SELESAI solat Asar secara berjemaah di masjid Kampung Seri Pandan, Inspektor Rasyid meneruskan semula perjalanan menuju ke rumah mangsa pembunuhan kejam dua hari yang lalu. Biarpun hasrat hatinya untuk turut serta mendengar ceramah agama yang disampaikan oleh pendakwah terkenal Ustaz Yusrizal, tetapi hambatan tugas membuatkan dia membatalkan keinginannya itu.
Sejurus tiba di rumah keluarga mangsa, Inspektor Rasyid menyatakan tujuan kedatangannya untuk mencari sebarang bukti yang mungkin pihaknya terlepas pandang tempoh hari. Puan Rahmah dan Ayob membenarkan.
Persekitaran bilik tidak banyak berubah berbanding hari kejadian pembunuhan berlaku. Inspektor Rasyid melontarkan pandangan ke luar tingkap. Rimbunan hijau menjamu pandangan. Setiap inci hutan kecil itu sudah diperiksa tempoh hari dengan bantuan khidmat anjing pengesan tetapi tiada sebarang bahan bukti yang ditemui.
Inspektor Rasyid memeriksa setiap penjuru bilik sebelum pandangannya terhenti ke arah katil. Dia merapati sebelum membongkokkan tubuh. Pipinya mencium lantai. Retinanya merayapi bawah katil. Habuk dan berdebu. Baru sahaja dia ingin bangun, matanya menangkap susunan kertas di penjuru katil.
Bingkas Inspektor Rasyid bangun. Katil yang rapat ke dinding itu ditolaknya sedikit. Beberapa kepingan kertas kelihatan berada di atas lantai dan bersalut debu. Inspektor Rasyid mencapai dan mengibarkannya berkali-kali bagi menyingkirkan habuk. Kemudian dia membeleknya.
Aku tak tahan lagi diganggunya. Tolonglah pergi daripada hidup aku.
Kepingan kertas kedua diselaknya.
Aku mahu bebas daripada semua ini. Aku tak sanggup lagilaluinya. Kalau mati hanya satu-satu pilihan untuk hentikan segala penderitaan ini, aku pilih mati.
Kepingan kertas ketiga, keempat dan kelima iaitu yang terakhir ditelitinya. Inspektor Rasyid berkerut kening tatkala membacanya.
Ya ALLAH, bebaskan aku daripada cengkaman dan gangguan syaitan yang terkutuk.
Minda Inspektor Rasyid berputar ligat. Setiap kepingan kertas itu mengandungi rintihan mangsa yang tidak tahan diganggu oleh seseorang. Tetapi kepingan kertas terakhir yang berada dalam genggamannya itu membuatkan pertimbangan akalnya mulai terusik. Sekali lagi dia membelek kertas-kertas itu. Sisi kepingan kertas itu diteliti. Ia seolah-olah bercerai atau tertanggal daripadasebuah buku.
Mata Inspektor Rasyid lekap memandang ke arah tilam yang diselimuti cadar di sebelahnya. Segera dia mengalihkan tilam itu. Kelihatan kepingan papan menjadi alas tilam itu.
Papan di penjuru katil dialihkannya. Tepat seperti yang diduganya.Sebuah diari berkulit hitam berada di bawah katil itu. Inspektor Rasyid mencapainya. Menyelak sehelai dua muka surat yang mengandungi coretan tangan Wahida. Kepingan kertas dalam genggamannya diselitkan ke dalam diari itu.
Katil dirapatkan semula ke dinding. Sebelum berlalu keluar dari bilik, Inspektor Rasyid memerhati sekali lagi setiap penjuru bilik itu. Baru dia perasan satu perkara. Di setiap sudut dinding bilik itu tergantung kemas bingkai potongan ayat-ayat al-Quran. Lebih banyak daripada bingkai ayat Quran yang digantung di ruang tamu.
Lama dia memerhati sebelum kaki digerakkan untuk meninggalkan bilik itu. Sebaik sahaja kaki kanannya menapak keluar dari bilik, Inspektor Rasyid terbejat. Dia menoleh. Baru sebentar tadi telinganya mendengar suara garau merengus kencang di belakang tubuhnya.
Matanya dihalakan ke arah bunyi suara itu. Kosong. Tetapi keanehan melanda tatkala melihat kesemua bingkai potongan ayat al-Quran berayun-ayun. Seolah-olah dihembus angin walhal dia tidak berasa sebarang hembusan.
