PUAN RAHMAH terjaga dari tidur. Nafasnya tercungap-cungap. Wajahnya dibasahi peluh. Dia beristighfar berulang kali hinggalah perasaannya kembali tenang. Baru sebentar tadi tidurnya diganggu mimpi buruk. Anaknya Wahida ditemui mati dalam keadaan mengerikan dengan tubuhnya sedang diratah oleh sekumpulan makhluk berjubah hitam.
Meremang bulu roma Puan Rahmah apabila mengingati semula mimpinya itu. Jam tergantung di dinding menunjukkan pukul 4.35 pagi. Suaminya masih lena di pembaringan. Lazimnya dalam lingkungan 5.00 pagi barulah suaminya bangun dan bersiap-siap ke masjid untuk solat subuh berjemaah.
Puan Rahmah turun dari katil. Mengatur langkah menuju bilik anaknya. Nalurinya selaku seorang ibu berasa tidak enak. Apabila kaki menghampiri bilik Wahida, hidungnya tercium bau hanyir. Puan Rahmah menekup hidung. Tertanya-tanya dengan bauan kurang enak yang muncul dari bilik Wahida itu.
Pintu bilik diketuk sekali dua. Nama anaknya dipanggil. Tiada sahutan. Puan Rahmah memutar tombol pintu lalu ditolak ke dalam. Persekitaran bilik gelap dan suram. Suis yang terletak bersebelahan pintu digagau lalu diketik.
Lampu bernyala. Puan Rahmah segera menyorotkan pandangan ke dalam bilik. Matanya terbuntang luas melihat jasad Wahida terbaring di atas lantai dengan perut yang terburai. Darah bersimbah di sini sana. Puan Rahmah menjerit dihambat kejutan bukan kepalang sebelum jatuh pengsan di atas lantai. Kematian Wahida terlalu mengerikan!
-----------------------------
MENJELANG pagi, penduduk kampung berkusuk-kasak memenuhi halaman rumahpasangan suami isteri itu. Telahan demi telahan meniti di bibir masing-masing. Rata-rata membuat kesimpulan Wahida mati dibunuh. Wajah masing-masing dibalut kerisauan dan ketakutan. Pertama kali kampung itu mengalami kejadian ngeri sebegitu. Mereka bimbang jika ada lagi penduduk kampung yang bakal menjadi mangsa seterusnya.
Pita kuning merentangi sekeliling rumah bagi mengelak orang ramai memasuki lokasi kejadian. Mayat Wahida masih belum dialihkan. Pihak forensik yang terlebih dahulu tiba sedang melakukan kerja pengumpulan bahan bukti untuk dianalisa di makmal.
Sebuah kereta peronda polis tiba di pekarangan rumah. Inspektor Rasyid menyelit keluar dari kereta selajur menapak masuk ke dalam rumah. Kelihatan seorang lelaki dan wanita berusia lingkungan 50-an duduk di ruang tamu. Wajah dibalut kesedihan. Masing-masing mengangkat wajah memandang Inspektor Rasyid.
Inspektor Rasyid mendapatkan mereka berdua. Bersalaman dan memperkenalkan diri. Tahulah dia kedua-dua wanita dan lelaki itu merupakan ibu bapa si mati. Sejurus itu, Inspektor Rasyid menuju ke bilik lokasi mayat mangsa ditemui. Sekujur tubuh ditabiri plastik hitam.
Darah terpalit di sini sana. Inspektor Rasyid menyelak plastik hitam yang menutupi tubuh mangsa. Nafas terhela panjang sebaik sahaja melihat tubuh mangsa yang dalam keadaan mengerikan. Perutnya terkoyak luas. Kesan koyakan diteliti. Strukturnya langsung tidak menunjukkan pembunuh menggunakan senjata tajam untuk membelah perut mangsa. Perut mangsa seolah-olah terburai lantaran tekanan tinggi yang wujud dari dalam perutnya sendiri.
Pandangan kasar matanya gagal menangkap sebarang kesan pergelutan. Dalam leka dia meneliti kesan kecederaan di tubuh mangsa, pandangan matanya menangkap seketul daging tidak ubah seperti uri berada berdekatan bahagian bawah perut jasad gadis itu. Tubuh mangsa ditutup semula menggunakan plastik hitam itu.
"Siapa orang pertama yang menjumpai mayat mangsa?" soal Inspektor Rasyid kepada salah seorang anggota bawahannya.
