BAYU malam berhembus dingin. Sunyi mencengkam persekitaran. Kesepian itu dicemari suara-suara meratib yang menuturkan bicara aneh. Tenggelam timbul kedengaran. Datangnya dari sebuah rumah yang jauh terletak di pedalaman. Satu-satunya rumah yang terletak di situ. Terasing jauh daripada kehidupan masyarakat. Ditemani rimbunan pepohon hutan.
Tuk! Tuk! Tuk!
Ketukan di pintu papan membuatkan suara-suara yang mengalunkan bacaan itu terdiam. Tidak lama kemudian pintu terbuka. Berkeriut bunyinya. Satu susuk tubuh berpakaian serba hitam dan berhud berdiri di muka pintu.
Hanya seulas bibirnya yang kehitaman terserlah. Kepalanya menunduk memandang halaman rumah. Satu susuk tubuh kecil terbaring di situ. Hanya beralas rumput semata-mata. Matanya terkedip-kedip. Tidak menangis biarpun tubuhnya digigit kedinginan.
Sepasang tangan berurat dan berkuku tajam muncul di sebalik pakaian hitamnya. Menunduk dan merangkul tubuh bayi itu.
"Dia yang terpilih. Waris keturunan yang lahir pada bulan gerhana berdarah," tutur Azazil dengan suara yang garau. Hanya suaranya sahaja yang bergumam. Jasadnya pula tidak kelihatan di mana-mana.
Susuk tubuh berhud itu merapatkan bayi itu sehingga ke dada. Merenung wajah bayi itu. Tidak menduga sama sekali itulah bayi yang mereka nantikan selama ini.
"Satu lagi akan muncul tidak lama lagi."
Susuk tubuh berhud itu tidak berlengah. Membawa masuk bayi dalam rangkulannya ke dalam rumah. Pintu rumah dikatup rapat. Bayi lelaki itu dibawa ke tengah rumah. Beberapa orang lagi berpakaian serupa menanti di situ.
Beberapa batang lilin yang terpacak di atas lantai menerangi persekitaran. Lakaran-lakaran aneh terbentuk di atas lantai dan di dinding rumah. Bayi itu dibaringkan di dalam satu lingkaran bulat yang dikelilingi lilin hitam dan putih.
Kumpulan manusia berhud hitam seramai tujuh orang itu duduk beralaskan kaki mengelilingi lingkaran lakaran itu. Bibir masing-masing mula terbuka tertutup membacakan sesuatu. Suara yang pada mulanya perlahan bertukar menjadi kuat dan nyaring. Tubuh masing-masing terhinggut-hinggut seperti kerasukan.
"Ya Azazil!"
Seruan terakhir dilafaz sekuat hati. Masing-masing terdongak. Hud yang mentabiri wajah tersingkap. Memperlihatkan gigi masing-masing yang berceracak tajam dan bebola mata yang hitam keseluruhannya. Serentak itu, angin kuat berhembus. Lilin yang bernyala terliuk-liukterpadam serta-merta. Persekitaran bertukar gelap.
Salah seorang daripada mereka berdiri. Berjalan selangkah demi selangkah merapati bayi itu yang mula menangis teresak-esak.
"Bawakan korban," arahnya dengan suara yang garau.
Dua orang daripada mereka bangun. Berlalu keluar dari rumah sebelum membawa seekor kambing hitam masuk ke dalam rumah. Ditambat dengan seutas tali di tiang rumah. Susuk tubuh yang merangkul tubuh bayi itu, meletakkan semula bayi di atas lantai. Dia bangun lalu berdiri bersebelahan kambing berbulu hitam itu. Tangannya berkuku tajam dijulang tinggi di udara.
"Atas nama Azazil, aku korbankan kau!"
Serentak seruan itu, ia meradak batang leher kambing itu. Serta-merta kepalanya terputus. Bergolek di atas lantai. Darah menyembur daripada batang lehernya yang terpenggal. Kambing yang terbaring itu masih menggelepar. Kakinya tertunjal-tunjal menendang. Selang beberapa saat, kambing itu kaku. Keras.
Darah pekat bertakung di atas lantai. Susuk tubuh itu meraup telapak tangan di atas likatan darah itu. Seraya melumurkan ia di tubuh bayi lelaki itu. Berkali-kali diulangnya. Bibirnya tidak henti-henti menggumam bacaan aneh. Cukup tujuh kali perbuatannya diulang, dia akhirnyaberhenti. Bayi itu dirangkul lalu dijulang ke udara.
"Kau akan menjadi musuh terbesar orang Islam!"
![](https://img.wattpad.com/cover/324258417-288-k704247.jpg)
YOU ARE READING
Azazil
HorrorBermula Perang Salib, dunia tercampak ke dalam petaka yang dahsyat. Seekor makhluk derhaka lahir dan mencetuskan huru-hara serta kacau-bilau. Dunia cuba diheretnya sehingga ke titik kehancuran! Sehingga tahun 2018, Firman dan Izara masih tidak berp...