Bab 19 & 20

15 3 12
                                    

BAB 19

Aafiyah termenung kosong. Rancangan Running man yang sedang bermain di skrin komputer ribanya langsung tidak dapat menarik perhatiannya. Sebaliknya, fikirannya menerawang pada malam di mana dia menyaksikan persembahan Harraz. Masih segar di cuping telinganya nyanyian merdu Harraz ketika mereka sedang membuat penggambaran dahulu.

Tanpa sedar, Aafiyah tersenyum kecil. Dia benar-benar tidak menyangka yang Harraz mempunyai bakat dalam bidang nyanyian. Serius, sedap gila suara dia!

"Hah! Tersenyum apa tu?!" sergah Aaida secara tiba-tiba.

Bahu Aafiyah terenjut dek sergahan itu. Langsung, dia memalingkan muka pada Aaida sambil menayang muka tak puas hati.

"Kau ni tak reti nak panggil elok-elok ke? Nasib baik aku tak heart attack tadi," bentak Aafiyah sambil mengurut dadanya.

Aaida buat tak endah sebaliknya dia merebahkan badannya ke atas katil Aafiyah. Tangannya masih sibuk scroll aplikasi Twitter.

"Kau dah kenapa ada kat sini?" soal Aafiyah dengan geram. Suka hati aje Aaida tidur atas katilnya itu tanpa izin. Macamlah tak ada bilik sendiri.

"Saje. Bosan duduk sorang-sorang kat dalam bilik," jawab Aaida dalam nada bersahajanya. Matanya masih tertancap pada skrin telefonnya.

"Dah tahu bosan, pergilah jogging ke, masak ke, baking ke.. Ni tak. 24 jam kat phone aje. Mana tak bosan," bebel Aafiyah.

"Kau ni tak ada benda lain ke nak bebel? Asyik ulang benda sama aje." Aaida tayang muka menyampah. Balik-balik benda sama juga nak dibebelkan. Bosanlah!

"Dah kau dok buat benda sama, macam mana aku tak bebel benda yang sama. Try to control yourself, Aaida," pesan Aafiyah dengan nada yang tegas. Entah sudah kali ke berapa dia ulang benda yang sama kepada Aaida. Namun, adiknya itu masih tak mahu berubah.

Bukan dia tak nak bagi adiknya bermain telefon. Tapi berpada-padalah. Kita perlu ada self-control supaya tak terlalu mengharapkan gadget setiap masa. Jadi tak adalah kita mengelupur jika suatu masa nanti tiba-tiba gadget tidak boleh digunakan.

"Hmmmm..." Bagaikan masuk telinga kanan, keluar telinga kiri ayat yang Aafiyah sampaikan kepada Aaida.

Aafiyah hanya mampu menggelengkan kepalanya. Dia kembali menatap skrin komputer ribanya. Malas mahu melayan perangai adiknya yang degil itu.

"Weh!" Terus Aaida bangkit daripada baringnya lalu terduduk di atas katil. Matanya bulat menatap skrin telefonnya.

"Kau dah kenapa? Macam nampak hantu pun ada," soal Aafiyah sambil memandang sekilas ke arah Aaida.

"Harriz ada girlfriend ke?!"

Soalan Aaida buat Aafiyah kaku untuk seketika sebelum dia segera merapati Aaida.

"Girlfriend?" ulang Aafiyah dengan muka tak percaya.

Telefon di tangan Aaida dirampas sebelum dia meneliti artikel yang terpapar di skrin telefon itu.

'Model dan pelakon popular, Harriz Rayqal sedang hangat bercinta.'

Aafiyah membaca satu per satu perkataan yang tertera di dalam artikel tersebut. Secara keseluruhannya, artikel tersebut mengatakan bahawa Harriz sedang bercinta dengan seorang wanita yang bukan artis. Mereka juga ada mengatakan yang Harriz dan teman wanitanya itu pergi bercuti bersama-sama ke Langkawi.

Apabila teringatkan balik, memang benar Harriz berada di Langkawi tika itu memandangkan Aafiyah sendiri bertentang mata dengannya. Tapi, tak sangka pula dia ke sana untuk bercuti dengan teman wanitanya itu.

My Secret SuperstarWhere stories live. Discover now