Jerusalem, 1186 Masihi.
PERANG Salib Pertama sekitar tempoh tahun 1095Masihi sehingga 1099 Masihi yang menyaksikan kekalahan tentera Islam. Jatuhnya kota Jerusalem ke tangan tentera Salib menandakan kemenangan mereka sekali gus berakhirnya Perang Salib Pertama.
Havar dan Nadel, dua orang tentera berpangkat bawahan mengitari sekitar kota Jerusalem. Sekadar melakukanrondaan keselamatan.
"Gerakan ketenteraan Islam di bawah pimpinan Salahuddin nampaknya semakin tersusun berbanding pemimpin sebelumnya. Aku dapat rasakan peperangan semula antara kita dan mereka tak dapat dielak lagi." Havar bersuara setelah sekian lama mendiamkan diri.
"Kau bimbang tentera Salib akan kalah sekiranya peperangan meletus semula?" soal Nadel.
"Jika melihat pergolakan dalam kerajaan Salib dan kekuatan ketumbukan tentera Salahuddin, aku berani katakan yang kita akan kalah." Havar berterus terang tanpa berselindung.
Nadel berhenti melangkah. Baju rakannya dicekak erat.Amarahnya menyeruak tidak semena-mena.
"Kita takkan sesekali tewas kepada mereka! Jika apa yang kau katakan ni didengari oleh pemimpin Jerusalem,nescaya kepala kau akan dipenggalnya!" marah Nadel. Tubuh Havar ditolak sehingga terundur setapak dua.
"Aku cuma katakan kenyataan. Berwaspada itu lebih baik daripada kita terus bersenang dengan kemenangan yang lalu," balas Havar.
Nadel tidak membalas. Dia meneruskan rondaan. Kata-kata Havar berlegar di kotak fikiran. Langkah mereka berdua merapati Masjidil Aqsa. Lokasi suci itu dikitari mereka sebelum langkah Havar terhenti. Dia menginjak-injak tanahnya berpijak.
"Kenapa Havar?" soal Nadel yang berada beberapa tapak ke hadapan.
"Tanah di sini tak rata. Seperti ada lubang di dalamnya," ujar Havar sambil menghentak-hentak kakinya ke tanah.
Bunyinya kedengaran tidak sekata. Nadel yang baru ingin berpatah balik terkejut apabila Havar terperosok masuk ke dalam tanah sebaik sahaja menghentak kakinya dengan kuat. Lekas Nadel berlari. Meniarap dan menjenguk ke dalam lubang sedalam dua kali ketinggian manusia dewasa.
"Kau tak apa-apa Havar?" Suara Nadel sedikit cemas.
Havar kelihatan terbaring sambil menyeringai kesakitan. Havar hanya menunjukkan isyarat ibu jari. Beransur-ansur dia bangkit dan duduk dengan kedua-dua belah kaki melunjur. Meredakan rasa sakit yang menyerang sebelum bangkit berdiri. Matanya mengitari sekeliling.Cahaya dari luar menerobos masuk membantunya melihat sedikit sebanyak.
Pandangan Havar terpaku ke arah satu kotak bersaiz segi empat tepat tergeletak di hadapannya. Seekor ular berwarna hitam sebesar lengan manusia melingkari kotak itu. Seolah-olah menjadi penjaga kepadanya. Havar terasa aneh melihat situasi itu.
Havar menunduk mencapai seketul batu. Niatnya untuk membunuh ular itu selajur mengambil kotak misteriitu. Kotak misteri itu menarik minatnya. Selangkah dua dia merapati, ular itu meleraikan lingkarannya. Menyusur ke arah Havar. Terhenti dalam jarak kurang semeter dihadapannya. Sisik kulit kepalanya mengembang. Tegak menghadap Havar.
Havar tertelan liur. Batu dikepal erat. Baru sahaja Havar ingin membaling batu di kepala ular, tidak semena-mena reptilia itu menyerang terlebih dahulu. Mengangakan mulut sambil melayangkan tubuh. Membenamkan taring berbisanya ke leher Havar tanpa sempat tentera lelaki itu mengelak. Havar meraung kesakitan. Nadel yang melihat dari atas terperanjat besar.
