SELESAI solat Isyak, ahli kariah masjid mula memenuhi ruang tamu rumah pasangan Ayob dan Puan Rahmah. Masing-masing duduk bersila membentuk satu bujuran. Kitab Yasin tergenggam kemas di tangan masing-masing.
"Boleh kami mulakan?" soal Imam Hamdi kepada Ayob. Sekadar meminta izin untuk memulakan majlis.
Ayob mengangguk kecil memberi isyarat bukan lisan membenarkan majlis dimulakan. Imam Hamdi menoleh ke arah Ustaz Yusrizal sekilas.
"Kita mulakanlah ustaz," ujar Imam Hamdi. Selajur bismillah serta selawat ke atas Nabi Muhammad dilafazkan. Kemudian, Ummul Kitab al-Fatihah dialunkan sebelum surah Yasin mula dibaca.
"Yaa siin..."
Sebaik sahaja ayat pertama dari surah Yasin dialun beramai-ramai, pintu dan tingkap terkatup serentak. Terhempas kuat. Berdentum bunyinya. Serentak itu jua lampu di seluruh rumah terpadam. Suasana menjadi kelam. Gelap-gelita. Terhenti bacaan para hadirin yang hadir. Masing-masing tertoleh-toleh dalam kegelapan.
"Sekejap saya hidupkan semula fius," ujar Ayob. Lekas-lekas dia mendapatkan kotak fius yang terletak berdekatan daun pintu berpandukan torchlight daripada telefon bimbitnya. Sudahlah kematian anaknya itu menjadi buah mulut penduduk kampung dan kali ini kejadian aneh ini pula tidak semena-mena berlaku.
Fius ditolak on dan off berkali-kali tetapi malangnya bekalan eletrik tetap tidak bersambung. Ayob mula tenggelam punca.
"Boleh tak Ayob?" soal Imam Hamdi.
"Maaf imam. Rasanya fius ni rosak," ujar Ayob serba salah bercampur rasa malu.
"Tak apalah. Kita teruskan majlis. Yang mana mampu baca tanpa melihat kitab teruskan bacaan bersama. Yang mana tak mampu, cukuplah dengan mendengar. Insya-ALLAH, ada pahalanya jugak," pesan Imam Hamdi.
Sebaik sahaja ayat pertama dibaca semula beramai- ramai, bumbung rumah yang beratap zink kedengaran berdentum-dentam. Seperti dihujani batu-batuan.
"Teruskan bacaan. Jangan peduli apa yang kamu dengar dan apa yang kamu lihat," arah Imam Hamdi. Dia mula dapat rasakan 'sesuatu' sedang mengganggu majlis mereka pada malam itu.
Masing-masing akur. Setiap satu ayat terus-menerus dibaca. Tidak terlalu lantang dan tidak pula terlalu perlahan. Sebaik sahaja bacaan Yasin menuju pertengahan, tidak semena-mena satu per satu bingkai yang tergantung di ruangan tamu jatuh terhempas ke lantai. Pecah berderai.
Angin bertiup kencang di luar rumah. Menolak daun tingkap dan pintu yang terkatup sebentar tadi. Membawa masuk bersama hablur debu dan pasir.Ayob memejamkan matanya. Bibirnya turut mengalunkan bacaan Yasin sambil hatinya berdoa bersungguh-sungguh agar kejadian aneh itu berhenti. Dia tidak sanggup lagi menanggung malu dengan mulut-mulut orang kampung yang mengata perihal keluarganya.
"Ayah... ayah..."
Sayup-sayup suara rintihan Wahida menusuk telinga Ayob. Kelopak mata Ayob terangkat. Telinganya tercakup-cakup bagi memastikan dia tidak tersalah dengar.
"Ayah... Wahida sakit, ayah."
Ayob terpempan. Lambat-lambat dia menoleh ke arah suara itu muncul. Liur mengental di kerongkong sebaik sahaja melihat Wahida sedang berdiri di tingkap ruang tamu lengkap memakai telekung putih. Dia menangis teresak-esak.
