MENJELANG malam, Inspektor Rasyid masih berteleku di meja kerjanya. Dia meneliti kepingan gambar yang ditangkapnya pagi tadi setelah selesai disalin ke dalam komputer. Kesan calar yang tergores di birai tingkap diperhati Inspektor Rasyid. Ketukan pintu menyentak fokus Inspektor Rasyid.
"Masuk," arah Inspektor Rasyid. Selang beberapa saat, Sarjan Hisham melangkah masuk.
"Ini fail kes minggu lepas yang tuan minta tadi," ujar Sarjan Hisham sambil menyerahkan sebuah fail berwarna coklat pudar kepada Inspektor Rasyid.
Sebaik sahaja fail bertukar tangan, Inspektor Rasyid mengucapkan terima kasih. Sebelum Sarjan Hisham melangkah keluar, Inspektor Rasyid memanggilnya. Skrin komputer dihalakan ke arah Sarjan Hisham.
"Cuba sarjan teliti kesan goresan ni baik-baik," pinta Inspektor Rasyid.
Sarjan Hisham menurut. Kerusi di hadapan meja Inspektor Rasyid ditarik dan dia melabuhkan punggung. Matanya meneliti kesan goresan itu.
"Saya ada teliti kesan goresan ni pagi tadi. Terus terang saya katakan, saya tak lihat kesan ni terhasil daripada tangan manusia," ujar Sarjan Hisham.
"Hujah sarjan?" soal Inspektor Rasyid. Sekadar mahukan penjelasan lanjut daripada anggotanya itu.
Sarjan Hisham menghalakan skrin komputer ke arah Inspektor Rasyid. Sebelah tangannya mencapai tetikus.
"Kesan jaluran ni ada lima goresan di kiri dan kanan. Yang kita boleh mengandaikan ia milik sepasang tangan manusia. Tetapi jika diperhatikan, kesan repihan tu lebih mengecil dan halus. Ni menunjukkan pemilik sepasang tangan ni mempunyai kuku yang runcing dan tajam di hujungnya.
Kuku manusia biasa mempunyai kelebaran. Dan jika runcing sekalipun tak mungkin menyamai keruncingan kuku seekor haiwan seperti harimau atau serigala. Lagi pulak pihak forensik pun gagal menemui sebarang kesan cap jari dan DNA di kawasan ni," terang Sarjan Hisham,panjang lebar.
Inspektor Rasyid turut bersetuju dengan hujah yang disampaikan oleh Sarjan Hisham. Cuma yang menjadi persoalan, dari mana datangnya kesan seperti cakaran itu? Hati kecilnya kuat mengatakan kesan itu mempunyai kaitan dengan kes kematian gadis itu.
"Bagaimana dengan keterangan ibu bapa si mati, tuan?" tanya Sarjan Hisham.
"Tak banyak maklumat yang diperoleh. Ibu bapa mangsa kata anak mereka tak ada musuh. Bahkan rakan-rakan dia jugak dalam lingkungan penduduk kampung sahaja. Mangsa jugak dikatakan diasuh dengan ilmu agama yang tinggi dan merupakan pelajar lepasan sekolah agama. Setiap kali keluar dari rumah pun mangsa mengenakan purdah," terang Inspektor Rasyid serba sedikit mengenai diri mangsa.
"Bagaimana pulak dengan anak dalam kandungan mangsa? Siapa sebenarnya bapa kepada anak dalam kandungan dia tu?" soal Sarjan Hisham lagi.
"Soal tu masih belum dapat kepastian. Daripada keterangan ibu bapa mangsa, mereka mengatakan mangsa tak pernah menjalinkan hubungan dengan mana-mana lelaki. Dan mangsa jugak tak pernah mendedahkan siapa sebenarnya bapa kepada bayi dalam kandungan dia tu walaupun puas disoal," jelas Inspektor Rasyid.
"Keluarga mangsa tak lakukan pemeriksaan di hospital?" duga Sarjan Hisham.
"Mereka tak mahu perihal anak mereka tersebar luas. Jadi untuk tutup malu mereka menyembunyikan anak mereka di rumah," jelas Inspektor Rasyid.