Lekas dia terjun ke dalam lubang. Havar terbaring diatas tanah. Mulutnya berbuih. Mata putihnya naik ke atas. Dia menggelepar beberapa saat sebelum putus nyawa. Dua lubang kecil kelihatan di lehernya. Nadel menutup mata Havar yang terbeliak dengan tapak tangannya. Nadel tercari-cari ular yang telah mematuk rakannya itu. Ular hitam yang mematuk Havar turut mati. Terbujur melingkar tidak jauh dari lokasi Havar terbaring. Kala itu,mata Nadel terpandang satu kotak kayu bersegi empat. Dia bangun dan mendapatkannya. Saat jari-jemari menyentuh kotak itu, bulu romanya tegak berdiri. Mengembang dari kepala hingga hujung kaki.Dia membersihkan sisa tanah yang melumuri kotak itu. Selajur kotak itu dibukanya.
Sebaik sahaja terbuka, telinganya terasa berdengung. Kepalanya memberat tidak semena-mena. Senaskhah kitab lusuh terletak di dalamnya. Nadel tertelan liur. Dia seakan dapat mengagak kotak berisi kitab yang ditemukannya itu bukanlah satu benda yang baik. Kotak ditutup semula. Jasad Havar perlu diuruskan. Kotak itu diputuskan Nadel untuk dibawa keluar.
-----------------------------------------------------------
KOTAK itu diserahkan kepada Abdiel, iaitu orang kanan pemimpin Jerusalem. Lelaki itu terpinga-pinga sebaik sahaja melihat kotak kayu itu. Namun apabila kotak itu disentuh, reaksi wajah Abdiel berubah. Aura aneh terasa membalut tubuhnya.
"Tuan jugak rasakannya bukan?" soal Nadel.
"Di mana kau jumpa kotak ni?" soal Abdiel.
Nadel menceritakan peristiwa yang membawa kepada penemuan kotak kayu itu secara terperinci. Abdiel berdiam diri mendengarnya sehingga tamat.
"Kotak ini ditemukan berdekatan Masjidil Aqsa?" soal Abdiel lagi untuk kepastian.
Nadel mengangguk. Abdiel lekas bangun dan menutup pintu bilik lalu mengunci rapat. Kotak kayu itu dibuka. Telinganya berdengung. Bulu romanya tegak terpacak. Senaskhah kitab lusuh terletak di dalamnya. Abdiel mengeluarkannya dengan cermat. Selajur kitab lama itu diselak. Helaian demi helaian sehingga tamat. Sejurus itu, dia meletakkan semula kitab itu ke dalam kotak kayu itu. Kotak itu diserahkan semula kepada Nadel.
"Tanam semula kotak kayu ni. Jangan khabarkan tentang penemuan kau ini pada sesiapa jika mahu nyawa kau selamat. Ingat!" perintah Abdiel yang berbaur ancaman di hujungnya.
Nadel akur arahan ketuanya. Tidak berani membantah atau menyoal. Dia membawa kotak kayu itu selajur berlalu. Belum sempat keluar dari bilik, Abdiel memanggil.
"Nanti tunjukkan kepada aku di mana kau tanamkan kotak kayu ini." Nadel mengangguk sekali lagi selajur berlalu keluar.
Abdiel berpeluk tubuh. Menghalakan pandangan ke luar tingkap. Merenung jauh ke hadapan. Rencana bersifat hitam bermain di fikiran sebaik sahaja membaca isi kitab lama itu. Bibirnya meleretkan senyuman sinis.
YOU ARE READING
Azazil
HorrorBermula Perang Salib, dunia tercampak ke dalam petaka yang dahsyat. Seekor makhluk derhaka lahir dan mencetuskan huru-hara serta kacau-bilau. Dunia cuba diheretnya sehingga ke titik kehancuran! Sehingga tahun 2018, Firman dan Izara masih tidak berp...