Ayob lekas-lekas menukar pandangan. Telinga cuba ditulikan daripada mendengar rintihan 'anaknya' itu. Bacaannya diteruskan seperti biasa. Dia sedar itu hanyalahtipu helah syaitan yang menyesatkan. Seminit dua berlalu, Ayob menoleh semula ke arah daun tingkap.
'Wahida' yang bertelekung putih itu masih berdiri di situ. Tidak lagi merintih. Sebaliknya kepalanya terteleng dan mata tepat memandang Ayob. Mulutnya mengukir senyuman sebelum tertawa terbahak-bahak dengan suara yang garau.
Jantung Ayob berdegup kencang. Bulu romanya bangkit menceracak. Tipu jika dikatakan dia tidak takut. Pertama kali dalam hidupnya berhadapan dengan kejadian seperti itu. Bacaan Yasin dikuatkan. Semakin lantang dia membaca, semakin kuat suara itu tertawa. Seolah-olah menyindir bacaannya itu. Lama-kelamaaan, suara itu mengecil sebelum lenyap sama sekali.
Sebaik sahaja bacaan Yasin tamat, lampu di seluruh rumah hidup semula. Pandangan dirayapkan ke sekitar ruang tamu. Kelihatan serpihan kaca berselerakan di atas lantai. Setiap bingkai yang jatuh pecah merupakan bingkai yang mengandungi potongan ayat suci al-Quran. Manakala bingkai-bingkai lain masih kekal tergantung di dinding.
***
SETELAH selesai majlis tahlil, masing-masing beransur pulang ke rumah. Ustaz Yusrizal dan Imam Hamdi menjadi orang terakhir meninggalkan rumah itu. Sebelum pulang, Ayob menyalami mereka berdua di muka pintu. Raut wajahnya berbaur kekesalan.
"Saya minta maaf pada imam dan lebih-lebih lagi ustaz atas apa yang berlaku. Saya betul-betul tak sangka."
"Tak apa Ayob. Benda ni bukan kamu sengajakan. Bukan salah kamu pun. Kami faham." Imam Hamdi lekas memotong kata-kata Ayob. Dia mengerti rasa yang bertakung di dada lelaki itu.
"Imam dan ustaz mungkin faham. Tapi orang kampung ni tak faham. Saya yakin apa yang jadi malam ni pasti akan jadi buah mulut semua orang," luah Ayob.
"Mulut manusia memang tak boleh ditutup. Kalau boleh, setiap inci aib manusia mereka ingin londeh dan bicarakan seolah-olah mereka sendiri kebal daripada melakukan kesilapan. Mereka lebih gemar menjadi TUHAN dengan menghukum setiap kejadian atau perbuatan seseorang. Banyakkan bersabar dan berdoa, Ayob. Anggap ni ujian daripada ALLAH," titip Imam Hamdi.
Bahu Ayob ditepuknya sekali dua bagi mengambilkan semula semangat lelaki itu. Ustaz Yusrizal yang sedari tadi mengunci bicara, berdeham kecil sebelum bersuara.
"Saya nak minta maaf terlebih dahulu jika soalan saya ini mungkin tak kena pada waktunya. Tapi boleh saya tahu, sebelum ni pernah tak kejadian macam ni berlaku?" soal Ustaz Yusrizal.
Ayob menggeleng.
"Tak pernah ustaz. Ini pertama kali berlaku. Saya rasa..." Ayob berjeda lama sebelum kembali bersuara. Ustaz Yusrizal menanti bicara Ayob.
"Mungkin apa yang berlaku ni ada kaitan dengan kematian anak perempuan saya."
"Apa yang abang maksudkan?" soal Ustaz Yusrizal. Ayob menarik nafas dalam-dalam. Kemudian dia mula bercerita perihal anak perempuannya itu kepada Imam Hamdi dan Ustaz Yusrizal.
YOU ARE READING
Azazil
HorrorBermula Perang Salib, dunia tercampak ke dalam petaka yang dahsyat. Seekor makhluk derhaka lahir dan mencetuskan huru-hara serta kacau-bilau. Dunia cuba diheretnya sehingga ke titik kehancuran! Sehingga tahun 2018, Firman dan Izara masih tidak berp...