HELAIAN demi helaian diari tulisan tangan milik Wahida diteliti. Tidak pula dijumpainya luahan tentang teman hidup mahupun rakan lelaki. Lembaran demi lembaran diselak sebelum jari-jemarinya terhenti pada catatan bertarikh 25 Februari 2017.
Menggeletar saat aku mengetahui keputusan ujian itu. Tidak mungkin sesiapa mempercayai aku. Aku pasti tentangnya. Tetapi demi TUHAN dan Rasul, aku tidak sesekali melanggar perintah agama. Ujian apa yang sedang aku lalui ini Ya ALLAH? Hanya KAU Maha Mengetahui. Aku hanya mampu menyerahkan diri kepada-MU.
Inspektor Rasyid dapat mengagak kemungkinan catatan itu ditulis saat Wahida pertama kali mengetahui dirinya hamil. Lembaran seterusnya diselak dan dibaca.
Setiap satu muka surat ditelitinya. Berganjaknya tarikh yakni semakin kandungannya membesar, berlaku perubahan dalam corak tulisan Wahida. Jelas kelihatan daripada tulisannya itu, tekanan dan kecelaruan yang dihadapi Wahida.
Muka surat seterusnya diselak. Inspektor Rasyid terkedu. Satu lakaran menghiasi halaman itu. Lukisan itu memperlihatkan satu susuk tubuh yang bertanduk di kepala, mulut ternganga dengan gigi yang berceracak tajam. Tidak ubah seperti susuk syaitan yang sering dimomokkan dalam filem-filem seram.
Selepas halaman itu, diari itu kosong. Tiada lagi tulisan tangan Wahida. Inspektor Rasyid menutup diari itu dan termenung.
Suara berbisik. Makhluk berjubah hitam. Makhluk hitam bertanduk. Tiga frasa itu yang kerap diulang bermula pertengahan diari itu.
Jika dinilai dari akal waras dan pandangan awal, Inspektor Rasyid mudah menyimpulkan Wahida mengalami gangguan mental. Tetapi dia bukan seorang yang lekas membuat kesimpulan tanpa siasatan rapi.
Kemungkinan pembunuh sengaja mengenakan pakaian dan topeng sedemikian untuk mewujudkan kekacauan dalam aliran pemikiran Wahida sehingga dia berasakan diganggu oleh sesuatu yang bersifat halus.
Tetapi apa motifnya? Dan lebih penting siapa pelakunya yang sebenar? Tiada jawapan yang muncul menjawab persoalan demi persoalan.
Inspektor Rasyid menghadap komputernya. Tetikus mengklik folder images dan memilih sekeping gambar lalu diklik. Lambang aneh yang terlakar di siling bilik Wahida muncul di skrin.
Inspektor Rasyid merenung lama imej itu sebelum dia mencapai telefon bimbit dan membuat panggilan. Tidak lama menanti panggilan berjawab.
Panggilan dilakukan kepada rakannya Dr. Rauf, seorang pensyarah dalam bidang arkeologi di Universiti Malaya. Perihal imej itu diceritakan kepada Dr. Rauf dan Dr. Rauf meminta Inspektor Rasyid menghantar kepadanya gambar itu melalui e-mel.
Sejurus panggilan ditamatkan, Inspektor Rasyid segera menghantar e-mel gambar itu kepada rakannya itu. Bimbang pula terlupa jika dia bertangguh.
Kerusi ditolaknya ke belakang. Baru sahaja dia ingin bangun, telefon bimbitnya berdering. Nama isterinya tertera di skrin. Lekas Inspektor Rasyid menjawab."Abang! Abang! Cepat balik rumah abang! Ada orang nak ceroboh masuk rumah kita." Suara isterinya kedengaran cemas bercampur tangisan.
Seakan terputus urat takungan nyawa Inspektor Rasyid kala itu.
"Cari tempat sembunyi. Duduk situ jangan pergi mana- mana! Lima minit abang sampai!" arah Inspektor Rasyid.
