Bab 23 & 24

6 2 0
                                    

BAB 23

Aafiyah memandang jam di dinding sekilas. Sudah pukul 10 malam dan Harraz masih belum pulang ke rumah. Niat di hati ingin makan malam bersama Harraz. Namun, sehingga sekarang batang hidungnya lelaki itu masih tidak kelihatan. Nak tidur kat ofis ke apa mamat tu?

Satu keluhan terlepas dari mulut untuk sekian kalinya. Baru beberapa hari mereka berkahwin, perkara seperti tengah hari berlaku.

Masih segar di kepalanya wajah Harriz pada tengah hari tadi. Sejujurnya, dia masih tidak percaya yang Harriz yang hilang tanpa sebab muncul secara tiba-tiba di hadapannya.

Aafiyah membuat andaian yang Harriz perlukan masa untuk rehat dari dunia hiburan sekejap. Dia tahu bukan senang untuk bertahan di dalam dunia hiburan ini. Pada awalnya dia fikir semua orang boleh menjadi artis selagi mereka ada rasa keyakinan yang tinggi di dalam diri mereka.

Namun, setelah tiga bulan menjadi pengurus kepada 'Harriz', dia tahu bukan senang untuk menjadi seorang artis. Untuk menjadi artis, mereka memerlukan mental yang kuat untuk mengharungi masalah seperti cemuhan daripada netizen. Aafiyah sendiri pernah menerima cemuhan daripada peminat Harriz disebabkan skandal tak berbayarnya dahulu. Jadi dia tahu sangat perasaan seseorang apabila mendapat komen buruk terhadap mereka. Mengingatkan kejadian itu, rasa takut mula menyelubungi diri. Dia masih trauma dengan apa yang pernah terjadi padanya dulu.

Bunyi pintu dibuka mematikan lamunan Aafiyah. Langsung, dia memusingkan kepala ke arah pintu.

Melihat Harraz yang baru menapak masuk ke dalam bilik, laju Aafiyah lari merapati lelaki tu.

"Abang! Fiya nak abang percaya kat Fiya kali ini aje. Serius Fiya tak buat apa-apa dengan Harriz! Fiya tak sangka langsung yang itu Harriz. Sebab Fiya ingat dia abang. Fiya minta maaf sangat-sangat sebab tak dapat nak bezakan abang dengan Harriz. Percayalah kat Fiya untuk kali ini, abang.." Laju Aafiyah berkata-kata. Tangannya menggenggam erat lengan Harraz dengan muka penuh mengharap.

Dia sebenarnya sudah bersedia dengan susunan ayat yang mahu dia katakan kepada Harraz. Nak bagi nampak teratur sedikit. Tetapi, selepas melihat muka Harraz yang ketat itu buat dia tak jadi untuk ikut flow.  Dia main bantai sahaja ayat yang hendak dia katakan. Dia hanya mahu Harraz percaya kepadanya.

"Lepaskan tangan abang kejap. Bagi abang basuh muka dulu," arah Harraz tanpa senyuman di bibir.

Tangan Aafiyah yang memaut lengannya dilepaskan. Laju dia menapak masuk ke dalam tandas tanpa menoleh ke belakang.

Aafiyah rasa seperti mahu menangis. Dia buntu. Dia tak tahu macam mana lagi cara untuk dia pujuk Harraz. Bila dia nak terangkan apa yang terjadi, Harraz seperti tidak melayannya.

Untuk seketika Aafiyah menanti Harraz keluar dari tandas. Saat melihat pintu tandas dibuka, Aafiyah terus meluru mendekati Harraz. Wajah Harraz ditatap dengan penuh harapan.

Fikir Aafiyah, Harraz akan terus memulaukannya namun tak pula dia sangka yang Harraz akan menarik tangannya mendekati katil.

Harraz mengarahkan Aafiyah untuk duduk melalui ekor matanya. Aafiyah akur dan ambil tempat di atas katil. Seketika kemudian, Harraz mengambil tempat bersebelahan dengan Aafiyah.

"Abang.. Fiya..." Aafiyah cuba menahan sebak di dada. Dia memaut tangan Harraz kuat. Tubir matanya sudah bertakung. Bila-bila masa sahaja empangan air matanya akan tumpah.

"Ya, abang tahu Fiya tak buat apa-apa. Abang dah tengok CCTV tadi," kata Harraz tenang.

Mendengar ayat yang keluar dari mulut Harraz, Aafiyah memandang Harraz dengan dahi yang berkerut.

"Abang tahu Fiya tak buat apa-apa," terang Harraz. Kali ini bersama senyuman di bibirnya.

Setelah mencerna penerangan Harraz, terus Aafiyah menarik muka masam.

My Secret SuperstarWhere stories live. Discover now