Tahun 2017
Masjid Al-Khautar, Alor Setar Kedah.SESI ceramah dan soal jawab agama yang dikendalikan oleh Ustaz Yusrizal, seorang pendakwah bebas yang terkenal sudah semakin tiba di penghujungnya. Rata-rata hadirin yang hadir memenuhi dalam dan luar masjid.
Pengacara majlis mula bangun untuk menyampaikan ucapan penutupan sekali gus memberikan sagu hati sebagai lambang penghargaan kepada Ustaz Yusrizal atas kesudian memenuhi jemputan ahli jawatankuasa masjid itu.
Belum sempat pengacara majlis itu membuka bicara, seorang lelaki berjubah hitam yang duduk di lapisan paling belakang mengangkat tangan kirinya. Memberi isyarat ingin bertanyakan soalan kepada Ustaz Yusrizal.
"Mohon maaf tuan. Sesi soal jawab telah pun tamat. Jika ada sebarang persoalan dan kemusykilan boleh ajukan di Facebook atau e-mel."
"Izinkan aku bertanya."
Lelaki berjubah hitam itu memintas percakapan. Tangannya masih dijulang. Pengacara majlis berkaca mata itu serba salah. Dia memandang Ustaz Yusrizal sekilas. Ustaz Yusrizal mengangguk membenarkan.
"Baiklah. Saudara diizinkan untuk bertanyakan soalan." Pengacara majlis itu membenarkan.
Lelaki berjubah hitam itu bangun. Wajahnya tegang tanpa seraut senyuman. Matanya galak bercelak.
"Apakah benar Islam akan terpecah kepada 73 golongan? Jika benar apakah golongannya? Dan golongan mana yang bakal ke syurga?" soal lelaki itu.
Ustaz Yusrizal mengangguk-angguk kecil mendengar soalan itu.
"Terdapat beberapa hadis yang menyebutkan tentang perkara itu. Salah satunya adalah seperti yang diriwayatkan Abdullah Ibnu Amru bahawa Rasulullah SAW bersabda:
"Umatku akan menyerupai bani Israel selangkah demi selangkah. Bahkan jika seorang daripada mereka menyetubuhi ibunya secara terang-terangan, seseorang daripada umatku juga akan mengikutinya.
Kaum bani Israel terpecah menjadi 72 golongan. Umatku akan terpecah menjadi 73 golongan, seluruhnya akan masuk neraka, hanya satu yang masuk syurga. Kami (para sahabat) bertanya, "Yang mana yang selamat?" Rasullullah SAW menjawab. "Yang mengikutiku dan para sahabat. Hadis Riwayat Tirmizi.
Jadi bagi menjawab soalan pertama yang diungkapkan oleh saudara. Jawapannya adalah benar. Umat Islam akan terbahagi kepada 73 golongan dan hanya satu golongan yang akan ke syurga dan daripada 73 golongan itu antara golongan yang terbesar selain ahli sunah adalah seperti Mu'tazilah, Syiah, Khawarij, Nujariyah, Jabariyah, Musyabbahah dan Najiyah.
Setiap golongan itu membentuk aliran tersendiri. Contohnya Syiah yang mempunyai Syiah Ghulah, Syiah Zaidiyah dan Syiah Imamiyah dan daripada tiga aliran Syiah itu pula membentuk pecahan-pecahan yang lain. Daripada 73 golongan yang terpisah itu, hanya golongan yang berpegang kepada al-Quran dan sunah sahaja yang bakal masuk ke syurga..."
"Siapa golongan itu? Ahli Sunah Wal Jamaah?" soal lelaki berjubah hitam itu, sinis.
"Golongan yang berpegang kepada al-Quran dan sunah. Jika seseorang itu berada dalam kelompok ahli sunah sekalipun, tetapi sekiranya dia berpaling daripada mengamalkan ajaran al-Quran dan sunah, maka tempatnya jugak adalah di neraka," balas Ustaz Yusrizal tenang. Mengulang semula percakapannya sebentar tadi.
"Jadi jika Syiah berpegang kepada al-Quran dan sunah, maka golongan itu bakal masuk syurga?" soal lelaki itu lagi. Rata-rata mata hadirin mula memandang ke arah lelaki itu.
"Apakah kamu seorang Syiah?" Ustaz Yusrizal sekadar menduga.
"Apakah dengan bertanyakan soalan mengenai Syiah maka seseorang itu akan dilabelkan sebagai golongan Syiah? Dan apakah pertanyaan mengenai akidah serta ketuhanan seseorang itu dilabelkan sebagai kafir dan murtad?" Sinislelaki itu berbicara."Jawab pertanyaan saya. Apakah kamu seorang Syiah?" soal Ustaz Yusrizal sekali lagi. Enggan membalas provokasi lelaki itu.
"Siapa aku tak penting. Aku hanya mahukan jawapan," balasnya. Matanya galak merenung Ustaz Yusrizal.
"Kalau kamu katakan Syiah itu mempunyai akidah yang selari dengan Quran dan sunah, maka berikan saya satu aliran Syiah yang sedemikian," pinta Ustaz Yusrizal.
Lelaki berjubah hitam itu tidak menjawab.
"Saya menanti jawapan daripada kamu? Sebutkan satu sahaja aliran daripada Syiah yang berpegang seerat-eratnya dengan al-Quran dan sunah," ujar Ustaz Yusrizal setelah lelaki itu berdiam diri lama.
Lelaki itu tersenyum sinis.
"Kesimpulannya kau cuba mengatakan golongan kau adalah yang paling benar berbanding semua golongan. Memang begitu sikap agamawan ahli sunah. Suka membuktikan diri mereka yang paling benar dengan menjatuh-jatuhkan mereka yang tak sealiran," getus lelaki itu.
Ustaz Yusrizal yang baru sahaja ingin membalas tersentak apabila seluruh lampu di dalam dan di luar masjid terpadam. Pandangan masing-masing menjadi buta sejenak. Seketika kemudian lampu kembali bernyala. Pandangan Ustaz Yusrizal lekas menghala ke arah lelaki berjubah hitam itu berada. Malang, dia telah menghilang. Hadirin turut tercari-cari dirinya tetapi tidak kelihatan di mana-mana.
Ustaz Yusrizal menghela nafas perlahan. Tertanya-tanya siapa sebenarnya lelaki berjubah hitam itu.
YOU ARE READING
Azazil
HorrorBermula Perang Salib, dunia tercampak ke dalam petaka yang dahsyat. Seekor makhluk derhaka lahir dan mencetuskan huru-hara serta kacau-bilau. Dunia cuba diheretnya sehingga ke titik kehancuran! Sehingga tahun 2018, Firman dan Izara masih tidak berp...