Bab 14: Petanda

14 1 0
                                    

PERSEKITARAN suram dan kelam. Izara tertanya-tanya tempat dia sedang berada kala itu. Kaki diayun setapak demi setapak. 

Sebentar kemudian, telapak kaki memijak sehelai kertas. Izara menunduk memandangnya. Spontan, kakinya diangkat seolah-olah terkena renjatan elektrik.

Bibirnya tidak putus-putus mengucapkan istighfar. Lembaran kertas yang dipijaknya secara tidak sengaja sebentar tadi adalah cebisan ayat al-Quran. 

Izara mencapai dan membersihkannya daripada debu. Siapa yang bertindak keterlaluan hingga sanggup mengoyak kalam ALLAH itu?

Dia kembali berjalan. Sepanjang perjalanan, berhelai- helai lembaran kertas ayat al-Quran ditemuinya. Satu per satu dikutip, dibersihkannya dan digenggam erat. 

Setapak dua kaki diayun dan Izara termati gerak. Jantungnya berdegup laju. Matanya terhunjam di hadapan.

Sebuah masjid berdiri di hadapannya dalam keadaan tersangat uzur. Kubah tergolek di atas jalan. Cermin-cermin pecah berselerakan. Dinding-dindingnya terkopak di sini sana. Kening Izara berlapis.

Persoalan demi persoalan menghentak benak fikiran. Anak tangga masjid didakinya satu per satu. Sehinggalah kedua-dua belah kakinya berada di dalam masjid. 

Matanya melilau mencari sesiapa yang kemungkinan berada di situ tetapi hampa. Sekelilingnya sunyi dan sepi.

"Assalamualaikum." Izara melontarkan salam. Tiada sahutan. Matanya memerhati persekitaran dalam masjid.

Kitab-kitab agama berselerakan di atas lantai. Terkoyak dan bercerai-berai. Mimbar yang menjadi tempat khatib membaca khutbah musnah sama sekali. Seolah-olah satu bencana yang dahsyat telah melanda kawasan itu.

Tiba-tiba, telinganya menangkap suara orang mengerang kesakitan. Dia melingas pantas sebelum kakinya laju diayun menuju arah suara itu muncul. Sehelai tabir hijau tua yang menghadangi saf solat wanita dan lelaki diselaknya.

Mata Izara terpaku di lantai. Seorang tua berjubah dan berkopiah terbaring berlumuran darah. Kedua-dua belah tangan dan kakinya putus. Jubah yang dikenakan terkoyak di bahagian dada. Darah kelihatan membuak-buak. Izara pantas menerpa.

Lelaki itu bernafas tersendat-sendat. Matanya yang terbuka tertutup memandang ke arah Izara.

"Is... lam?" soal lelaki tua itu terketar-ketar.

Pantas Izara mengiakan.

"Per... gi sela... matkan di... ri kamu. Selamatkan Islam..." arah lelaki tua itu bersusah payah. Suaranya tersangkut-sangkut. Helaan nafasnya kian lemah.

"Mengucap pak cik. Sebut nama ALLAH," bisik Izara tanpa mempedulikan arahan lelaki tua itu.

"Per... gi sebelum mereka ti... ba. Mere... ka musuh Islam." Suara lelaki tua itu sedikit meneran.

Nafasnya bergetar di kerongkong sebelum terhenti. Matanya terpejam erat.Izara terkedu memandang lelaki tua itu. Air matanya bergenang. Siapa yang begitu kejam menghancurkan masjid ini dan membunuh lelaki tua ini dengan penuh kejam?

Suara menderam kedengaran di belakang tubuhnya. Izara terkaku. Bebola matanya bergerak-gerak sebelum dia menoleh. Sebaik sahaja pandangan bertukar, Izara tertelan liurnya sendiri. Segerombolan makhluk berjubah dan berhud hitam sedang berdiri di belakangnya. Masing-masing menderam dan merengus kencang.

"Bunuh orang Islam itu! Pastikan tiada orang Islam lagi di atas muka bumi ini! Semuanya musnah. Semuanya mati!"

Kedengaran satu suara garau bertempik memberi arahan. Tanpa berlengah, gerombolan berjubah hitam itu menyerbu ke arah Izara.

Hud mereka tersingkap menampakkan wajah masih-masing yang mengerikan! Kulit berkedut membaluti wajah dan gigi tajam keruncingan.

Izara terduduk melutut menekup wajahnya. Nama ALLAH dilaung berkali-kali.

"ALLAH!"

Izara menggelepar dan meronta-ronta.

"Zara! Zara!"

Kelopak mata Izara terangkat apabila mendengar suara Firman memanggil namanya. Kelihatan beberapa orang jururawat memegang tubuhnya. Firman pula sedang menekan kedua-dua belah bahu Izara dari terus meronta.

"Ingat ALLAH, sayang. Mengucap. Istighfar." Firman cuba menenangkan isterinya.

Izara kebuntuan sejenak sebelum akal warasnya kembali berfungsi. Nafas ditarik dalam-dalam sebelum dihela. Ketenangan diraih. Jururawat yang mengelilinginya sebentar tadi mula beransur seorang demi seorang.

"Bagaimana dengan Hannah, abang?" soal Izara setelah ingatannya kembali.

"Alhamdulillah dia selamat. Dia dah discharge pagi tadi," ujar Firman.

"Kalau Zara tak minta dia temankan, mesti tak ada apa yang berlaku pada dia."

Izara diburu penyesalan. Tanggungjawab Hannah sepanjang berada di rumahnya adalah tanggungjawabnya. 

Tanpa disangka-sangka perkara yang buruk pula terjadi. Pasti ibu bapa Hannah akan menyalahkan dirinya atas apa yang telah terjadi.

"Jangan fikir sangat soal tu. Abang dah jelaskan pada Hannah dan juga ibu bapa dia. Mereka faham. Sekarang ni yang penting Zara kena berehat," pesan Firman.

Izara bungkam. Mimpi yang dialaminya sebentar tadi berlegar di fikiran. Apa sebenarnya maksud di sebalik mimpinya itu sukar untuk dia menelah. Izara kembali berbaring di atas katil. Matanya dipejam.

Kejam! Tak berperikemanusiaan!

Oops! This image does not follow our content guidelines. To continue publishing, please remove it or upload a different image.

Kejam! Tak berperikemanusiaan!

AzazilWhere stories live. Discover now