Enggan membejatkan fikiran, Inspektor Rasyid kembali mengatur langkah meninggalkan bilik itu.
----------------------------------------------------------
"AWALUDDIN Makrifatullah (Seawal-awal agama hendaklah kamu mengenal ALLAH.)"
Sayup-sayup isi ceramah malam itu menusuk gegendang telinga Firman. Dia bertapak memasuki pekarangan masjid. Sudah menjadi kelaziman setiap kali malam Jumaat, masjid di kawasan perumahannya itu mengadakan kuliah agama.
Firman pada mulanya agak keberatan untuk meninggalkan Izara di rumah lagi-lagi setelah kejadian menakutkan yang menimpa tempoh hari. Hendak diajak bersama Izara dalam keadaan uzur.
Kebetulan anak gadis jirannya datang berkunjung ke rumah, maka Izara menyuruh Firman untuk hadir ke masjid. Berkali-kali Izara memberikan jaminan yang dia mampu menjaga dirinya. Sebelum berlalu Firman sempat meninggalkan pesanan kepada Izara agar lekas menghubunginya seandainya berlaku apa-apa kecemasan.
Pili air diputar. Firman membasuh kaki menyingkirkan debu. Sebaik sahaja menapak masuk ke dalam, penceramah yang tadinya rancak menyampaikan ceramah terdiam.
Matanya lekap merenung Firman. Wajahnya serius tanpa segarit senyuman. Beberapa orang jemaah turut menoleh ke arah Firman sebelum kembali memandang penceramah itu.
Beberapa saat berlalu sebelum penceramah itu kembali meneruskan topiknya. Acap kali matanya memandang Firman. Fokusnya kelihatan sedikit terganggu dengan kehadiran Firman. Firman perasan dengan pandangan penceramahmuda itu tetapi dia tidak begitu mengendahkannya. Pada anggapannya, mungkin kehadirannya pada pertengahan sesi ceramah telah mengganggu fokus penceramah itu.
Setelah selesai ceramah dan sesi penghargaan, para jemaah yang hadir bangun dan bersalam dengan penceramah yang dikenali sebagai Ustaz Yahya itu. Hanya tinggal separuh daripada isi jemaah yang tinggal manakala selebihnya telah pulang ke rumah ketika majlis agama masih berlangsung.
Rata-rata tidak berpuas hati dengan isi ceramah yang disampaikan kerana dianggap agak menyimpang daripada pengetahuan agama mereka selama ini. Tambahan pula penampilan penceramah itu yang hanya berseluar slek dan memakai T-shirt berkolar serta bersongkok membuatkan hampir separuh daripada jemaah kurang yakin dengan ilmu dan kefahaman agama lelaki itu.
Firman menjadi jemaah yang terakhir bersalam dengan Ustaz Yahya. Tangannya dihulur lama barulah Ustaz Yahya menyambut jabat tangannya itu. Firman mengukir senyuman mesra tapi tidak berbalas. Jabat tangan dileraikan. Firman berkalih dan mula bertapak meninggalkan masjid.
"Nanti!"
Langkah Firman tersentak. Dia menoleh. Ustaz Yahya merenungnya tajam sebelum mendapatkannya.
"Siapa nama kau?"
"Firman," balas Firman pendek. Ustaz Yahya merenung Firman lama sebelum kembali bersuara.
"Pulang ke rumah sebelum sesuatu yang lebih buruk berlaku!"
Sedikit keras suara Ustaz Yahya. Firman membalas renungan Ustaz Yahya kemudian perlahan-lahan meninggalkan pekarangan masjid.
Tingkah laku Ustaz Yahya menimbulkan tanda tanya di fikiran Firman. Ustaz Yahya menghantar pemergian lelaki itu dengan pandangan matanya. Matanya dipejamkan dan bibirnya terbuka tertutup membacakan sesuatu lalu dihembus.
![](https://img.wattpad.com/cover/324258417-288-k704247.jpg)
YOU ARE READING
Azazil
HorrorBermula Perang Salib, dunia tercampak ke dalam petaka yang dahsyat. Seekor makhluk derhaka lahir dan mencetuskan huru-hara serta kacau-bilau. Dunia cuba diheretnya sehingga ke titik kehancuran! Sehingga tahun 2018, Firman dan Izara masih tidak berp...