"Atau ada tembelang yang cuba dijaga daripada pecah? Manusia zaman sekarang bukan boleh percaya. Baik yang berpurdah ataupun berkopiah," ujar Sarjan Hisham, sinis. Inspektor Rasyid dapat menangkap maksud di sebalik kata-kata Sarjan Hisham yang cuba mengaitkan kemungkinan berlakunya gelaja sumbang mahram.
"Soal tu saya tak nak ulas lebih lanjut sebab tak ada bukti yang kukuh. Nanti akan jadi fitnah. Kita sama-sama tunggu laporan daripada pihak forensik. Lagi satu, purdah dan kopiah tak salah dalam sesuatu kejahatan yang dilakukan seseorang. Dunia akhir zaman ni, keimanan tak dapat dinilai dari luaran. Kadangkala luarnya dihukum oleh para manusia dengan gelaran penghuni neraka tapi siapa tahu dialah penghuni syurga. Macam tu jugak sebaliknya," ujar Inspektor Rasyid secara umum.
Sarjan Hisham yang mendengar hanya mendiamkan diri. Dalam diam menyetujui kata-kata yang disampaikan oleh pegawai atasannya itu. Setelah selesai perbincangan, Sarjan Hisham berlalu keluar dari bilik itu. Meninggalkan Inspektor Rasyid berseorangan di meja kerjanya.
Gambar seterusnya diklik oleh Inspektor Rasyid. Lambang yang tertera di siling bertepatan lokasi mangsa ditemui, ditelitinya. Seumur hidupnya dia tidak pernah melihat lambang sebegitu. Aneh bentuknya. Kening Inspektor Rasyid bertaut. Atas tujuan apa lambang itu dilukis? Apakah ianya satu petunjuk? Atau signature kill yang sengaja ditinggalkan oleh pembunuhnya?
Kejadian pembunuhan ngeri yang pernah menggemparkan negara dua tahun yang lalu bermain di ruang fikirannya. Siri pembunuhan ngeri yang berakhir dengan kematian rakan sekerjanya, Inspektor Amiruddin. Setiap mangsa yang dibunuh ditinggalkan dengan satu tulisan berdarah yang melakar perkataan 'nyawa'. Entah mengapa, sehingga hari ini dia masih berasakan mayat wanita yang ditemui di dalam hutan itu bukanlah pelaku sebenar setiap kematian ngeri yang berlaku.
"Semoga kau tenang di sana Amiruddin. Aku doakan kau ditempatkan bersama orang-orang yang beriman," titip Inspektor Rasyid.
Dia kembali menatap lambang aneh yang tertera di skrin komputer. Apakah ianya mempunyai kaitan dengan pembunuhan ngeri dua tahun yang lalu?
Tiba-tiba, fail-fail kes yang tersusun di atas kabinet bersebelahan meja kerjanya jatuh bertaburan di atas lantai. Inspektor Rasyid terperanjat. Lafaz istighfar terpacul di bibirnya. Mata lekap memandang kabinet itu dan fail yang bertaburan di atas lantai. Bagaimana fail-fail itu boleh jatuh dengan tidak semena-mena?
Enggan membebankan fikiran, dia bangun dan mengutip setiap satu fail itu. Disusun cermat dan diletakkan semula di atas kabinet. Selajur dia kembali ke meja kerjanya. Tatkala itu, pandangannya tertancap ke arah satu fail yang terletak di kaki meja. Mungkin tidak disedarinya sebentar tadi. Inspektor Rasyid menunduk dan mencapainya. Sempat menyelak sebelum disusun atas kabinet.
Sebaik sahaja fail itu diselak, Inspektor Rasyid terkaku. Fail itu merupakan kes pembunuhan ngeri yang berlaku dua tahun lalu. Satu per satu kepingan gambar mangsa yang dibunuh turut terlampir di situ. Perkataan 'nyawa' yang terlakar di lokasi mangsa ditemui direnung Inspektor Rasyid.
YOU ARE READING
Azazil
HorrorBermula Perang Salib, dunia tercampak ke dalam petaka yang dahsyat. Seekor makhluk derhaka lahir dan mencetuskan huru-hara serta kacau-bilau. Dunia cuba diheretnya sehingga ke titik kehancuran! Sehingga tahun 2018, Firman dan Izara masih tidak berp...