WAHIDA terjaga daripada tidur. Tubuhnya hangat membahang. Peluh membasahi tubuh. Jam tepat menunjukkan pukul 3.00 pagi. Dia bangun dan berlalu ke bilik air. Melangkah setapak demi setapak dengan perut yang memboyot.
Pili air diputar. Lafaz bismillah diucap. Seraya dia mengangkat wuduk. Membasuh hujung jari sehingga pergelangan tangan. Baru tamat basuhan pertama, telinganya menangkap suara garau tertawa di belakangnya. Wahida terbejat. Dia menoleh. Tidak kelihatan sesiapa. Bulu romanya meremang tidak semena-mena.
Wahida kembali menyambung mengambil wuduk. Suara garau itu masih kedengaran tertawa. Seolah-olah mempersendakan dirinya. Wahida tidak mempedulikannya. Bukan sekali dua tetapi sejak dia hamil, suara itu mendatangi dirinya. Adakala pemilik suara itu muncul dalam rupa bentuk yang mengerikan.
"TUHAN tidak akan menerima ibadah seorang penzina seperti kau, Wahida!" Suara garau itu berbisik di telinganya.
Wahida mengetap rahang. Cuba mentulikan pendengaran. Kole berisi air dijirus ke kaki. Nama ALLAH disebut berkali-kali di dalam hati.
"Dosa berzina itu tak akan pernah terampun! Anak yang kau kandungkan itu anak haram! Bakal menjadi pengikut Dajal!" Suara garau itu terus-menerus mencemuh sebelum tertawa terbahak-bahak.
Wahida memejamkan matanya. Wuduk telah selesai diambilnya. Selajur dia memanjatkan doa selepas wuduk kepada ALLAH. Sejurus itu, dia meraup wajahnya yang dibasahi air. Suara garau itu tidak lagi kedengaran. Perut yang beralas pakaian direnung lalu diusap perlahan. Air mata ditahannya daripada mengalir.
"Aku bukan penzina. Aku bukan penzina," bisik Wahida berulang kali.
Kenyataan itu juga yang diberitahukan kepada kedua- dua orang tuanya sewaktu kali pertama mengetahui dirinya hamil. Tetapi siapa jua yang akan percaya bahawa dirinya hamil tanpa melakukan hubungan badan?
Teruk dirinya dipukul dan dimarahi. Lebih malang dirinya dikurung di dalam rumah. Langsung tidak dibenarkan keluar sama sekali. Bimbang menjadi buah mulut penduduk kampung. Tambah-tambah lagi bapanya adalah ahli jawatankuasa masjid di kampung itu dan Wahida pula sememangnya dikenali sentiasa berpurdah serta tinggi ilmu agamanya. Itu pun telah timbul desas-desus serta berita kurang senang mengenai dirinya yang mulai muncul dalam kalangan penduduk kampung.
"Ayah dan ibu bekalkan kau ilmu agama supaya kau boleh mengenal yang mana halal dan yang mana haram! Tetapi kau lebih mengikut telunjuk syaitan! Hidup bertuhankan nafsu!" Suara ibunya terngiang-ngiang di telinga.
Air mata akhirnya meleleh membasahi pipi. Wahida mengesatnya. Selangkah demi selangkah dia menuju ke biliknya semula. Bersiap-siap untuk mengerjakan solat tahajud dan juga solat taubat.
Sepasang kaki Wahida terhenti sebaik sahaja tiba di hadapan pintu bilik. Telinganya tercakup-cakup. Satu suara kedengaran berbisik-bisik dari biliknya. Jantung Wahida berdebar-debar. Takutnya menyeruak. Wahida menarik nafas dalam-dalam cuba mengumpul keberanian. Daun pintu ditolaknya seiring dengan lafaz bismillah meniti di bibir.
Sebaik sahaja pintu terkuak, jantungnya terasa direntap keras. Satu susuk tubuh bertelekung putih sedang berdiri lurus di atas sejadah yang terhampar. Kedudukan tubuhnya membelakangi Wahida atau lebih tepat berdiri tidak menghadap kiblat! Suis lampu ditekan cuba dihidupkan tetapi gagal. Limpahan sinaran bulan yang terbias masuk ke tingkap menerangi ruang persekitaran bilik itu. Bau busuk menusuk hidung. Sumpah bulu romanya meremang ketika itu.
"Azazil..."
Nama itu disebut berulang kali. Tubuhnya terhinggut-hinggut ke depan dan ke belakang. Telapak kaki Wahida terundur setapak dua ke belakang. Tidak semena-mena, susuk tubuh bertelekung itu berhenti dari menggumam nama itu. Tubuhnya juga berhenti daripada berhinggut.
Wahida menanti dengan desah nafas yang menderu di dada. Secara tiba-tiba wanita itu menoleh ke arahnya. Mukanya hangus terbakar. Anak matanya merah menyala.
"Diri kau kelak akan dibakar sehingga rentung oleh api neraka. Di situ tempat kau untuk selama-lamanya. Manusia penzina!" Wanita itu bertempik kuat seraya tertawa terbahak-bahak.
Wahida tertunduk. Kedua-dua belah telinganya ditekup. Matanya terpejam erat. Sepasang tangan berkuku tajam menjalar sebelum mencengkau perutnya yang memboyot. Wahida mengetap rahang menahan sakit. Sesekali matanya tidak dibuka. Dia benar-benar dalam ketakutan.
