Sudah seminggu berlalu sejak Aafiyah memulakan kehidupan sebagai pelajar praktikal di Inarah Holdings. Boleh tahan sibuk jugalah dia pada setiap hari. Bukan sibuk dengan kerja yang ditetapkan. Tetapi sibuk tolong si Harraz!
Aafiyah sangka dia akan terlepas daripada lelaki yang bernama Harraz Rayyan itu selepas seminggu. Namun, sehingga ke hari ini namanya masih diseru oleh Katrina untuk masuk ke bilik Harraz.
Dalam seminggu itu, sudah beberapa kali dia dipanggil untuk ke bilik Harraz. Setakat buat kerja macam ni je bukan boleh belajar apa pun. Apply intern untuk kerja team finance tup-tup jadi PA tak berbayar kepada Harraz Rayyan pula. Apalah nasib kau, Aafiyah!
Satu keluhan kecil terlepas dari bibir Aafiyah. Kini, dia berada di dalam bilik Harraz. Ya, dia dipanggil lagi untuk shred kertas-kertas yang tidak digunakan. Tangannya mula rasa lenguh sebab melakukan aktiviti yang sama selama sejam tanpa henti. Dia cuba untuk berehat seketika namun cepat-cepat dia meneruskan kerjanya kembali apabila satu pandangan tajam menghunus tepat ke matanya. Pandangan mata lelaki itu sangat menakutkan!
Kotak-kotak yang berada di sisi dipandang kosong. Masih banyak lagi kertas yang perlu dia shred. Haih.... bila la boleh habis ni....
Ting!
Bunyi telefon bimbit Aafiyah berbunyi menandakan ada mesej masuk. Laju dia mencapai telefon bimbitnya dan menatap skrin. Mesej daripada Intan.
'Fiya dah siap ke? Jom lunch.' – Intan.
'Belum lagi akak... Si Rimau ni tak kasi keluar..." – Aafiyah.
Aafiyah tergelak kecil. Si Rimau aka Harraz Rayyan! Suka pula dia dengan nama panggilan itu. Mata lelaki tu tajam macam nak terkam orang je! Sesuai sangat nama Si Rimau dengan dia.
'Ish... tak baik cakap macam tu... Cuba tanya dia, boleh tak nak keluar lunch. Mana boleh dia halang orang nak pergi makan.'- Intan.
'Okey.. kak Intan. Fiya cuba.'- Aafiyah.
Aafiyah mengangkat kepala lalu menetapkan pandangan ke arah meja Harraz. Eh? Mana dia pergi?
Dia mengaru kepalanya tidak gatal. Rasanya tadi dia ada kat sana aje. Bila masa pula dia bangun dari kerusi dia tu?
"You may go."
Semerta, bulu roma menegak apabila satu suara garau menerpa telinganya.
Laju Aafiyah memandang belakang. Bahunya terenjut sedikit apabila melihat Harraz berada betul-betul di belakangnya. Dekat pula tu! Tak.. tak... yang paling penting, sejak bila dia ada kat belakangnya?! Dan kenapa dia tak perasan langsung?!
"Ah..err.."
"Dah tak reti bercakap ke?" tanya Harraz sambil membetulkan kedudukan masknya.
Mendengarkan itu, cepat-cepat Aafiyah bersuara. "Terima kasih, encik!"
Tanpa membazir masa, Aafiyah bangkit dari sofa lalu berlari anak meninggalkan bilik Harrraz. Dia bawa diri dan berhenti betul-betul di hadapan meja Katrina.
"Eh... Fiya okey tak ni?" soal Katrina pelik apabila melihat Aafiyah yang sedang tercungap-cungap di hadapannya itu. Tak pernah-pernah dia lihat Aafiyah keluar dari bilik Harraz seperti ini.
Dalam masa seminggu sahaja Aafiyah dan Katrina sudah menjadi rapat. Hal ini kerana mereka sering bersemuka tiap kali Katrina dia diarah untuk memanggil Aafiyah untuk masuk ke bilik Harraz. Selalunya waktu Aafiyah keluar dari bilik itu, wajahnya akan nampak sangat letih. Tapi, letih-letih macam mana pun Aafiyah masih ada tenaga untuk mengutuk Harraz. Katrina hanya mampu menjadi pendengar setia sahaja.
YOU ARE READING
My Secret Superstar
Romance"Ada hak ke, tak ada hak ke. Semua itu tak penting. Satu je saya nak pesan. Sabar itu separuh daripada iman. Tolong la belajar untuk bersabar, ya." - Nur Aafiyah. Dek pertemuan pertama di antara Nur Aafiyah dan Harraz Rayyan, jejaka yang mengenakan...