BAB 15

9 4 0
                                    


Aafiyah duduk termangu di atas katil. Hari ini sudah masuk hari ke tiga sejak mereka pulang dari Langkawi. Selama tiga hari juga dia tidak pergi ke kerja kerana masih mengambil cuti. Memandangkan rasa sakit pada buku lali sudah berkurang dan dia boleh berjalan seperti biasa tanpa bantuan orang lain, maka esok dia akan pergi kerja seperti biasa. Kang tak pasal-pasal orang fikir dia curi tulang pula walhal kakinya hanya terseliuh sedikit sahaja.

Fikirannya menerawang pada kejadian tiga hari lepas. Sebelum pulang dari Langkawi, Sal, Jason dan Harraz sempat meluangkan masa untuk mencari Harriz. Aafiyah pula tidak dapat turut serta dek keadaan kakinya yang tidak mengizinkan itu.

Misi pencarian mereka gagal kerana tidak ada apa-apa bukti pun yang Harriz tinggalkan untuk mereka menjejakinya. Dia melesap begitu sahaja. Maka, nak tak nak, mereka terpaksa pulang dengan tangan yang kosong sahaja.

"Serius Fiya nampak dia? Bukan mimpi kan?" soal Sal tiga hari lepas.

Sedaya upaya Aafiyah cuba untuk membela dirinya. Dia pasti yang dia tidak bermimpi dan orang yang dia temu ialah Harriz yang sebenar.

"I assure you, he's just fine. Mungkin dia hanya perlukan masa." Terngiang-ngiang ayat yang dilontarkan oleh Harriz tempoh hari. Ayat itu sedikit sebanyak buat dia rasa lega. Lega sebab Harriz berada dalam keadaan selamat dan hanya perlukan masa. Maksudnya dia bukan diculik dan hanya menyembunyikan dirinya. Tapi... untuk apa?

Aafiyah mengeluh untuk sekian kalinya. Entah apa yang bermain dalam fikiran Harriz yang menyebabkan dia mengambil keputusan untuk menghilangkan diri secara tiba-tiba.

"Kau dah kenapa?" soal Aaida apabila melihat Aafiyah yang termenung sejak daripada tadi.

"Aku stresslah, Aaida!" Aafiyah terjerit kecil sebelum dia merebahkan dirinya ke atas katil.

"Kenapa pula? Apa terjadi? Meh cerita kat aku." Mata Aaida sudah bersinar-sinar untuk mendengar cerita Aafiyah.

"Ah! Malas aku nak cerita!"

"Kata stress, tapi malas nak cerita. Baik tak payah cakap kalau macam tu! Buat aku excited aje!" marah Aaida. Bibirnya dimuncungkan sedepa.

"Ah! Malas! Aku nak tidur! Jangan kacau aku," jawab Aafiyah malas lalu menutup matanya.

"Ni pasal mamat yang kita jumpa kat Giant tu ke?"

Soalan Aaida itu buat Aafiyah sedikit tersentak. Terus dia bangun dari baringnya sebelum dia memandang wajah Aaida pelik.

"Asal pulak nama dia juga kau nak sebut?"

"Kiranya betullah pasal dia kan? Apa cita weh? Meh kongsi sikit." Aaida tersenyum menang. Tak sangka betul tekaannya itu.

"Kau nak aku kongsi apa pasal dia? Aku bukan ada apa-apa pun dengan dia." Aafiyah tayang muka jelak.

"Kau pernah nampak ke muka dia? Handsome tak?" tanya Aaida sambil tersenyum gatal.

"Hm.. biasa aje." Aafiyah menjawab malas.

"Biasa macam mana tu? Cepatlah cerita."

"Kan aku cakap. Muka dia tak handsome mana pun."

"Yelah tu tak handsome. Kau jangan lupa aku ni ada kuasa untuk detect lelaki handsome tau. Daripada pemerhatian aku, aku tahu dia handsome. Betul kan?" tebak Aaida masih dengan senyuman gatalnya.

Aafiyah tayang muka menyampah. Ada kuasa konon. Daripada kau layan dia, baik kau tidur aje, Fiya! Bukan selalu nak dapat masa untuk tidur puas-puas!

"Fiya, Ida! Dari tadi mak panggil masuk dapur sorang pun tak dengar. Apa punya anak daralah korang ni!" bentak Puan Norli yang tiba-tiba sahaja muncul di hadapan pintu bilik sambil bercekak pinggang. Tersentak Aaida dan Aafiyah dibuatnya.

My Secret SuperstarWhere stories live. Discover now