MENJELANG 11.15 minit malam, orang ramai beransur-ansur meninggalkan pekarangan masjid. Yang tinggal hanyalah beberapa orang ahli jawatankuasa. Mereka duduk di ruangan makan bersama Ustaz Yusrizal. Sekadar bermesra dan berbual ringkas. Sisa air teh di dalam gelas, disisip sehingga habis oleh Ustaz Yusrizal.
"Nampaknya saya kena pulang dulu sebab hari dah makin lewat. Esok pagi-pagi saya kena bertolak ke Selangor pulak. Ada jemputan ceramah di sana," pohon Ustaz Yusrizal.
"Dah nak tengah malam ustaz nak pulang pun. Apa kata ustaz tinggal aje di rumah saya. Pakaian saya pun ada sehelai dua jubah baru yang masih belum pakai. Ustaz guna aje. Saya tak kisah pun," pelawa pengerusi masjid yangdikenali sebagai Pak Halim.
"Tak apalah Pak Halim. Lagipun rumah saya tak jauh sangat pun." Ustaz Yusrizal menolak lembut.
"Kalau begitu marilah kami hantar ustaz sampai kereta," ujar Pak Halim.
Seraya mereka bangun dan mengatur langkah menuju ke arah kereta yang diparkir tidak jauh dari situ.
Beberapa meter kereta dipandu menjauhi masjid, enjin keretanya tidak semena-mena mati. Kunci diputar berkali-kali cuba menghidupkan enjin tetapi gagal. Ustaz Yusrizal membuka pintu kereta. Seraya melangkah keluar. Jalan yang dilalui sunyi dan tidak kelihatan kelibat manusia di situ. Pandangan matanya sempat menangkap kubah masjid yang dihadirinya tadi. Menandakan kawasannya berada tidak jauh dari situ.
Bonet hadapan dikuak. Enjin kereta diperiksa tetapi tiada sebarang kerosakan yang berjaya dikesan. Bonet hadapan dikatup semula. Dia berlalu ke pintu bersebelahan pemandu.
"Ustaz..." Suara seorang lelaki memanggilnya.
Ustaz Yusrizal terbejat tingkahnya. Pintu kereta terbuka separuh. Dia menoleh sedikit. Ekor matanya menangkap susuk tubuh seorang lelaki berjubah hitam sedang berdiri di belakangnya.
Perlahan-lahan Ustaz Yusrizal memutarkan tubuh menghala ke arahnya. Lelaki berjubah hitam itu menundukkan kepala sedikit. Bibirnya bergerak-gerak. Butir bicaranya tidak jelas. Ustaz Yusrizal mengecami lelaki itu. Lelaki sama yang bertanyakan soalan kepadanya di dalam masjid sebentar tadi.
"Encik?" tegur Ustaz Yusrizal.
Lelaki itu tidak menyahut. Bibirnya masih kelihatan bergerak-gerak. Sesekali kelihatan dia tertawa kecil. Ustaz Yusrizal memicingkan telinga. Cuba mendengar butir bicaranya tetapi gagal. Baru sekali lagi Ustaz Yusrizal hendak memanggil, lelaki itu mengangkat wajah mendadak.Matanya galak bercelak merenung tajam Ustaz Yusrizal.
"Islam akan musnah! Semuanya akan mati!" Lelaki itubertempik kuat.
Ustaz Yusrizal tersentak. Lelaki itu bertempik berkali-kali dengan suara yang garau. Lekas Ustaz Yusrizal memuatkan diri ke dalam kereta. Pintu ditutup dan dikunci.
Dia memandang semula ke arah lelaki itu. Lelaki itu tidak kelihatan di mana-mana. Enjin keretanya cuba dihidupkan. Usahanya berhasil. Ustaz Yusrizal menghela nafas lega. Baru sahaja gear ditolak, satu bisikan kedengaran di telinganya.
"Sehingga hari kiamat, aku akan memusuhi dan menyesatkan manusia."
Perlahan-lahan Ustaz Yusrizal menoleh. Pandangan matanya tidak menangkap sesiapa di belakang. Hidungnya terhidu bau busuk dan keras.
Tuk! Tuk! Tuk!
Ketukan kuat di tingkap mengejutkan Ustaz Yusrizal. Dua orang lelaki menaiki motosikal berada bersebelahan keretanya. Nafas ditarik dalam-dalam lalu dihela. Tingkap kereta diturunkannya.
"Kereta rosak ke ustaz?" tegur lelaki muda yang menjadi pembonceng.
"Tadi rosak sikit. Tapi sekarang dah elok," balas Ustaz Yusrizal.
"Kalau macam tu tak apalah. Hati-hati lalu jalan ni ustaz. Ramai cakap jalan ni keras sikit," pesan lelaki muda itu.
Ustaz Yusrizal mengangguk-angguk mendengar pesanan itu. Selepas memberi salam, kedua-dua anak muda itu berlalu. Kejadian sebentar tadi masih berlegar-legar di fikiran Ustaz Yusrizal. Pedal minyak diinjak beransur-ansur. Kereta kembali bergerak menuju destinasi.

ANDA SEDANG MEMBACA
Azazil
HorrorBermula Perang Salib, dunia tercampak ke dalam petaka yang dahsyat. Seekor makhluk derhaka lahir dan mencetuskan huru-hara serta kacau-bilau. Dunia cuba diheretnya sehingga ke titik kehancuran! Sehingga tahun 2018, Firman dan Izara masih tidak berp...