Bab 19: Kebetulan?

12 2 0
                                    

PAGI itu, kegemparan tercetus. Mayat Ustazah Azian dan Cikgu Rohayah ditemui dalam keadaan mengerikan oleh jirannya yang juga guru di pusat pemulihan itu. Jannah pula tidak dijumpai. Hilang entah ke mana. Laporan polis dilakukan untuk menyiasat kes pembunuhan itu termasuk mencari kehilangan Jannah.

"Tak pernah-pernah kejadian macam ni berlaku di sini," luah Tuan Berahim yang merupakan pengetua pusat pemulihan itu.

Perasaan sedih, bersalah bercampur baur di jiwanya. Soal kebajikan dan keselamatan setiap penghuni dan juga guru itu terpikul di bahunya.

"Kalau tak keberatan, boleh saya tahu latar belakang pelajar yang bernama Jannah tu?" soal Ustaz Yusrizal.

Sesuatu berlegar di dalam fikirannya.

"Dia masuk sini beberapa bulan yang lalu. Kes hamil luar nikah. Jannah cuba gugurkan kandungan tu tapi berjaya dihalang oleh keluarganya," cerita Tuan Berahim serba ringkas.

"Teman lelakinya tak bertanggungjawab dengan apa telah terjadi?" duga Ustaz Yusrizal.

Tuan Berahim menghela nafas panjang.

"Itu yang menjadi persoalannya sebab Jannah beritahu yang dia tak ada teman lelaki. Dia cuba gugurkan kandungan tu pun sebab dia tak boleh terima hakikat yang dirinya hamil secara tiba-tiba. Pihak kaunselor kat sini cuba untuk membantu, tapi tak berjaya. Jannah berkali-kali tegaskan yang dia tak pernah lakukan sebarang perbuatan sumbang."

Jantung Ustaz Yusrizal berdebar sebaik sahaja mendengar cerita yang disampaikan oleh Tuan Berahim. Kejadian di rumah Ayob dan cerita yang disampaikan oleh lelaki itu berlegar di fikirannya.

"Sepanjang dia di sini, pernah tak Jannah beritahu yang dirinya diganggu? Maksud saya gangguan yang bersifat halus?" soal Ustaz Yusrizal berterus terang.

Terdiam seketika Tuan Berahim apabila diajukan soalan itu. Berlama-lama sebelum dia mengiakan.

"Dia pernah beritahu yang dia kadang-kadang dengar suara berbisik. Kesnya tu kami rujuk kepada doktor tapi doktor sahkan yang dia tak menghidap sebarangpenyakit mental. Kami jugak cuba berubat dengan cara perubatan Islam. Alhamdulillah, berkurang sikit. Dan..."

Tuan Berahim berjeda sebentar. Keningnya berkerut seperti mengingati sesuatu.

"Jannah jugak pernah cerita yang dia nampak sekumpulan makhluk berjubah hitam berdiri dalam bilik dia beramai-ramai masa waktu senja. Hanya sekali tu sebelum kejadian dia meracau semalam," lanjut Tuan Berahim.

Sebaik sahaja mendengar perkataan makhluk berjubah hitam, darah Ustaz Yusrizal berderau. Bukan kerana takut atau gerun tetapi hatinya tidak sedap. Lagi-lagi, Jannah juga mengaku tidak pernah melakukan perkara sumbang sehingga menyebabkan dirinya hamil. Ayob dan Tuan Berahim juga menceritakan hal yang serupa. Tidak mungkin ia satu kebetulan. Ustaz Yusrizal meraup wajahnya.

"Apa yang sedang ustaz fikirkan?" soal Tuan Berahim sebaik sahaja melihat kelainan pada raut wajah Ustaz Yusrizal.

Ustaz Yusrizal tersentak. Dia memandang wajah Tuan Berahim. Baru sahaja dia ingin berbicara, telinga masing-masing menangkap bunyi siren kereta polis. Dari jauh kelihatan beberapa buah kenderaan polis menghampiri rumah pemulihan akhlak itu.

***

LOKASI kejadian dipagari dengan pita kuning. Pihak forensik melakukan tugas mengumpul bahan bukti sebelum mayat dibawa masuk ke dalam kenderaan polis. Beberapa anggota polis yang lain berpecah untuk mencari Jannah.

Setiap satu bangunan diperiksa dengan teliti. Bermula dari kawasan asrama para pelajar sehinggalah ke penempatan guru-guru. Sehingga hari hampir menjelang tengah hari, Jannah masih gagal dijumpai.

Sarjan Halim yang mengetuai pencarian menemui Tuan Berahim. Berjabat tangan bersamanya dan juga Ustaz Yusrizal.

"Pihak kami dah lakukan pemeriksaan hampir keseluruhan bangunan kat sini tapi Jannah masih belum jumpa. Jadi, saya nak tanya kepada tuan pengetua sendiri kalau-kalau ada kawasan kat sini yang kami terlepas pandang.

Misalnya kelas, bilik asrama, atau bilik guru yang mungkin telah dikunci atau tak digunakan lagi?" soal Sarjan Halim.

Lelaki berusia lingkungan 50-an itu berdiam sejenak memikirkan sesuatu sebelum bersuara.

"Di belakang rumah pemulihan ni ada tandas yang dah lama tak guna. Rasanya hampir tujuh tahun ditutup," balas Tuan Berahim.

"Boleh bawa kami ke sana?" pinta Sarjan Halim.

"Mari ikut saya." Tuan Berahim terlebih dahulu mengorak langkah.

Masing-masing berada di hadapan tandas lama itu. Kelihatan anak mangga yang telah berkecai di atas lantai. Hidung masing-masing ditekup dengan telapak tangan.


Bau hanyir yang memualkan menjolok tekak. Cecair merah kelihatan terpalit di pintu tandas. Sarjan Halim menapak merapati pintu tandas. Ditolak ke dalam. Bunyi engsel berkeriut jelas kedengaran.

Sebaik sahaja pintu terbuka, Tuan Berahim mengucap panjang. Begitu juga Ustaz Yusrizal. Kepalanya digelengkan. Pemandangan yang mengerikan sekali lagi menjamu pandangan mata setelah melihat jenazah Ustazah Azian dan Cikgu Rohayah pagi tadi.

Jannah tergeletak di atas lantai dengan tubuh yang terputus dua. Seutas tali merintang dari kipas melilit pergelangan kaki, membiarkan bahagian pinggang sehingga kaki Jannah tergantung terawangan. Satu simbol aneh terlakar memenuhi siling tandas lama itu.

AzazilWhere stories live. Discover now