"Ibu mangsa, tuan," balas Sarjan Hisham.
"Bagaimana dengan bayi dalam kandungan mangsa?"
"Pihak kita masih mencarinya. Maklumat yang diperoleh daripada ibu mangsa mengatakan kandungan si mati telah hampir mencecah sembilan bulan," balas Sarjan Hisham.
"Siapa suami kepada si mati?"
"Si mati tak mempunyai suami. Dia masih belum berkahwin," jawab Sarjan Hisham setelah diam seketika.
Pelbagai andaian mula bermain di fikiran Inspektor Rasyid. Antara andaian awal pembunuhan itu dilakukan adalah bagi menutup malu. Oleh siapa, tidak dapat dipastikan sehinggalah siasatan dilakukan secara lebih terperinci.
"Bagaimana dengan pemeriksaan di sekeliling rumah? Ada sebarang kesan ceroboh masuk?" soal Inspektor Rasyid lagi.
"Daun tingkap terkopak seolah-olah ia dirempuh dari luar. Dan jugak tanda ini," balasnya sambil jari telunjuk lurus menuding ke atas.
Inspektor Rasyid mendongak memandang siling. Aneh mengurung fikiran. Satu lambang pelik yang dilukis menggunakan cecair berwarna merah melatari siling itu. Bertepatan di mana jasad mangsa tergeletak.
"Cecair yang digunakan untuk melukis simbol itu adalah darah. Cuma masih belum dapat dipastikan darah apa atau siapa yang digunakan. Sampel dah diambil olehpihak forensik untuk dianalis di makmal," terang Sarjan Hisham.
Inspektor Rasyid mengeluarkan telefon bimbit. Seraya dia menangkap sekeping dua simbol aneh yang terlakar di siling itu. Mayat mangsa yang tergeletak kaku di atas lantai direnung sebelum mata dialihkan ke arah lambang yang terlakar di siling. Persoalan demi persoalan mula bermain di fikiran. Jika motif untuk menutup malu, mengapa perlu lukisan itu dilakar? Sehinggakan pembunuhan itu kelihatan seolah-olah satu ritual untuk menyempurnakan amalan sesat.
Persekitaran bilik diperiksa Inspektor Rasyid. Matanya tajam mengesani sebarang bukti yang dapat digunakan untuk membantu siasatan kes. Dia meneliti daun tingkap yang terkopak sebelum membelek birai kayu yang menjadi penghadang. Tidak kelihatan apa-apa mencurigakan.
Inspektor Rasyid membongkokkan tubuh. Membelek lapisan bawah birai kayu itu. Beberapa jaluran seperti sesuatu yang tajam digores ke atasnya menarik perhatian
Inspektor Rasyid. Telefon bimbitnya sekali lagi dikeluarkan. Beberapa keping gambar diambilnya. Kemudian dia menjengah keluar. Memerhati struktur tanah berdekatan birai tingkap itu. Anehnya tidak kelihatan sebarang kesan jejak kasut atau kaki. Selajur Inspektor Rasyid mengarahkan pihak forensik untuk memeriksa bahagian tingkap itu. Kemungkinan terdapat petunjuk yang dapat membantu memudahkan penyiasatan.
Inspektor Rasyid meninggalkan ruangan bilik. Dia memandang sekitar ruang dalaman rumah itu. Ruangan bahagian bumbung rumah turut diteliti. Tiada sebarang jejak yang berjaya dikesani. Inspektor Rasyid kemudiannya mendapatkan ibu bapa mangsa. Menenangkan mereka berdua sekali gus menerangkan prosedur penyiasatan yang dijalankan. Kedua-duanya mengangguk faham. Hanya sesekali mencelah.
"Setelah urusan di sini selesai, saya harap pak cik dan mak cik dapat hadir ke balai untuk memberikan keterangan bagi membantu siasatan kes," pinta Inspektor Rasyid.
Puan Rahmah dan Ayob akur. Bersedia untuk memberikan kerjasama dan bantuan yang diperlukan oleh pihak polis.
YOU ARE READING
Azazil
HorrorBermula Perang Salib, dunia tercampak ke dalam petaka yang dahsyat. Seekor makhluk derhaka lahir dan mencetuskan huru-hara serta kacau-bilau. Dunia cuba diheretnya sehingga ke titik kehancuran! Sehingga tahun 2018, Firman dan Izara masih tidak berp...