Bab 11: Serangan

20 1 0
                                        

KETUKAN di pintu membuatkan Izara dan Hannah yang sedang menonton televisyen tersentak.

"Abang Firman dah balik agaknya, akak," ujar Hannah. Izara bangun dari sofa. Bertapak merapati pintu. Pintu masih diketuk bertalu-talu.

"Siapa tu?" soal Izara. Lebih berhati-hati dan berwaspada.

"Abang ni," jawab Firman pendek. Sebaik sahaja mendengar suara Firman dari luar, Izara memulas tombol pintu. Menyambut kepulangan suaminya dengan seulas senyuman. Firman hanya berwajah dingin.

Bertapak masuk ke dalam rumah tanpa menegurnya. Tidak pernah-pernah Firman bersikap sedemikian. Firman menanggalkan kopiah yang dikenakannya. Meletakkan di atas kabinet televisyen. Dia berdiri membelakangi Izara dan Hannah.

"Awal abang pulang malam ni? Ceramah habis awal ya?" soal Izara.

"Untuk apa mendengar ceramah jika nasib kita sentiasa dirundung malang. Hidup bertuhan dan beragama terlalu menyusahkan!" Jawapan suaminya membuatkan Izara tersentak.

Hannah yang duduk di atas sofa turut terkejut mendengar jawapan daripada Firman yang telah dianggap seperti abangnya sendiri itu. Setahunya lelaki itu seorang yang taat pada agama. Mengapa jawapan sedemikian itu yang keluar daripada mulutnya?

"Abang?" panggil Izara perlahan.

Jantungnya berdetak laju. Perasaan tidak enak bermain di dada. Panggilan itu tidak bersahut. Sebaliknya Firman menunduk sebelum ketawa terbahak-bahak. Suaranya bertukar garau.

"Hannah ke sini!"

Hannah terpinga-pinga memandang Izara sebelum berkalih ke arah Firman. Terbeliak biji matanya sebaik sahaja melihat Firman menoleh ke arahnya. Lelaki itu tidak lagi berwajah manusia! Mukanya hitam legam dengan kedua-dua belah biji mata merah saga dan dahi yang bertanduk!

"Allahuakbar!" laung Hannah sekuat hati dihambat kejutan.

Bingkas dia bangun dari sofa berlari ke arah Izara. Setapak dua dia melangkah, tubuhnya melambung ke udara. Menghempap siling sebelum terhempas ke lantai. Dia tidak sedarkan diri.

"Hannah!"

Izara meluru untuk menyelamatkan Hannah. Belum sempat wanita itu mendapatkan anak gadis jirannya itu, sepasang tangan berkuku tajam terasa mencengkam batang lehernya. Izara terkapar-kapar bernafas. Sepasang kakinya tidak lagi mencecah lantai. Menendang-nendang udara.

Kedua-dua belah tangannya menggenggam tangan makhluk itu. Meronta cuba meleraikan cekikan itu dengan tenaga yang bersisa.

"Tiada siapa yang mampu menyelamatkan kau, Izara. Kau akan jadi milik aku."

Cekikannya semakin kejap menjerut ruang pernafasan Izara. Izara tidak lagi berdaya. Mata hitamnya naik ke atas meninggalkan ruangan putih semata-mata. Sepasang tangannya longlai.

--------------------------------------------------

FIRMAN memasuki pekarangan rumah. Salam diberi dan pintu diketuk. Sekali dua. Tiada jawapan.

"Zara..." panggil Firman.

Pintu diketuknya sekali lagi. Suara isterinya tidak kedengaran. Firman memulas tombol. Berkunci. Sekali lagi dia memanggil tetapi tidak bersahut. Lantas Firman mengambil keputusan untuk menjengah melalui tingkap. Tatkala itu, jantung Firman terasa direntap keras sebaik sahaja melihat isterinya terawangan di udara. Longlai tidak bermaya dengan batang lehernya dicekik kemas Azazil.

Firman meluru ke pintu rumah semula. Dia mengambil sedikit jarak. Mengumpul tenaga sebelum melepaskan satu tendangan padu ke arah daun pintu. Serta-merta daun pintu terpelahang. Firman menerpa masuk. Azazil menoleh ke arahnya. Matanya merenung Firman.

"Aku laknat kau dengan laknat ALLAH!"

Tamat bacaan Firman, makhluk itu berubah menjadi gumpalan asap hitam. Berpuing-puing sebelum lesap tanpa meninggalkan jejak. Izara rebah ke lantai. Firman menerpa mendapatkan isterinya. Kepala Izara dipangkunya. Dada isterinya berombak lemah.

Kesan luka kelihatan di lehernya. Firman mendapatkan pula Hannah yang terlungkup bersebelahan Izara. Gadis itu masih bernyawa tetapi aturan nafasnya kelihatan tidak stabil. Lekas Firman mengeluarkan telefon bimbit dan mendail pihak hospital. Cemas merasuk jiwa.

AzazilTempat di mana cerita hidup. Terokai sekarang