.

Tika si lelaki mahu menghampiri si adik, tiba-tiba ribuan pedang terhasil dari belakang si adik. Semua pedang itu menghala ke arah Kyril.

"Perlawanan kita belum berakhir lagi, Kyril." Mata kanan Zach yang berwarna hazel bercahaya dengan terang.

Kyril mengukirkan senyuma sinis.

"Ya, perlawanan kita belum tamat lagi."

*****

Khaaled, Layla dan Irene sudah tidak bertenaga lagi. Mereka bertiga sudah tidak mampu untuk berlawan lagi. Musuh mereka terlalu ramai jika dicampurkan dengan kedua-dua tentera Roze dan juga tentera Zodiak.

Masing-masing sudah tercungap-cungap dan tak mampu berdiri lagi. Masing-masing juga sudah cedera sana sini dan darah membasahi pakaian masing-masing.

Gray yang melihat keadaan mereka bertiga, mengambil kesempatan itu untuk datang menghampiri tiga susuk itu. Dia mendarat di atas bangunan tempat di mana Khaaled, Layla dan Irene berada.

Mereka bertiga hanya mampu memandang tingkah si lelaki. Mereka sudah tidak mampu dan tidak berdaya untuk melakukan apa-apa.

Gray menghampiri Irene yang duduk melutut di atas lantai dengan sokongan pedangnnya.

Zodiac BoyWhere stories live. Discover now