BAB 1

16 4 0
                                    




Aafiyah berdiri kaku sambil memandang bangunan di hadapannya itu. Macam tak percaya pula yang dia akan bekerja di syarikat sebesar ini.

Aafiyah tahu yang syarikat yang menerimanya sebagai pelajar praktikal ini adalah syarikat yang besar dan popular. Sudah pasti standard pemilihan pekerja juga mereka tetapkan tinggi setaraf dengan imej syarikat. Maka, pekerja-pekerja yang diterima untuk bekerja di sini pasti bukan calang-calang orangnya. Mengenangkan hal itu, Aafiyah rasa gemuruh lain macam.

Dalam pada rasa gemuruh, dia juga benar-benar teruja kerana akhirnya ada juga syarikat yang menawarkan pekerjaan kepadanya yang tidak mempunyai sebarang pengalaman bekerja.

Aafiyah menjuihkan bibirnya. Zaman sekarang ni bukan main susah nak dapat tempat intern. Sudah banyak syarikat yang dia mohon namun satu pun tidak memberikan respons yang dia mahukan. Antara alasan dia ditolak adalah kerana kelayakan akademik yang tidak memuaskan ataupun tak aktif dalam kegiatan kokurikulum. Jika tahu kedua-dua itu memainkan peranan penting dalam pencarian tempat intern, sudah lama Aafiyah berusaha untuk ikut serta segala program yang dianjurkan oleh universitinya. Namun, apakan daya. Masa tak boleh diundur, kan?

Namun, dia tidak lagi memakan hati. Sebaliknya, dia rasa bersyukur sangat kerana mampu untuk mendapatkan tempat di syarikat terkemuka seperti Inarah Holdings ini. Dia sekadar mencuba nasib sahaja memandangkan semua syarikat kecil tidak mahu mengambilnya bekerja di tempat mereka.

Aafiyah menarik nafas sebelum dia hembus perlahan. Dengan rasa gemuruh, dia menapak masuk ke dalam bangunan itu. Apabila tiba di kawasan lobi, dia disapa oleh wakil HR yang menanti pekerja baru dan pelajar praktikal untuk masuk hari ni. Setelah selesai urusan pendaftaran dan briefing, mereka mula untuk bergerak ke aras di mana mereka ditempatkan.

"Er, cik Aafiyah. Memandangkan cik seorang sahaja yang akan masuk ke team finance, saya akan bawa cik sebentar lagi. Saya hantar mereka ke aras mereka dulu dan datang balik kepada cik," pinta wanita yang berumur dalam lingkungan 30-an itu.

Daripada 8 orang tadi, hanya Aafiyah seorang sahaja yang akan masuk ke team finance. Dan, yang paling buat dia rasa pelik, apabila menyedari yang hanya dia seorang sahaja pelajar praktikal yang dapat masuk ke syarikat itu. Selebihnya merupakan pekerja tetap yang bakal memulakan hari mereka di sini. Aafiyah cuba menahan diri daripada tersenyum. Tiba-tiba rasa bertuah pula dapat kerja di sini.

Soalan wakil HR itu dibalas dengan anggukan. Satu senyuman lebar Aafiyah hadiahkan kepada wanita itu.

Senyuman Aafiyah dibalas sebelum wakil HR itu menapak masuk ke dalam lif bersama pekerja-pekerja baru yang lain, meninggalkan Aafiyah seorang diri di hadapan lif. Sekilap, pintu lif tertutup.

Dalam kesempatan yang ada, kepala Aafiyah melingas memandang sekeliling lobi. Cantik! Sebaik sahaja tiba di kawasan lobi tadi, dia tidak henti-henti memuji kecantikan kawasan itu yang kelihatan seperti hotel. Grand lain macam! Ini baru lobi, belum lagi tingkat- tingkat yang lain. Ah! Rasa teruja pula nak mulakan hari ini. Tanpa sedar, Aafiyah sudah tersenyum kecil.

"Oh my god!"

Satu suara garau yang kedengaran kuat membuat Aafiyah tersentak. Terus termati senyumannya. Langsung, dia memusingkan kepala ke kiri dan ke kanan untuk mencari dari mana sumber bunyi itu.

"Buta ke?!" Sekali lagi suara nyaring itu menerpa telinganya.

Aafiyah menapak mendekati kawasan pintu kecemasan yang berada berdekatannya. Dia pasti bunyi tadi datang dari arah ini.

Tanpa menunggu lama, dia daratkan tangan pada tombol pintu sebelum dia pulas. Perlahan-lahan pintu dibuka. Tak luas pun dia buka. Cukup sekadar untuk dia melihat keadaan di dalam kawasan itu.

My Secret SuperstarWhere stories live. Discover now