SEJURUS selesai solat Maghrib secara berjemaah, Ustaz Yusrizal duduk berteleku di atas sejadah. Dia dijemput untuk memberikan ceramah kepada para remaja Rumah Bakti, di mana setiap penghuninya terlibat dalam pelbagai masalah sosial.
Para makmum telah lama meninggalkan masjid. Tinggal Ustaz Yusrizal keseorangan.
Ustaz Yusrizal mengelamun jauh. Kejadian yang dialami di rumah Ayob dan juga luahan lelaki itu tentang anak perempuannya berlegar di fikiran. Berkali-kali isteri Ayob mengatakan anak perempuannya masih suci dan tidak pernah sesekali melanggar hukum ALLAH.
Tetapi Ayob enggan mempercayainya. Mana mungkin seseorang itu hamil tanpa melakukan hubungan badan. Menurut Ayob lagi, sejak anak perempuannya itu hamil, kejadian-kejadian aneh mula menimpa mereka sekeluarga.
Anak perempuannya itu kerap mengadu terdengar suara misteri. Bahkan dia juga sering melihat makhluk menyeramkan seperti segerombolan manusia berjubah dan berhud hitam serta makhluk hitam bertanduk.
"Makhluk hitam bertanduk." Perlahan Ustaz Yusrizal menyebutnya.
"Ustaz..." Terdengar panggilan serentak dengan satu cuitan di bahu. Lamunannya berkecai. Ustaz Yusrizal menoleh.
Pada anggapannya mungkin salah seorang fasilitator memanggilnya ke dewan memandangkan sesi ceramah malam itu akan bermula tidak lama lagi.
Tetapi telahannya meleset. Tidak kelihatan sesiapa di belakangnya. Sekitar ruangan solat itu kosong melainkan hanya dirinya seorang di situ.
Lampu tidak semena-mena terpadam. Ruangan solat gelap-gelita. Ustaz Yusrizal terkebil-kebil dalam kegelapan.
Dia berdiri. Telefon bimbit dicapainya dari dalam poket. Dengan berpandukan cahaya dari skrin telefon bimbit, Ustaz Yusrizal menapak menuju pintu keluar.
Telinganya tiba-tiba menangkap bunyi helaian buku yang diselak keras. Ustaz Yusrizal terhenti gerak dan menoleh. Cahaya skrin telefon bimbit dihalakannya. Matanya melekat di penjuru masjid.
Satu susuk tubuh berjubah hitam duduk bersila betul-betul menghala ke arah penjuru dinding. Sedangkan setahunya sedari tadi hanya dirinya seorang di dalam masjid.
"Encik." Ustaz Yusrizal sedikit melaung lantaran jarak antara mereka yang sedikit jauh.
Tiada sahutan. Tubuh susuk berjubah itu terhinggut-hinggut seperti seseorang sedang berzikir.
Ustaz Yusrizal mengatur langkah menghampiri susukitu. Perasaan ingin tahu mengasak jiwa.
Ustaz Yusrizal berdiri di belakang susuk itu. Tubuhnyaberhinggut semakin laju. Seiring dengan selakan kertas yang kian kasar dan keras.
Ustaz Yusrizal menjenguk sedikit, cuba melihat perlakuannya. Di pangkuan lelaki itu terletak satu mushaf al-Quran. Satu per satu muka surat diselaknya kasar. Sehinggakan beberapa helai muka surat terkoyak dan bercerai daripada kitab suci itu.
Kedengaran suara garaunya mengalunkan bacaan ayat suci al-Quran. Semakin lama lontaran suaranya semakin keras. Berkerut dahi Ustaz Yusrizal apabila mengamati bacaan yang dialunkan. Ayat yang dibacakan susuk itu adalah ayatul Kursi yang dibacakan secara songsang!
"Encik!"
Bacaannya terhenti. Perlakuannya menyelak al-Quran juga terbejat. Suara garaunya menderam. Ustaz Yusrizal bersiap siaga dengan sebarang ancaman yang muncul secara mendadak. Pada pemikirannya kemungkinan lelaki berjubah di hadapannya itu seorang pengamal ajaran sesat!
Perlahan-lahan lelaki itu mengalihkan kepalanya. Pada mulanya hanya sisi wajahnya yang kelihatan sebelum lehernya memutar 180 darjah ke belakang. Tepat menghala ke arah Ustaz Yusrizal! Susuk tubuh itu menyeringai. Kelihatan giginya yang runcing ketajaman.
"Ustaz!"
Lampu di dalam ruangan solat bernyala semula. Seorang lelaki mengenakan baju Melayu berwarna hijau mendapatkannya.
"Saya datang ni nak jemput ustaz ke dewan untuk sesi ceramah," ujar lelaki itu yang dikenali sebagai Cikgu Shahron.
Ustaz Yusrizal terkebil-kebil memandang lelaki itu. Pandangan matanya dihalakan semula ke arah susuk tubuh berjubah hitam itu berada. Tiada sesiapa.
"Ustaz?" tegur Cikgu Shahron sebaik sahaja melihat kelainan pada wajah penceramah jemputan itu.
Matanya menghala ke arah pandangan Ustaz Yusrizal. Bibirnya spontan mengucapkan istighfar. Di atas lantai yang dilapik karpet, senaskhah al-Quran terbentang dengan beberapa halaman yang bercerai-berai. Cikgu Shahron menggeleng berkali-kali.
"Siapa punya kerjalah ni?" keluh Cikgu Shahron.
Helaian demi helaian dikutip dan disatukan. Al-Quran itu digenggamnya erat.
"Maaf ustaz. Tak pernah-pernah kejadian macam ni berlaku," ujar Cikgu Shahron.
Ustaz Yusrizal tidak memberikan sebarang reaksi. Kejutan sebentar tadi masih menghambat jiwanya.
"Marilah kita ke dewan ustaz. Lambat atau cepat pelakunya mesti kita dapat jugak." Lanjut Cikgu Shahron.
Ustaz Yusrizal bertapak menuruti Cikgu Shahron dari belakang dengan fikiran yang masih dibelenggu keanehan.
Weh, serammmmm 😱
YOU ARE READING
Azazil
HorrorBermula Perang Salib, dunia tercampak ke dalam petaka yang dahsyat. Seekor makhluk derhaka lahir dan mencetuskan huru-hara serta kacau-bilau. Dunia cuba diheretnya sehingga ke titik kehancuran! Sehingga tahun 2018, Firman dan Izara masih tidak berp...