BAB 21
"Aku terima nikahnya Nur Aafiyah binti Muhamad Rizal dengan mas kahwinnya RM 1001 tunai."
Mendengarkan lafaz yang keluar dari mulut Harraz, dada Aafiyah semerta terasa sesak. Jemarinya digenggam erat. Dia masih tidak boleh terima yang dia, secara rasminya telah mengakhiri zaman bujangnya. Zaman bujang yang terasa sangat sekejap baginya.
Melihatkan tetamu yang mula menadah tangan, Aafiyah mengambil keputusan untuk bangkit daripada duduknya. Terus, dia mendaki satu per satu anak tangga menuju ke biliknya tanpa sekali pun memalingkan wajahnya. Laungan daripada beberapa ahli keluarganya langsung tidak dia endah. Dia tidak mahu bersemuka dengan sesiapa ketika ini. Dia hanya mahu bersendirian.
Masuk sahaja ke dalam bilik, dia terus melabuhkan duduk di atas katil empuknya. Inai yang cantik terukir di jari dia pandang kejap. Cantik memang cantik. Tapi... entah kenapa dia langsung tidak merasa apa-apa tika ini. Gembira? Sedih? Keliru? Atau mungkin gabungan semua perasaan itu? Sungguh, Aafiyah sendiri tidak tahu.
Satu keluhan berat terlepas dari mulut Aafiyah. Siapa sangka, dalam masa dua minggu sahaja dia sudah bergelar isteri kepada Harraz Rayyan. Dan, selama dua minggu juga dia tidak bersua muka dengan lelaki itu.
Setelah fikir masak-masak selama tiga hari, Aafiyah ambil keputusan untuk menerima pinangan Harraz itu. Mendengarkan itu, Encik Rizal terus mengucapkan rasa syukur. Terus dia beritahu berita gembira itu kepada Dato' Azhar.
Segala persiapan untuk majlis diuruskan oleh Dato' Azhar atas permintaan lelaki itu sendiri. Mereka tidak mengadakan majlis besar-besaran seperti apa yang selalu dilakukan oleh orang berada lain dan lebih selesa untuk mengadakan majlis nikah di rumah sahaja. Hanya keluarga Harraz, keluarga Aafiyah dan beberapa kenalan rapat sahaja yang dijemput menghadiri majlis itu.
"Fiya," panggil Intan lembut sebaik sahaja dia menapak masuk ke dalam bilik. Dia jalan mendekati Aafiyah dan berhenti betul-betul di hadapannya.
Aafiyah menengadah dan memandang Intan tanpa perasaan.
"Tahniah," ucap Intan ikhlas.
"Terima kasih," jawab Aafiyah sambil tersenyum hambar.
Keadaan menjadi sunyi seketika sebelum Intan kembali bersuara.
"Fiya... akak tahu Fiya dah fikir masak-masak pasal benda ni. Dan, disebabkan keputusan Fiyalah majlis ini diadakan. Tapi... kenapa akak tengok Fiya macam sedih aje? Nampak macam Fiya masih tak boleh terima kenyataan yang Fiya dah berkahwin. Ada apa-apa ke yang bermain kat fikiran Fiya yang membuatkan Fiya jadi muram macam ni?" soal Intan dengan penuh prihatin.
Aafiyah tatap wajah Intan kejap. Tanpa sedar, air mata sudah bertakung di tubir matanya. Tiba-tiba dia rasa sebak tanpa sebab.
Intan menggelabah apabila menyedari perubahan pada riak muka Aafiyah.
"Eh! Fiya, kenapa ni? Shh.. jangan menangis, jangan menangis." Intan menarik Aafiyah ke dalam pelukannya dan menepuk belakang Aafiyah lembut.
Aafiyah tidak mampu untuk menahan empangan air matanya. Deras air mata membasahi pipinya.
Aaida yang baru sahaja menapak ke dalam bilik berdiri kaku memandang Aafiyah dari jauh. Teragak-agak dia mahu merapati Aafiyah kerana dia tidak tahu bagaimana dia mahu menenangkan kakaknya itu.
"Kakak... kau okey?" soalnya dengan perlahan sebaik sahaja tiba di hadapan Aafiyah.
Aafiyah meleraikan pelukannya. Dia memandang Aaida dengan senyuman yang dibuat-buatnya. Satu anggukan kecil dia berikan kepada Aaida.
"Tengok ni. Aku tak pegang phone dah. Kau kan tak suka kalau aku pegang phone. Untuk kau, aku tak pegang phone hari ni. Aku janji, aku tak main phone dah." Aaida menunjukkan telapak tangannya yang kosong ke arah Aafiyah.
YOU ARE READING
My Secret Superstar
Romance"Ada hak ke, tak ada hak ke. Semua itu tak penting. Satu je saya nak pesan. Sabar itu separuh daripada iman. Tolong la belajar untuk bersabar, ya." - Nur Aafiyah. Dek pertemuan pertama di antara Nur Aafiyah dan Harraz Rayyan, jejaka yang mengenakan...