BAB 4

15 4 0
                                    


Aafiyah termenung sementara menunggu lif tiba. Fikirannya menerawang pada kejadian yang berlaku semalam. Semalaman dia tidak boleh melelapkan dirinya dek memikirkan perkara yang sama berulang kali.

Muka Harraz masih segar di mindanya. Dua wajah yang sama tetapi amat berbeza dari segi personaliti.

Tapi, kalau difikirkan balik, ada juga berbezaan dari segi visual mereka. Harraz lagi cerah dan lagi berisi daripada Harriz. Namun, akan ambil masa juga la untuk mengenal pasti mana satu Harraz dan Harriz. Dah nama pun kembar seiras kan? Sah-sahlah muka sebijik!

Terngiang-ngiang ayat Intan ketika mereka sedang menjamu selera semalam.

"Nama pun nak dekat sama dengan Harriz."

Harraz Rayyan dan Harriz Rayqal. Ah! Macam mana kau tak boleh nampak persamaan mereka ini, Fiya?!

Aafiyah meneliti telefon bimbitnya untuk sekian kali. Biasanya pada waktu-waktu macam ni pasti dia akan dapat panggilan daripada Katrina untuk datang ke bilik Harraz. Namun, kali ni tiada pula. Marah sangat ke Harraz terhadapnya kerana secara tidak sengaja melihat wajah yang cuba dia sorokkan selama ini?

Aafiyah menghembuskan nafas perlahan. Dia patut bersyukur kerana akhirnya dapat juga dia lari daripada cengkaman Harraz. Namun, jauh di sudut hatinya ada jugalah sedikit perasaan sedih. Yelah, dalam seminggu dia bekerja di bilik Harraz dan dia sudah pun menyesuaikan diri dengan kerja-kerja yang diberikan oleh Harraz walaupun selalu kena marah olehnya. Tapi, disebabkan dia sudah terbiasa, dia rasa seperti ada sesuatu yang kurang pada hari ini.

"Please..."

Sayup-suara seseorang sedang merayu dari kawasan pintu kecemasan menangkap perhatian Aafiyah.

Kawasan sama di mana Aafiyah pertama kali bertemu dengan Harraz. Aafiyah cuba untuk buat tidak endah. Takut kena marah pula sebab masuk kawasan larangan itu. Kalau jumpa Harraz, memang kena pecat teruslah jawabnya. Lebih baik buat tak tahu aje.

"Tolonglah I... Harraz..."

Suara seorang lelaki di sebalik pintu itu menarik perhatian Aafiyah. Dah kenapa ada orang nak minta tolong daripada lelaki beku itu? Lagipun, siapa aje yang kenal lelaki itu? Bukan ke Intan cakap yang tidak ada sesiapa pun yang kenal Harraz. Persoalan demi persoalan mula menerpa fikiran Aafiyah.

"Harriz hilang. I tak tahu nak buat macam mana dah sekarang ni," rintih lelaki itu.

Mendengarkan ayat yang terakhir itu, mata Aafiyah terbuntang luas. Terus dia menekup mulutnya.

Harriz... hilang? Dia tak salah dengar kan?

Laju dia melangkah menghala ke arah pintu kecemasan itu. Dia cuba untuk mendengar segala butir bicara mereka dan membuka pintu sedikit. Kira macam curi-curi dengarlah.

Harraz sedang membelakanginya dan ada seorang lelaki yang sedang bercakap di hadapannya.

Aafiyah cuba mengecam wajah lelaki yang sedang bercakap dengan Harraz itu. Itu macam...

Semakin melebar matanya apabila sedar akan identiti lelaki tersebut.

Sal!

Sal atau nama panjangnya Salman merupakan pengurus kepada Harriz. Boleh tahan popular juga Sal ni kerana perangai dia yang yang kalah perempuan. Kalau bercakap pun mesti ada lenggokan badan persis perempuan. Tapi kalau bab menganjing atau memaki orang, mak cik bawang pun boleh kalah. Memang free spirit orangnya.

Kalau bab fesyen pula, memang dialah No.1. Pakaian berwarna warna pink merupakan kegemarannya. Setiap kali keluar mana-mana mesti bergaya macam dia berada di fashion show. Kadang-kadang orang pun akan keliru sama ada dia atau Harriz yang artis sebenar. Tengoklah, pakaiannya ketika ini. Memang nampak glamor yang amat walaupun dia hanya mahu bertemu dengan Harraz sahaja.

My Secret SuperstarWhere stories live. Discover now