Inspektor Rasyid meluru keluar dari bilik kerjanya. Jantungnya berdegup kencang. Cemas dan risau bergelumang di dalam dada.
***
KERETA berhenti mendadak di hadapan rumah. Inspektor Rasyid melompat keluar dari perut kereta. Pistol terselit kemas dalam genggaman.
Pagar ditolak dan dia berlari masuk ke dalam rumah. Darah menyerbu ke muka sebaik sahaja melihat pintu rumah terbuka luas dan beberapa keping cermin tingkap pecah. Inspektor Rasyid meluru masuk. Pistol dihalakan serata arah.
"Aisyah! Aisyah!" laung Inspektor Rasyid.
Tiada jawapan. Inspektor Rasyid menuju dapur. Bersiap siaga dengan sebarang ancaman yang muncul secara mendadak. Ruangan dapur kosong.
Dia berpatah balik. Kala itu tubuhnya dirangkul dari belakang. Mendadak Inspektor Rasyid berkalih. Aisyah memeluk tubuhnya. Tangisan dihamburkan.
Inspektor Rasyid membalas pelukan Aisyah. Membelai rambutnya. Cuba menenangkan Aisyah terlebih dahulu.
Dalam masa yang sama matanya melilau memerhati sekeliling. Kalau-kalau penceroboh itu sedang bersembunyi di mana-mana dan menunggu kesempatan untuk menyerang.
"Aisyah takut, abang," rintih Aisyah.
"Jangan takut. Abang ada dengan Aisyah," pujuk Inspektor Rasyid. Dia membawa Aisyah ke ruang tamu. Menyuruh isterinya duduk di sofa. Inspektor Rasyid bergegas memeriksa keseluruhan rumah sebelum kembali mendapatkan Aisyah.
"Tak ada siapa dalam rumah ni. Jangan takut. Abang ada dengan Aisyah," pujuk Inspektor Rasyid lagi.
Aisyah mengesat air matanya. Wajahnya diraup.
"Mereka bersungguh-sungguh cuba masuk dalam rumah. Pintu rumah ditendangnya berkali-kali. Ada yang pecahkan cermin tingkap." Aisyah memulakan cerita setelah dirinya beransur tenang.
"Mereka? Maknanya lebih daripada seorang?" soal Inspektor Rasyid untuk kepastian.
Aisyah mengangguk. Air mata masih membasahi pipi.
"Aisyah ada nampak muka mereka?" soal Inspektor Rasyid.
Aisyah menggeleng.
"Semuanya pakai hud dan berjubah hitam."
Berderau darah Inspektor Rasyid tatkala mendengarnya. Jantungnya berdegup kencang.
"Aisyah lari sembunyi dalam bilik air. Dari dalam bilik air, Aisyah dengar suara mereka. Mereka tak bercakap tetapi menderam macam binatang ganas," lanjut Aisyah lagi.
Inspektor Rasyid berdiri. Nafas dihela bertali arus. Amarah bergelumang di jiwa. Tidak pernah-pernah kejadian seumpama itu berlaku.
"Abang!"
Inspektor Rasyid berkalih. Beberapa titisan darah membasahi wajah Aisyah. Aisyah mengesatnya dan mendongak. Dituruti Inspektor Rasyid.
Saat itu masing-masing dihambat kejutan. Satu lakaran aneh menggunakan darah memenuhi siling ruang tamu. Inspektor Rasyid menelan liur. Terasa kesat melalui tekak. Lakaran itu adalah imej yang serupa ditemui di bilik Wahida!
Ish, tak boleh jadi ni! Sampaikan keluarga Inspektor Rasyid pun diganggunya 😡
YOU ARE READING
Azazil
HorrorBermula Perang Salib, dunia tercampak ke dalam petaka yang dahsyat. Seekor makhluk derhaka lahir dan mencetuskan huru-hara serta kacau-bilau. Dunia cuba diheretnya sehingga ke titik kehancuran! Sehingga tahun 2018, Firman dan Izara masih tidak berp...