KEHADIRAN Ustaz Yusrizal di masjid Kampung Seri Pandan disambut baik oleh ahli kakitangan masjid yang sememangnya sudah menanti kehadirannya pada petang itu. Masing-masing berbasa-basi sebelum perbualan mereka terhenti apabila azan Asar mula berkumandang.
Tidak lama setelah azan dialunkan, solat Asar mula didirikan. Imam masjid Kampung Seri Pandan memberi penghormatan kepada Ustaz Yusrizal untuk menjadi imam mengetuai solat jemaah pada petang itu tetapi ditolak baik pendakwah itu. Alasannya dia menghormati imam masjid di kampung itu dan dia lebih selesa menjadi makmum.
Setelah selesai solat Asar, Ustaz Yusrizal memulakan sesi ceramahnya. Ceramah yang berlangsung selama hampir satu jam diakhiri dengan sesi soal jawab. Cara penyampaian Ustaz Yusrizal yang santai dan disulami dengan lawak jenaka membuatkan ceramahnya berjaya memikat hati rata-rata khalayak yang hadir tanpa mengira usia.
Sejurus sesi ceramah dan penyampaian cenderahati selesai, para pengunjung mula beransur-ansur meninggalkan pekarangan masjid.
"Lepas ni ustaz ada program di mana pulak? Maksud saya malam ni atau esok?" soal Imam Hamdi.
"Malam ni dan esok rasanya saya tak ada sebarang program. Kenapa imam?" soal Ustaz Yusrizal.
"Sebenarnya saya nak jemput ustaz ke majlis tahlil salah seorang kariah masjid kampung ni. Insya-ALLAH akan berlangsung lepas Isyak. Saya jadi perantara untuk sampaikan pelawaan sebab waris si mati tak dapat hadir petang ni." Lembut bicara Imam Hamdi menyatakan hasratyang diamanahkan kepadanya.
"Rasanya saya boleh turut serta malam ni. Lagi pulak jadual saya tak begitu padat. Bila arwah meninggal dunia?" soal Ustaz Yusrizal ingin tahu.
"Dalam dua hari lepas. Khabarnya pihak polis masih belum jumpa sebarang bukti atau petunjuk bagi memudahkan mereka mencari pembunuhnya," balas Imam Hamdi.
"Pembunuh?" Bertaut kening Ustaz Yusrizal.
"Arwah sebenarnya dijumpai dengan perut terburai oleh ibunya. Entahlah siapa yang berdendam dengan arwah sampai sanggup bunuh dengan kejam macam tu sekali. Manusia akhir zaman, sifatnya mengalahkan seekor haiwan." Imam Hamdi sedikit beremosi di pengakhiran kata.
"Dah tersebar di mulut-mulut orang kampung yang sebenarnya kematian tu untuk tutup malu." Imam Hamdi dan Ustaz Yusrizal menoleh serentak ke arah lontaran suara itu muncul.
"Apa yang kamu maksudkan?" soal Imam Hamdi kepada Abu, salah seorang anak muda di kampung itu.
"Daripada apa yang saya dengar, arwah Wahida tu mengandungkan anak luar nikah. Dia dibunuh oleh teman lelakinya sendiri sebab tak nak gugurkan kandungannya tu," balas Abu.
"Astaghfirullahalazim. Daripada mana kamu tahu semua ni, Abu? Kamu tahu tak kalau apa yang kamu cakapkan tu tak benar, sudah jatuh fitnah. Berdosa besar!" ujar Imam Hamdi, tegas.
"Ini bukan fitnah imam. Dah ramai orang tahu pasal hal ni. Kalau tak betul, kenapa arwah Wahida tu mati dengan perut..."
"Sudah! Cukup! Saya tak nak dengar lagi pasal hal ni. Biar pihak polis lakukan kerja mereka. Tak perlu kita menambah dosa dengan berbicara tentang hal ni. Jika benar, bererti kita mengumpat. Jika tidak benar, ia adalah fitnah. Kedua-duanya berdosa besar, Abu," pesan Imam Hamdi di hujung bicara.
Abu hanya tertunduk-tunduk mendengar kata-kata Imam Hamdi.
"Saya minta maaf imam."
"Hentikan sebar berita-berita begini lagi. Kalau kamu jumpa orang-orang kampung yang masih bercakap-cakap pasal hal ni, tolong nasihatkan mereka untuk berhenti berbuat begitu. Tak ada faedah apa pun bercakap perihal orang," titip Imam Hamdi.
"Insya-ALLAH imam. Kalau tak ada apa-apa saya pulang dulu."
Imam Hamdi menghantar ayunan langkah Abu keluar dari masjid dengan sorotan mata sehingga kelibatnya menghilang.
"Minta maaf ustaz pasal hal tadi. Saya..."
"Tak apa imam. Saya faham." Pantas Ustaz Yusrizal memintas bicara Imam Hamdi yang kelihatan serba salah. Imam Hamdi mengerling jam yang terikat di tangan.
"Marilah ke rumah saya, ustaz. Boleh minum-minum petang dan berehat sebentar sebelum Maghrib," pelawa Imam Hamdi.
Pelawaan Imam Hamdi disambut baik oleh Ustaz Yusrizal. Kedua-duanya mula mengayun langkah keluar dari dalam masjid. Ustaz Yusrizal yang menurut dari belakang terhenti langkah. Dia menoleh.
Baru sebentar tadi, telinganya mendengar suara garau tertawa halus. Mata Ustaz Yusrizal tertancap ke arah tabir yang memisahkan saf lelaki dan perempuan. Tabir berwarna hijau muda itu kelihatan beralun-alun seperti dihembus angin.
Satu bayang-bayang hitam bertubuh tinggi terbias muncul di sebalik tabir itu. Berkerut dahi Ustaz Yusrizal melihatnya.
"Ustaz."
Ustaz Yusrizal tersentak. Pantas dia memandang Imam Hamdi di sebelahnya sebelum berkalih ke arah tabir itu semula. Bayang-bayang itu tidak lagi kelihatan.
"Ada apa-apa yang tak kena ke ustaz?" soal Imam Hamdi sebaik sahaja melihat kelainan pada riak wajah Ustaz Yusrizal. Sempat dia mengerling ke arah sorotan mata Ustaz Yusrizal. Ustaz Yusrizal menggeleng.
"Tak ada apa-apa, imam. Marilah kita pergi." Selajur kedua-kedua kembali mengayun langkah.
Sebaik sahaja langkahnya semakin menjauh, Ustaz Yusrizal menoleh semula. Merenung tabir hijau muda itu sekilas sebelum kembali memandang hadapan. Bayang-bayang aneh yang dilihatnya sebentar tadi berlegar di fikiran.
![](https://img.wattpad.com/cover/324258417-288-k704247.jpg)
YOU ARE READING
Azazil
HorrorBermula Perang Salib, dunia tercampak ke dalam petaka yang dahsyat. Seekor makhluk derhaka lahir dan mencetuskan huru-hara serta kacau-bilau. Dunia cuba diheretnya sehingga ke titik kehancuran! Sehingga tahun 2018, Firman dan Izara masih tidak berp...