2006
Ariana tersenyum riang. Hari ini adalah hari yang amat bermakna untuknya. Gadis ayu berkacukan melayu dan Eropah ini berlari-lari sambil melompat-lompat anak kegirangan, beg sekolah dikendong disebelah bahu, bernyanyi-nyanyian sambil menikmati cuaca petang yang mendung. Awan-awan larat mula menghitam menandakan petang itu bakal ditimpa hujan.
Lazimnya setiap hari Ariana berjalan kaki pulang dari Methodist Girls School ke rumah keluarga angkatnya di Bukit Tunku. Alur jalannya tetap sama merentasi Royal Lake Club dan Taman Tugu, sebelum merentasi jalan besar Sultan Iskandar, akhirnya tiba di rumah banglo dua tingkat yang sangat kenalinya sejak kecil lagi.
Bagi gadis yang baru mencecah umur 16 tahun ini, perjalanan hampir satu jam itu tidak menjadi masalah buatnya. Dia lebih suka berjalan kaki santai masa sambil melihat suasana orang ramai di taman-taman awam, daripada menghabiskan masa di shopping complex dan panggung wayang seperti anak remaja yang lain.
Tetapi hari ini adalah hari yang istimewa buatnya. Walaupun ulangtahun harijadi ke-16 nya telah pun berlalu beberapa hari yang lepas, tetapi satu hadiah yang ditunggu-tunggu akhirnya bakal tiba hari ini. Satu hadiah yang cukup istimewa buatnya. Bukan kerana barangan hadiah tersebut, tetapi kerana ianya dihantar oleh seseorang yang jauh tetapi sangat dirindui.
Rumah banglo Bukit Tunku itu tersergam indah. Bunga-bunga tumbuh mekar mewangi pelbagai warna menghiasi kawasan hadapan. Ditepi juga terdapat pelbagai pasu-pasu bunga yang digantung serata dinding. Dedaun hijau meliputi kelopak-kelopak merah, biru dan kuning.
ʻʻMummy! Ary dah balik!ʼʼ teriak Ariana dengan riang tatkala sampai ke rumah banglo itu dan melihat ibu angkatnya, Siti Khadijah sedang menyiram pokok-pokok bunga.
Khadijah mengukir senyuman kelat melihat anak gadis angkatnya itu pulang dari sekolah. Baju kurung sekolah sudah comot, sedikit kotor pun ada. Tudung dikepala awal-awal lagi sudah dilucutkan. Rambutnya yang panjang ikal mayang itu beralun-alun mengiringi langkahnya yang riang.
Ariana tanpa segan silu terus memeluk ibu angkatnya itu. Khadijah tidak sempat mengelak dan terus sahaja mencebik tatkala menghidu tubuh remaja yang sudah berpeluh itu.
ʻʻIsshh... Busuk lah kamu ni! Pergi naik mandi dulu... katanya dengan nada sedikit geram.
Tidak mengindahkan pesanan ibu angkatnya, Ariana terus memeluk Khadijah lagi. Malah kali ini, semakin erat lagi.
ʻʻHei budak... Busuk lah! Ary pergi main dekat mana tadi ni?ʼʼ tegur Khadijah lagi dalam nada serius.
ʻʻAry ronda dekat park jer, mummy! Alah mummy ni... Ary tahu lah Ary tak wangi macam Shiela. Tapi mummy still nak peluk Ary jugak kannʼʼ balas Ariana dengan manja.
Khadijah menggeleng-geleng kepala sambil mencekak pinggang. Tiada kuasa melayan karenah anak angkatnya.
ʻʻMummy... mummyʼʼ panggil Ariana sambil memegang kedua-dua tangan Khadijah. Errmm... ada tak apa-apa parcel sampai untuk Ary hari ni?ʼʼ
ʻʻTak adaʼʼ jawab Khadijah selamba. Air mukanya tidak memberikan Ariana sedikit pun harapan
ʻʻAlahh... mummy tipu!ʼʼ kata Ariana dengan manja.
Khadijah tidak bereaksi dengan seloka Ariana. Jika suatu ketika dahulu dia sangat bencikan gadis itu, namun kini perasaan itu semakin kurang, disebabkan peredaran masa dan perangai mereka berdua yang semakin matang.
Namun tidaklah dia sanggup menerima Ariana sepenuhnya hingga ke hari ini. Baginya masih ada garisan pemisah antara mereka yang perlu dijaga.
ʻʻPergi naik mandi dulu baru mummy bagi tahu ada parcel ke tidakʼʼ balas Khadijah endah tak endah.
YOU ARE READING
Ariana Book One: ʻʻJenayah Keghairahanʼʼ
AksiARIANA NAZIRA Seorang pegawai polis yang muda, baru sahaja ditauliahkan dengan pangkat Detektif Inspektor di Jabatan Siasatan Jenayah, Polis DiRaja Malaysia. Ikuti liku-liku pegawai jelita ini dalam menangani kes pembunuhan beliau yang pertama. Kes...