"Tidak guna untuk kau terus menyembah TUHAN. Dosa kau tidak akan pernah terampun. Kau telah melakukan zina dan akan melahirkan anak luar nikah! Lambat laun seluruh penduduk kampung ini akan tahu aib yang cuba diselindungkan itu. Waktu itu mungkin satu-satu pilihan yang kau ada adalah dengan membunuh diri." Suara garau itu cuba melemparkan hasutan ke dalam hati Wahida.
"Aku tak berzina. Aku tak berzina." Wahida menidakkan. Suara garau itu tertawa terbahak-bahak.
"Katakanlah ia kepada seluruh penduduk kampung ini. Tidak ada sesiapa yang bakal mempercayainya."
Kuku tajam yang mencengkau perutnya terasa semakin menusuk ke dalam daging. Wahida mengerang kesakitan. Bibirnya terketar-ketar mengalunkan surah an-Naas.Menggeletar suaranya menahan sakit yang menjalar sehingga ke benak.
Tamat bacaan, tangan berkuku tajam yang mencengkau perutnya menghilang. Suara garau yang berbisik tidak lagi kedengaran. Lambat-lambat Wahida mengangkat kelopak mata. Kelibat wanita bertelekung putih tidak lagi kelihatan.
Nafas dihela. Wajahnya yang dibasahi peluh diseka. Baju yang menutupi tubuh diselaknya separuh di bahagian perut. Kelihatan beberapa kesan merah kehitaman seperti lebam di bahagian perutnya. Terasa sakit apabila disentuhnya. Wahida menutupi semula tubuhnya. Solat yang tertangguh sebentar tadi dikerjakannya.
Lebih kurang sejam sebelum masuknya waktu solat Subuh, Wahida merebahkan badan di atas katil. Pada mulanya dia merancang untuk menanti sehingga waktu subuh menjelang. Tetapi sekujur tubuhnya diulit rasa letih. Kantuknya tidak dapat ditahan-tahan. Lantas dia mengambil keputusan untuk melelapkan mata seketika.
Beberapa minit lena mengulit tubuh, telinganya menangkap bunyi dentuman dari atas bumbung rumah. Kelopak matanya terangkat. Matanya tepat memandang siling bilik. Butiran hablur pasir jatuh ke mukanya. Wahida mengesat wajahnya. Cuba membuang pasir yang melekat di muka. Keningnya berkerut. Tertanya-tanya dengan bunyi yang didengarinya itu.
Selang sesaat dua, tingkap biliknya terhempas kuat. Berdentum bunyinya. Wahida terperanjat. Matanya membulat memandang daun tingkap yang tertanggal. Terpelahang luas. Jantungnya berdegup kencang. Dadanya berombak laju.
Sepasang tangan berkuku tajam kelihatan bergayut di birai tingkap sebelum memunculkan dirinya. Kepala bertanduk dan mata terbeliak merah saga merenung perut Wahida yang memboyot. Ia mencangkung di atas biraitingkap.
Menggigil sekujur tubuh Wahida. Takut bukan kepalang! Dalam masa sama, perutnya tiba-tiba terasa hangat membahang. Bergelojak berpusar seolah-olah dipenuhi bara api. Wahida memegang perutnya. Hanya seketika sebelum dia menarik semula. Tapak tangannya terasa pijar. Seolah- olah dia baru sahaja memegang besi panas.
Serta-merta bajunya diselak. Matanya terbuntang melihat sepasang tangan kecil menolak-nolak perutnya dari dalam. Urat kehitaman melata di sekitar perutnya. Merening. Seolah-olah bila-bila masa sahaja perutnya bakal meletup!
Makhluk yang bertenggek di birai tingkap tertawa terbahak-bahak dengan suara yang garau lagi menggerunkan. Wahida meraung kesakitan. Kulit perutnya mencekang. Tangan kecil itu semakin galak menolak dari dalam.
Kulit perutnya kian menegang. Sedikit demi sedikit terkoyak. Darah memancut-mancut membasahi sekujur tubuhnya sehingga bertakung di atas lantai. Wahida meraung kesakitan. Menjerit memanggil ibu dan bapanya. Tetapi suaranya seolah-olah langsung tidak didengari sesiapa pun.
Belahan perutnya semakin memanjang sebelum perutnya meletup. Darah memercik sehingga ke siling. Isi perut berhamburan. Melimpah di atas lantai. Perutnya terkoyak luas. Jeritan nyaring Wahida yang menanggung kesakitan mengecil dan terus lenyap. Rohnya telah bercerai dari badan.
Dari ruang perutnya yang terkoyak, kelihatan sepasang tangan kecil menguis-nguis. Makhluk yang bertenggek di birai tingkap itu menghampiri. Menundukkan tubuh merangkul bayi itu. Seraya makhluk itu menghilang bersama bayi itu. Meninggalkan jasad Wahida tergeletak kaku dalam keadaan mengerikan.
YOU ARE READING
Azazil
HorrorBermula Perang Salib, dunia tercampak ke dalam petaka yang dahsyat. Seekor makhluk derhaka lahir dan mencetuskan huru-hara serta kacau-bilau. Dunia cuba diheretnya sehingga ke titik kehancuran! Sehingga tahun 2018, Firman dan Izara masih tidak berp...